Skip to main content

Singapura

PSA International bakal dapatkan ketua eksekutif baharu

Anggaran Waktu Membaca:
PSA International bakal dapatkan ketua eksekutif baharu

Encik Ong Kim Pong (kiri) akan dilantik sebaga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan PSA International, mengambil alih Encik Tan Chong Meng (kanan). (Gambar: PSA International)

SINGAPURA: Pengendali pelabuhan milik Temasek Holdings, PSA International akan mendapat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan yang baru dengan pelantikan Encik Ong Kim Pong.

Encik Tan Chong Meng, CEO kumpulan dan ahli lembaga pengarah syarikat itu, akan bersara daripada jawatannya pada 1 Mac tahun depan, menurut PSA International dalam satu kenyataan media pada Khamis (12 Okt).

Peranan CEO serantau Asia Tenggara akan diambil alih oleh Encik Nelson Quek, pengarah urusan semasa bahagian perniagaan kontena di PSA Singapura - unit perniagaan utama syarikat tersebut. Beliau juga akan menjadi ahli majlis pengurusan kanan PSA.

Semasa peranan Encik Tan sebagai CEO kumpulan sejak 1 Oktober 2011, beliau meningkatkan kaitan PSA dengan pangkalan pelanggan yang lebih luas, termasuk pemilik kargo, syarikat perkapalan dan penyedia perkhidmatan rantaian bekalan, kata PSA.

"Di bawah kepimpinan beliau, fasa pertama pelancaran rasmi Pelabuhan Tuas pada 2022 menandakan satu peristiwa bersejarah dalam sejarah maritim Singapura," tambah pertubuhan itu.

"Gabungan teknologi bertaraf dunia untuk menyokong perkhidmatan tambah nilai pelabuhan dan penyelesaian kargo mengukuhkan status Singapura sebagai pelabuhan hab maritim dan logistik global dalam era digital. "

Encik Tan juga menyokong dan mengetuai usaha penyahkarbon operasi PSA, dengan langkah-langkah yang diambil untuk mengelektrikkan operasi pelabuhannya secara progresif dan meneroka sumber tenaga rendah karbon seperti hidrogen.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, beliau juga menerima beberapa anugerah termasuk Pingat Perkhidmatan Terpuji (COVID-19) pada Jun kerana "menyelaraskan tindak balas pandemik Singapura, melindungi nyawa, dan mengemudi negara ke arah pemulihan" semasa pandemik.

"Ia merupakan satu penghormatan besar untuk memimpin PSA dan menyaksikan metamorfosisnya ke dalam pemain rantaian bekalan global hari ini, bekerjasama dengan perniagaan dan agensi berkaitan pelabuhan dan logistik, pihak berkuasa dan pemilik kargo di seluruh dunia untuk mencapai daya tahan dan kemampanan yang lebih besar," kata Encik Tan.

"Selepas lebih sedekad menerajui pertumbuhan dan transformasi PSA, saya merasakan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk pembaharuan kepimpinan, dan tahu bahawa Kim Pong dan pasukan pengurusan kanan akan dapat membawa PSA ke peringkat seterusnya."

CEO KUMPULAN BAHARU

Encik Ong "memainkan peranan penting dalam kejayaan gabungan dua pengendali pelabuhan terbesar di Belgium untuk membentuk Hesse-Noord Natie NV (HNN)" dari 2001 hingga 2004, apabila beliau menjadi ketua pegawai operasinya.

Selain dinamakan sebagai Pengarah Urusan PSA Antwerp dan PSA Zeebrugge pada tahun 2009, beliau juga memegang jawatan CEO serantau Timur Laut Asia dari tahun 2010 hingga 2015.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif serantau PSA bagi Asia Tenggara sejak lapan tahun lalu, Encik Ong membantu PSA Singapura mengukuhkan kedudukannya sebagai "salah satu pelabuhan terkemuka di Asia dan melancarkan fasa pertama Pelabuhan Tuas".

Syarikat itu juga menyatakan bahawa Encik Ong juga kini berkhidmat sebagai pengerusi CrimsonLogic dan menganggotai lembaga cabang modal teroka korporat PSA, iaitu PSA unboXed.

Encik Ong berkata: "Saya berusaha untuk terus membina sumbangan Chong Meng kepada organisasi dengan mengembangkan perniagaan teras kami di pelabuhan dan logistik, dan mengukuhkan hubungan dengan pelanggan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan."

CEO SERANTAU ASIA TENGGARA BAHARU

Encik Quek pertama kali menyertai PSA pada 1993 sebagai jurutera mekanikal, kata PSA, sambil menambah bahawa beliau adalah salah seorang perintis dalam mengemudi dan memperkenalkan kren jambatan atas dalam operasi terminal - yang pertama di dunia pada masa itu.

Beliau kemudian menjadi ketua perancangan Tuas pada 2016, dan membentuk konsep pelabuhan automatik sepenuhnya yang terbesar di dunia, yang memulakan fasa pertama pada akhir 2021.

Sebagai pengarah urusan semasa PSA Singapura bagi bahagian perniagaan kontena sejak 2021, syarikat itu menarik perhatian bahawa Encik Quek juga bertanggungjawab bagi pembangunan keseluruhan Pelabuhan Tuas.
Sumber : CNA/EV/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita