PSLE 2023: Pelajar hidapi barah urat saraf atasi cabaran, muncul antara pelajar terbaik Madrasah Irsyad Zuhri
Dia banyak menghabiskan waktu di hospital bagi menjalani rawatan namun, penyakit ini tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus kekal positif dan melakukan yang terbaik dalam pelajarannya.
"Apabila doktor menentukan penyakit saya ketika saya berumur 4 tahun, saya mengikuti semua rawatan yang disarankan oleh pihak hospital contohnya kemoterapi, radioterapi dan terapi pemindahan sumsum tulang," kata Aeisyah Nusaybah.
Kesan sampingan rawatan kemoterapi membuatkan pelajar tersebut mengalami kerosakan kepada pendengarannya dan terpaksa menggunakan alat bantuan pendengaran di sekolah.
Penyakit itu juga telah menjejas tumbesarannya. Aeisyah kelihatan lebih kecil berbanding rakan-rakan sekelasnya di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.
Cik Faezah Zaiton, ibu kepada Aeisyah menjelaskan bahawa rawatan barahnya sudah ditamatkan pada 2017. Namun, beliau masih perlu menjalani pemeriksaan MRI dan CT secara berkala setiap enam bulan.

Namun perjalanan seorang pelajar madrasah untuk mengimbangi masa dalam pelajaran dan kehidupan tidaklah semudah disangka.
"Sebagai seorang pelajar madrasah sepenuh masa, saya harus berdisiplin dan pandai mengimbangi masa dengan sembilan mata pelajaran termasuk empat subjek akademik.
"Selain itu, saya juga harus berdaya tahan dengan masa persekolahan yang agak panjang diikuti dengan kelas tambahan yang diadakan pihak madrasah bagi persediaan peperiksaan tamat sekolah rendah," ujar Aeisyah Nusaybah.
Pelajar 12 tahun ini juga penerima biasiswa dari Yayasan Barah Kanak-Kanak (CCF) pada 2019 dan 2022.
Beliau sempat memberikan penghargaan kepada para jururawat dan doktor yang menjaga dan merawatnya di Hospital Kandang Kerbau (KKH) dan CCF.
Meskipun berat cabaran yang dilaluinya, Aeisyah membuktikan tekad dan kecekalannya dalam menuntut ilmu setelah berjaya raih markah sempurna dalam mata pelajaran ukhrawi dalam Peperiksaan Penyaluran Pengajian Islam (ISPE) yang dikeluarkan serentak dengan keputusan PSLE pada Rabu (22 Nov).
Beliau menanam harapan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat pada masa hadapan dengan menjadi tenaga pengajar dalam pendidikan Islam.
Dalam pada itu beliau berharap dapat menjadi sumber inspirasi buat pelajar-pelajar lain yang berdepan cabaran dalam kehidupan mereka.
"Khas buat rakan-rakan yang lain, jangan mudah berputus asa. Kita harus sentiasa mempunyai sikap daya bingkas. Walau seberat apa pun ujian yang kita lalui, saya yakin pasti ada jalan dan kemudahan untuk kita," kata Aeisyah.
Aeisyah merupakan antara 193 pelajar darjah 6 Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah yang kesemuanya lulus PSLE.

SATU-SATUNYA PELAJAR MADRASAH AL-IRSYAD YANG RAIH MATA SEMPURNA
Seorang lagi pelajar cemerlang Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Faaiz Fazular Rahman, menonjolkan bakat bukan sahaja dalam bidang pembelajaran tetapi juga dalam aktiviti luar darjah.
Faaiz Fazular pernah memenangi pingat emas dalam subjek Mathematik SASMO sebanyak dua kali dan menghasilkan dua cerpen dalam buku Irsyad Writing Studio.
Selain itu, beliau juga aktif bermain catur dan pernah menyertai perlawanan persahabatan di OnePunggol.
Meskipun pada awalnya lemah dalam subjek bahasa ibunda, Faaiz dapat mengatasinya dengan kerja keras dan mendapat markah sempurna bagi subjek itu.
"Salah satu cabaran saya adalah dengan Bahasa Melayu. Mdm Rosma (guru) membantu saya apabila saya mempunyai keraguan. Ibu bapa saya pula memotivasikan saya untuk belajar," kata Faaiz Fazular.
Berkat kegigihannya dalam pelajaran, beliau menjadi satu-satunya pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah yang meraih empat mata sempurna bagi peperiksaan PSLE tahun ini.
Ini membawanya selangkah lebih dekat mencapai cita-citanya.
"Saya ingin menjadi jurutera dan saya mempunyai minat terhadap sains dan teknologi. Saya ingin mengikuti kursus yang berkaitan di institut premium," kongsi Faaiz Fazular.
Secara keseluruhannya, 338 pelajar madrasah menduduki PSLE tahun ini dan 335 daripada mereka lulus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.