Skip to main content

Singapura

PSA, pengilang SG berusaha gigih cegah risiko jejas rantaian bekalan SG jelang 2025

Anggaran Waktu Membaca:
PSA, pengilang SG berusaha gigih cegah risiko jejas rantaian bekalan SG jelang 2025
Diterbitkan : 13 Dec 2024 06:09PM Dikemas Kini : 13 Dec 2024 07:49PM
SINGAPURA: Pengendali pelabuhan PSA Singapore sedang bersiap sedia untuk tahun hadapan dengan teknologi yang lebih maju.

Kenderaan automatik di Pelabuhan Tuas akan mendapat peningkatan 5G supaya ia boleh memantau pergerakan kargo dari dermaga ke kapal dalam masa nyata, dengan bantuan syarikat telekomunikasi Singtel dan Ericsson.

Langkah PSA itu selaras dengan rancangan untuk membina pelabuhan automatik sepenuhnya yang terbesar di dunia dalam masa kira-kira dua dekad bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penghantaran global.

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, PSA juga akan meneroka aplikasi 5G dalam bidang-bidang seperti penyenggaraan ramalan, yang melibatkan pemantauan berasaskan dron dan aplikasi realiti lanjutan.

Ini akan membantu para pengendali untuk mengesan sebarang isu dengan cara yang lebih tepat pada masanya dan mencegah kegagalan peralatan, di samping meningkatkan kecekapan dan mengurangkan gangguan.

Huraian canggih sedemikian berguna sekiranya berlaku insiden seperti yang menjejas sektor tersebut pada awal tahun ini, iaitu serangan di Laut Merah.

Kapal-kapal terpaksa mengubah haluan, mengakibatkan kelengahan. Pada bulan Mei, kapal-kapal yang biasanya mengambil masa kurang dari sehari untuk berlabuh terpaksa menunggu sehingga seminggu di Singapura.

Menjelang 2025, para pengilang di Singapura juga menggandakan penggunaan teknologi untuk mengukuhkan rantaian bekalan bagi mengelakkan sebarang kejutan yang berpotensi berlaku.

Firma-firma perlu terus melindungi diri masing-masing daripada ketegangan geopolitik, kepelbagaian rantaian bekalan dan kesan teknologi termasuk kecerdasan buatan, kata Profesor Madya Goh Puay Guan dari Jabatan Analitik dan Operasi di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Beliau menambah bahawa ketidaktentuan boleh menjejas daya tahan rantaian bekalan global selepas Encik Donald Trump mengumumkan bahawa beliau akan mengenakan cukai dan tarif yang lebih tinggi selepas mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat pada bulan depan.

Encik Trump berikrar akan mengenakan tarif yang lebih tinggi ke atas tiga rakan perdagangan terbesar negara itu - Kanada, Mexico dan China.

Beliau merancang untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari Kanada dan Mexico jika kedua-dua negara itu tidak mengekang fentanyl dan pendatang haram yang memasuki sempadan Amerika.

Beliau juga akan mengenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus ke atas import dari China. Encik Trump sebelum ini berkata bahawa beliau akan menamatkan status China sebagai perdagangan negara paling digemari dan mengenakan tarif ke atas import China melebihi 60 peratus - jauh lebih tinggi daripada yang dikenakan semasa penggal pertamanya sebagai presiden.
Sumber : CNA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita