Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PSD nasihat ahli lembaga berkanun tentang peranan sebagai penjawat awam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) menghantar surat kepada pengerusi dan ahli lembaga berkanun pada Isnin (7 Okt) - hari di mana mantan menteri pengangkutan S Iswaran memulakan hukuman penjaranya - bagi menjelaskan apa yang perlu dibuat berkenaan hadiah.

Surat itu menunjukkan bahawa, bagi tujuan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, seorang ahli lembaga berkanun pemerintah dianggap sebagai penjawat awam apabila mereka "menjalankan tugas" lembaga berkanun, menurut PSD hari Selasa (8 Okt) menjawab persoalan Mediacorp.

Surat itu juga menunjukkan bahawa lembaga berkanun mempunyai "garis panduan lazim" tentang cara mengendalikan hadiah, menurut PSD.

"Dalam nota itu, PSD turut merakamkan penghargaan kami kepada para anggota atas sumbangan mereka untuk membina Singapura yang lebih baik," tambahnya.

Lembaga berkanun seperti Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) adalah sebahagian daripada pemerintah. Mereka melaksanakan tugas pengendalian dan bertanggungjawab untuk menyediakan khidmat penting dan mengawal selia industri utama.

Perbicaraan Iswaran membawa perhatian kepada Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang melarang pegawai awam daripada menerima hadiah daripada pihak yang mempunyai urusan perniagaan rasmi dengan mereka.

Susulan perbicaraan beliau, individu sektor swasta mungkin keberatan untuk menyertai lembaga pengarah sektor awam kerana mereka akan tertakluk kepada undang-undang yang dikenakan ke atas penjawat awam, peguam dan pemerhati undang-undang memberitahu Business Times minggu lalu.

Iswaran memulakan hukuman penjara 12 bulan pada Isnin (7 Okt) selepas menyerahkan diri di Mahkamah Negara sebelum tarikh akhir jam 4.00 petang.

Iswaran yang berusia 62 tahun itu dijatuhi hukuman kerana menerima hadiah bernilai sekitar S$403,300 dalam tempoh tujuh tahun, daripada dua ahli perniagaan yang dianggap sebagai rakan.

Dia mengaku bersalah pada hari pertama prosiding perbicaraannya, memendekkan apa yang dijangka akan menjadi perbicaraan yang berlarutan dengan 56 saksi pendakwaan.

Antara November 2015 dengan Disember 2022, Iswaran memperoleh barangan berharga seperti tiket konsert muzik, bola sepak dan Formula 1 daripada pemegang saham majoriti GP Singapura Ong Beng Seng, serta botol wiski dan wain daripada bos syarikat pembinaan Lum Kok Seng.

Ini ketika Iswaran memegang jawatan yang mempunyai urusan rasmi dengan kedua-dua lelaki itu, kata pihak pendakwaan semasa menjatuhkan hukuman.

Syarikat Encik Lum, Lum Chang Building Contractors, memeterai kontrak bernilai S$325 juta dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 2016 untuk kerja-kerja di stesen MRT Tanah Merah dan jejambatnya. Iswaran menjadi menteri pengangkutan pada Mei 2021.

Ong dikaitkan dengan dua perjanjian pemudahan antara GP Singapura dengan STB untuk mengendalikan perlumbaan tahunan Formula 1 Singapura.

Iswaran merupakan pengerusi bagi Jawatankuasa Pemandu F1, yang ditubuhkan oleh pemerintah untuk menyelia F1 sebagai projek nasional.

Beliau juga merupakan menteri perindustrian di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dari Oktober 2015 hingga April 2018, dengan STB di bawahnya. Beliau juga menteri yang bertanggungjawab bagi hubungan perdagangan dari Mei 2018 hingga Januari 2024, apabila beliau meletak jawatan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan