Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PSLE 2022: Penyakit bukan penghalang untuk Izzat Hakim Sharif bangkit, kakak menjadi inspirasi Siti Nur Amina

Daripada seorang kanak-kanak yang dahulunya sihat dan aktif bersukan, Izzat Hakim Sharif kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Anggaran Waktu Membaca:
PSLE 2022: Penyakit bukan penghalang untuk Izzat Hakim Sharif bangkit, kakak menjadi inspirasi Siti Nur Amina

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Daripada seorang kanak-kanak yang dahulunya sihat dan aktif bersukan, Izzat Hakim Sharif kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

Izzat didiagnos dengan penyakit 'Medullablastoma Metastatik', sejenis ketumbuhan otak, pada 2019.

Beliau tidak dapat menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada tahun itu kerana perlu menjalani pelbagai pembedahan dan rawatan.

Meskipun belum pulih sepenuhnya, pelajar Sekolah Rendah Gongshang itu menguatkan azam dan dapat kembali ke sekolah secara lebih kerap, untuk selama beberapa jam sehari.

Beliau akhirnya dapat menduduki PSLE pada usia 15 tahun.

"Pada mulanya ketika keadaan saya masa itu, saya fikir PSLE sesuatu yang mustahil. Tapi sekarang dengan sokongan guru-guru dan ibu bapa, saya dapat melakukannya. Jadi saya rasa bertuah," kata Izzat, anak bongsu tiga beradik ini.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Penyakit itu telah menjejas pergerakannya, kemahiran motor halus, daya penglihatan serta pendengarannya.

Untuk meringankan tekanan pada Izzat, beliau mengambil subjek pada peringkat asas atau "foundation level" yang menawarkan rentak pembelajaran yang lebih perlahan.

Beliau juga dikecualikan daripada mengambil subjek Bahasa Ibunda.

Oleh kerana daya penglihatannya terjejas, Izzat menggunakan sebuah alat khas atau 'magnifier' untuk membantunya mengulang kaji pelajaran.

"Saya mengulang kaji tugasan saya dan membuat kertas-kertas latihan setiap hari. Saya cuba menyelesaikan satu kertas latihan setiap hari," kata Izzat, yang gemar subjek Matematik.

HARAP UNTUK SIHAT SEPERTI DULU

Berkat kegigihannya, Izzat berjaya meraih Gred B bagi subjek Bahasa Inggeris Asas dan Gred A bagi subjek Matematik dan layak ke sekolah menengah dalam aliran Normal (Teknikal).

Izzat cukup menghargai pengorbanan ibu bapanya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Pendorong terbesar saya adalah ibu bapa saya kerana mereka akan melakukan apa sahaja untuk membantu saya," tambah Izzat.

Beliau berharap untuk melanjutkan pelajarannya di Sekolah Menengah St. Hilda's selepas ini.

Ditanya apakah impiannya, ini jawapan Izzat:

"Saya belum fikirkan tentang impian saya tetapi matlamat utama saya ialah untuk kembali seperti keadaan saya sebelum ini," jelas Izzat.

KAKAK SEBAGAI PENGGANTI KASIH SAYANG IBU BAPA YANG DIRINDUI

Seorang lagi pelajar yang menduduki PSLE tahun ini ialah Siti Nur Amina Zainudin yang meraih 21 mata.

Keputusan itu sama sekali tidak disangka pelajar Sekolah Rendah Si Ling itu.

"Alhamdulillah saya gembira apabila saya mendapat keputusan saya, saya terkejut sebab saya tidak menjangkakan dapat ke aliran Ekspres atau Normal (Akademik) dan saya berterima kasih kepada semua orang yang menyokong saya dari mula," kata Amina yang berjaya mendapat Tahap Pencapaian 2 untuk subjek kegemarannya, Bahasa Melayu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Selain teman-teman dan guru-guru, antara orang kuat yang sentiasa memberinya sokongan ialah kakaknya sendiri.

Meskipun dilahirkan di Singapura, Amina membesar di Malaysia untuk beberapa tahun pertama hidupnya.

Ketika usianya lapan tahun, beliau dan kakaknya pulang semula ke tanah air untuk bersekolah dan tinggal bersama saudara mara mereka sementara ibu bapa kekal di Malaysia.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Beliau telah menjaga saya sejak saya kecil. Jadi beliau seperti ibu kepada saya dari kecil. Beliau juga perlu mengimbangi pekerjaan dan sekolah untuk membesarkan saya. Saya sungguh kagum terhadapnya," ujar Amina, yang ingin melanjutkan pelajarannya di Sekolah Menengah Woodlands, sekolah yang sama dengan kakaknya.

Amina bercita-cita untuk menjadi seorang guru tadika satu hari nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan