PSD umum pelantikan dan penyusunan semula jawatan setiausaha tetap
Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Jumaat (1 Ogos) mengumumkan pelantikan dan penyusunan semula jawatan setiausaha tetap yang akan berkuat kuasa dalam tempoh dua bulan akan datang.
Dari kiri: Timbalan Setiausaha (Perancangan), Kementerian Pembangunan Negara Kenneth Er; Ketua Pegawai Eksekutif Synapxe Ngiam Siew Ying; Setiausaha Tetap Kedua (Pendidikan) dan Setiausaha Tetap Kedua (Negara Bijak), Pejabat Perdana Menteri Augustin Lee; dan Setiausaha Tetap (Maklumat dan Pembangunan), Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan Chng Kai Fong. (Gambar: Divisyen Perkhidmatan Awam)
Encik Kenneth Er Boon Hwee, 53 tahun, akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kedua (Tenaga Manusia) dan pada masa yang sama Setiausaha Tetap Kedua (Pendidikan) mulai 1 September.
Encik Er merupakan Timbalan Setiausaha (Perancangan) di Kementerian Pembangunan Negara (MND) sejak 2023. Beliau pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Taman Negara (NParks) dari 2014 hingga 2023, dan pernah memegang pelbagai jawatan di MND, NParks dan Gardens by the Bay.
Cik Ngiam Siew Ying, 49 tahun, akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kedua (Kewangan) mulai 1 September. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Synapxe, agensi teknologi kesihatan negara, sejak 2022.
Sebelum itu, Cik Ngiam pernah memegang pelbagai jawatan di Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Pejabat Perdana Menteri (PMO), sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha (Dasar) di Kementerian Kesihatan (MOH) pada 2016.
Encik Augustin Lee, 54 tahun, akan dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Tenaga dan Perdagangan) di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mulai 1 September. Beliau akan melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Tetap Kedua (Pendidikan) dan Setiausaha Tetap Kedua (Negara Bijak) di PMO masing-masing pada 1 September dan 1 Oktober.
Encik Lee merupakan mantan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dari 2019 hingga 2023 dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada mantan Menteri Kanan Goh Chok Tong. Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan di kementerian yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Buruh, MOH, Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional dan MTI.
Encik Chng Kai Fong, 46 tahun, akan mengambil alih portfolio Negara Bijak daripada Encik Lee. Beliau juga akan dilantik secara serentak sebagai Setiausaha Tetap (Pembangunan) (Negara Bijak) (Keselamatan Siber) di PMO mulai 1 Oktober.
Pada 2014, Encik Chng dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, dan dinamakan sebagai pengarah urusan Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) pada 2017.
Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan di kementerian yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kesenian, Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Kolej Perkhidmatan Awam, MTI dan kumpulan perhubungan PMO.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.