Skip to main content

Singapura

PSD terus dampingi 'sebilangan kecil' kakitangan awam yang layak tapi belum divaksin

"Sebahagian besar" atau sekitar 99 peratus kakitangan awam sudah lengkap divaksin, dengan ramai sedang dalam proses untuk mendapatkan suntikan dos penggalak mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
 PSD terus dampingi 'sebilangan kecil' kakitangan awam yang layak tapi belum divaksin
Diterbitkan : 28 Dec 2021 11:58AM

SINGAPURA: Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) berkata pada Isnin malam (27 Dis) bahawa "sebahagian besar" atau sekitar 99 peratus kakitangan awam sudah lengkap divaksin, dengan ramai sedang dalam proses untuk mendapatkan suntikan dos penggalak mereka.

PSD berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mediacorp tentang keadaan vaksinasi dalam perkhidmatan awam serta langkah-langkah yang akan diambil PSD bagi menangani isu individu yang belum divaksin.

Dalam jawapannya, PSD menyatakan pegawai awam yang tidak divaksin dan secara perubatan tidak layak bagi vaksin mRNA, digalakkan menerima suntikan vaksin bukan mRNA (Sinovac-CoronaVac).

"Bagi sebilangan kecil pegawai yang masih belum divaksin meskipun layak secara perubatan, kami sudah dan akan terus mendampingi mereka bagi membincangkan keprihatinan mereka, dan juga menasihati mereka supaya berjumpa doktor jika perlu," kata seorang jurucakap PSD kepada Mediacorp.

Perkhidmatan Awam akan terus menyelaraskan amalannya dengan garis panduan kebangsaan terbaru dan makluman Kementerian Tenaga Manusia (MOM), menurut jurucakap tersebut.

"Keselamatan dan kesihatan semua kakitangan awam kita tetap menjadi keutamaan. Kami akan terus berwaspada dalam memastikan dapat menyambung semula bekerja di tempat kerja dengan cara selamat."

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan mengumumkan, mulai 15 Jan, pekerja yang tidak divaksin dilarang kembali ke tempat kerja walaupun keputusan saringan sebelum acara (PET) COVID-19 adalah negatif.

Menurut makluman MOM, yang kali terakhir di kemas kini pada 27 Disember, majikan boleh membenarkan mereka bekerja dari rumah sekiranya aturan kerja seumpama itu memenuhi keperluan operasi mereka.

Namun jika pekerjaan itu memerlukan mereka hadir di tempat kerja, majikan boleh mengatur semula dan memberi peranan sesuai kepada mereka yang dapat dilakukan dari rumah; memberi mereka cuti tanpa gaji atas persetujuan bersama; atau memberhentikan mereka (dengan notis) selaras dengan kontrak pengambilan kerja sebagai "pilihan terakhir".

Pada Isnin, Singapura melaporkan 280 kes baru COVID-19. Dalam perkembangan lain, laman MOH juga menunjukkan 101 jangkitan baru varian Omicron disahkan pada Isnin, terdiri daripada 79 kes import dan 22 kes tempatan.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita