PSD buat aduan polis selepas laman palsu muat naik kerja kosong portal Careers@Gov
Aduan polis dibuat setelah sebuah laman palsu memuat naik semula kerja kosong yang diterbitkan di portal Careers@Gov.

(Gambar hiasan: iStock)
SINGAPURA: Aduan polis dibuat setelah sebuah laman palsu memuat naik semula kerja kosong yang diterbitkan di portal Careers@Gov.
Demikian menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dari Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Khamis (21 Apr).
Menurut PSD, pihaknya sudah menghubungi pemilik laman jobsingapore24h.com dan mengarahkan semua kerja kosong berkaitan Perkhidmatan Awam dipadamkan.
"Kami sudah membuat aduan polis dan perkara itu sedang disiasat," menurut PSD.
"Kami ingin mengingatkan para pemohon kerja supaya hanya memohon kerja-kerja kosong dalam sektor Perkhidmatan Awam menerusi portal Careers@Gov atau lelaman pengambilan pekerja agensi-agensi pekerjaan," tambah PSD.
PSD juga mengingatkan para pemohon kerja bahawa mereka tidak seharusnya menyerahkan maklumat peribadi atau resume mereka melalui platform yang tidak diluluskan, yang berpotensi membawa kepada penipuan dan kegiatan memancing butiran peribadi dan mencuri identiti mangsa.
Para pemohon kerja juga hendaklah memeriksa dengan agensi-agensi awam yang relevan tentang jawatan kosong yang ditawarkan jika mereka berasa ragu-ragu.
Pada awal bulan ini, Pasukan Polis Singapura (SPF) memperkenalkan garis panduan baru mengenai keselamatan online bagi membanteras jenayah siber.
Garis panduan itu "memberikan gambaran keseluruhan yang luas mengenai jenis jenayah, ancaman dan bahaya online, dari skim penipuan hingga ke pengganasan, yang mungkin ditemui oleh orang ramai di Internet", menurut SPF.
Menurut polis, pihaknya menyaksikan sekurang-kurangnya 189 kes penipuan melibatkan tawaran kerja kosong sejak awal tahun ini.
Menurut perangkaan yang dikeluarkan pada Februari, penipuan melibatkan pekerjaan adalah jenis penipuan yang paling kerap berlaku pada tahun lalu.
Sebanyak 4,554 kes dilaporkan pada 2021 berbanding hanya 132 kes pada 2020.
Jumlah yang ditipu melonjak kepada sekurang-kurangnya S$91 juta pada 2021 berbanding sekurang-kurangnya S$217,000 pada tahun sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.