Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PSA jangkaui jumlah kontena pada 2023; cecah rekod tertinggi

Anggaran Waktu Membaca:
PSA jangkaui jumlah kontena pada 2023; cecah rekod tertinggi
Diterbitkan : 27 Dec 2024 04:35PM Dikemas Kini : 27 Dec 2024 04:46PM
SINGAPURA: PSA Singapura mengendalikan lebih 40 juta Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki (TEU) pada Selasa (24 Dis), melebihi jumlah kontenanya pada 2023.

Perangkaan itu memecahkan rekod syarikat tersebut sebelum ini yang mencatatkan sebanyak 38.8 juta TEU pada 2023.

TEU ialah unit ukuran yang digunakan untuk menentukan kapasiti kargo kapal kontena dan terminal.

Dalam kenyataan medianya pada Jumaat (27 Dis), PSA menyatakan bahawa peristiwa penting itu menyerlahkan "pertumbuhan berterusan syarikat tersebut dan kecemerlangan operasinya".

PSA menambah, pencapaiannya didorong oleh "komitmen yang teguh untuk memastikan aliran kargo yang berdaya tahan, cekap dan mampan".

"Ini menekankan peranan penting PSA sebagai pendaya utama perdagangan dan ketersambungan global, serta rakan kongsi yang diyakini oleh para pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan," menurut syarikat itu.

Menurut Majlis Perkapalan Dunia, Shanghai adalah pelabuhan kontena terbesar di dunia.

Pelabuhan Shanghai mengendalikan 49.16 juta TEU pada 2023, manakala PSA menduduki tempat kedua dalam senarai tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PSA International Ong Kim Pong berkata bahawa syarikat itu akan "berusaha untuk mengukuhkan sinergi antara operasi pelabuhan dengan perkhidmatan berkaitan".

Kami tetap komited untuk menyepadukan teknologi canggih dengan kepakaran operasi kami, sambil berusaha untuk mengukuhkan peranan kami sebagai pengendali pelabuhan global yang diyakini dan rakan kongsi yang dipercayai untuk pihak-pihak berkepentingan berhubung kargo," kata Encik Ong.

Nelson Quek, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau PSA International untuk Asia Tenggara, menambah bahawa syarikat itu akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi sektor awam dan swasta untuk menyediakan kapasiti dan keupayaan baharu yang mengukuhkan "kedudukan Singapura sebagai nadi kritikal dalam perdagangan global".

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada para kakitangan dan kesatuan sekerja PSA, "atas ketabahan dan semangat kerja berpasukan sehingga meraih pencapaian ini".
Sumber : CNA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan