PSD umum pelantikan setiausaha tetap baru, persaraan dari 1 Apr
Pengumuman dibuat sempena persaraan Encik Chee Wee Kiong, Setiausaha Tetap MFA sekarang, pada 1 April selepas berkhidmat selama 40 tahun dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Perkhidmatan Awam.
(Dari kiri) Encik Ng Chee Khern, Encik Stanley Loh, Encik Albert Chua dan Encik Aubeck Kam. Divisyen Perkhidmatan Awam pada 25 Feb 2022 mengumumkan pelantikan setiausaha tetap yang baru. (Gambar-gambar: SUTD, PSD)
SINGAPURA: Divisyen Perkhidmatan Awam mengumumkan pada Jumaat (25 Feb) pelantikan setiausaha tetap baru di tiga kementerian - Kementerian Ehwal Luar (MFA), Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) serta Kementerian Tenaga Manusia (MOM). Ini di samping pengumuman tentang pelantikan lain di semua kementerian.
Pengumuman dibuat sempena persaraan Encik Chee Wee Kiong, Setiausaha Tetap MFA sekarang, pada 1 April selepas berkhidmat selama 40 tahun dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Perkhidmatan Awam.
Encik Albert Chua, akan melepaskan jawatannya selaku Setiausaha Tetap MSE dan bakal dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Ehwal Luar).
Sementara itu, Encik Stanley Loh akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Kemampanan dan Sekitaran), sekali gus melepaskan jawatannya selaku Setiausaha Tetap Kedua (Pembangunan Sosial dan Keluarga).
Beliau juga akan menyandang jawatan Setiausaha Tetap (Pembangunan) di MFA dan dalam masa yang sama, terus menggalas tanggungjawab selaku Setiausaha Tetap Kedua (Pejabat Perdana Menteri, Tugasan Khas).
Encik Aubeck Kam juga akan melepaskan jawatan yang disandangnya sekarang sebagai Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia) dan akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan Sosial dan Keluarga).
Menggantikan beliau ialah Encik Mr Ng Chee Khern yang bakal dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia) dan melepaskan jawatannya selaku Setiausaha Tetap (Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital).
Semua pelantikan itu akan berkuat kuasa 1 April 2022.
PELANTIKAN LAIN
Selain itu, Encik Joseph Leong akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Perhubungan dan Penerangan) serta Setiausaha Tetap (Keselamatan Siber) di Pejabat Perdana Menteri.
Beliau menggantikan Cik Yong Ying-I, Setiausaha Tetap (Perhubungan dan Penerangan) yang akan bersara selepas berkhidmat selama 36 tahun dalam Perkhidmatan Awam.
Encik Leong juga akan dilantik selaku Setiausaha Tetap (Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital), sekali gus melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan Pertahanan).
Encik Chew Hock Yong akan terus memegang jawatan sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan Ehwal Dalam Negeri) tetapi akan melepaskan jawatannya selaku Setiausaha Tetap (Pembangunan Sosial dan Keluarga).
Cik Lai Wei Lin pula akan melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Tetap (Undang-undang) dan dilantik selaku Setiausaha Tetap (Pembangunan Pengangktan). Beliau juga terus menyandang jawatan selaku Setiausaha Tetap Kedua (Kewangan).
Encik Loh Khum Yean, Setiausaha Tetap (PSD) akan turut menggalas jawatan Setiausaha Tetap (Undang-undang).
Encik Chia Der Jiun, Setiausaha Tetap Kedua (Tenaga Manusia), akan menyandang jawatan Setiausaha Tetap (Pembangunan) bagi MOM.
Encik Chng Kai Fong, Setiausaha Tetap Kedua (Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital) juga akan menyandang secara serentak jawatan Setiausaha Tetap Kedua (Perhubungan dan Penerangan) serta Setiausaha Tetap Kedua (Keselamatan siber).
Cik Lim Wan Yong, Setiausaha Tetap Kedua (Pendidikan), juga akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kedua (Pembangunan Sosial dan Keluarga).
2 SETIAUSAHA TETAP BERSARA
Cik Yong Ying-I, Setiausaha Tetap (Perhubungan dan Penerangan) merangkap Setiausaha Tetap (Keselamatan Siber) di Pejabat Perdana Menteri, dan Encik Chee Wee Kiong, Setiausaha Tetap (Ehwal Luar), akan bersara selepas "bertahun-tahun berkhidmat dengan cemerlang", menurut PSD.
Cik Yong, 58 tahun, memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1985. Sebelum ini, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Setiausaha Peribadi Utama kepada Timbalan Perdana Menteri Lee Hsien Loong ketika itu dan Setiausaha Tetap bagi MOM serta Kementerian Kesihatan (MOH).
Di bawah kepimpinan beliau sekarang ini selaku Setiausaha Tetap (Perhubungan dan Penerangan), kementerian itu juga "memacu usaha-usaha penting" dalam meningkat peraturan digital, pendampingan digital dan "diplomasi digital di peringkat antarabangsa", menurut jabatan itu.
Sementara itu, Encik Chee, 58 tahun, telah berkhidmat selama 40 tahun dalam SAF dan Perkhidmatan Awam.
PSD menyatakan Encik Chee adalah "seorang diplomat yang tajam akalnya" dengan kepimpinannya yang "tidak ternilai" kepada Kementerian Ehwal Luar baik sebelum mahupun semasa pandemik COVID-19".
Ketika mengucapkan terima kasih kepada pegawai yang bersara, Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing berkata mereka sudah "berkhidmat dengan cemerlang sepanjang kerjaya mereka".
Encik Chan menzahirkan penghargaan Pemerintah ke atas "kepimpinan dan sumbangan cemerlang mereka kepada Perkhidmatan Awam serta kepada Singapura".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.