Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PRU15: Siapakah yang akan pimpin UMNO dalam Parlimen? Kekalahan UMNO dan BN bukan silap Zahid Hamidi sahaja, kata pengamat politik Dr Norshahril Saat

Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 (PRU15) boleh dianggap sebagai tsunami politik kedua baginya selepas tsunami politik 2018.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 (PRU15) boleh dianggap sebagai tsunami politik kedua baginya selepas tsunami politik 2018.

BN hanya menang 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi - sekali gus menjadikannya kekalahan terbesar sejak penubuhannya.

Desakan-desakan semakin lantang menuntut supaya Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, segera meletak jawatan.

Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat berkongsi pengamatan beliau tentang corak pengundian PRI15 kali ini serta percaturan politik pasca pilihan raya.

Apakah corak pengundian yang kita lihat melalui keputusan PRU15?
 
Kalau kita lihat beberapa parti semakin mengukuhkan kedudukan masing-masing. Di antaranya ialah parti PAS dan parti DAP yang kita lihat bahawa mereka berjaya memenangi kubu-kubu kuat mereka dan meluaskan lagi pengaruh mereka. Kalau kita lihat dari segi kawasan luar bandar, kita ada sedikit pertukaran di antara Barisan Nasional ke Perikatan Nasional. Tapi kalau kita lihat dari segi kawasan undi di bandar pula, ia masih sama dan tiga tempat kubu kuat Pakatan Harapan. Secara amnya mungkin sama cuma setiap parti mengukuhkan kedudukan masing masing.
 
Kalau kita lihat di Sabah dan Sarawak terlihat bahawa GPS mengukuhkan kedudukannya di Sarawak dan GPS ada sedikit semacam pertukaran kerana kita lihat bahawa Parti Warisan sebenarnya dari segi pengaruhnya semakin berkurangan. 

Kesan Pengundi Muda
 
Kalau kita lihat dari segi penurunan usia pengundi ke 18 tahun kita masih tertanya tanyalah sebelum pilihan raya ini. Apakah kesannya? Dan kita semua tidak tahu apakah kesannya? Tapi kalau kita lihat setelah pilihan raya diadakan sebenarnya tidak begitu banyak berubah. Ia kerana kita tahu bahawa golongan muda juga ada kerencaman  masing masing.
 
Mungkin ada persepsi sebelum pilihan raya,golongan muda ini mahukan perubahan. 

Golongan muda ini mahu lebih cenderung kepada pembangkang dan sebagainya. Tetapi kita lihat bahawa golongan muda juga boleh dibezakan dari sudut kelas di mana mereka mengundi semasa di kawasan bandar atau luar bandar. Kita juga ada aspek kaum dan sebagainya. Ini juga memainkan peranan bagaimana golongan belia ini mengundi. Jadi kita lihat bahawa tidak begitu banyak perubahan dan kesan yang sebelum ini dikatakan.
 
PAS meraih kerusi terbanyak. Bagaimanakah kita dapat mentakrif keputusan ini?
 
PAS sebenarnya masih mengukuhkan lagi kedudukannya di kawasan pantai timur. Sebelum ini, kita tahu bahawa PAS memang kuat di Kelantan dan Terengganu dan juga sebahagian di Kedah. Ada beberapa kerusi itu dimiliki di UMNO, tapi kita lihat dari sudut Parlimen sekarang ini disapu bersih oleh parti PAS. PAS ini mengukuhkan kedudukannya di pantai timur dan kesannya adalah dengan adanya lebih ramai anggota parlimen, mereka mungkin boleh diberikan tempat yang lebih baik di Kabinet Malaysia dan boleh mencorak dasar-dasar negara. Jadi PAS ini satu blok yang mungkin terkuat dalam gabungan pemerintahan seterusnya.
 
Kalau PAS meraih kerusi terbanyak, DAP menang kerusi kedua terbanyak, namun adakah ini juga menjadi punca utama penolakan terhadap Pakatan Harapan untuk menjadi rakan dalam kerajaan campuran. Adakah terdapat unsur-unsur politik perkauman di sini?
 
Kalau kita lihat kedudukan DAP, sejak awalnya itu memang konsisten. Dan gabungan Pakatan Harapan pada kali ini, mungkin berbeza daripada pilihan raya 2018 di mana Pakatan Harapan dipimpin oleh Parti Bersatu dipimpin oleh Tun Dr Mahathir. Jadi kita lihat dari segi modal itu seakan- akan sebenarnya dengan model Barisan Nasional sebelum ini.
 
Tapi kalau kita lihat kali ini Pakatan Harapan lebih cenderung untuk merealisasikan satu polisi yang baru pelbagai kaum. Kita lihat bahawa dari segi ini memang kita dapat pastikan bahawa DAP memang lebih cenderung kepada parti-parti seperti PKR dan juga Amanah. Jadi kalau kita lihat, ini dari segi sudut percaturan politik, ia amat konsisten daripada sebelum ini dan memang ruang yang terbaik untuk DAP adalah Pakatan Harapan.
 
BN dan UMNO kecundang. Di mana ia silap Zahid Hamidi?
 
Kita tidak boleh menyalahkan hanya seorang individu terhadap kekalahan Barisan Nasional dan juga UMNO. Mungkin dari segi pendekatannya ataupun cara mereka berkempen dengan pilihan raya ini yang menyebabkan mereka ini tidak begitu bermaya dalam pilihan raya pada kali ini. Ada pelbagai sebab mungkin antaranya adalah dari segi kepimpinan, masih ramai yang ragukan siapakah sebenarnya pemimpin UMNO dan Barisan Nasional? Mereka depankan Ismail Sabri. Tapi presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan juga Mohamad Hassan itu masih memainkan peranan sebagai pemimpin UMNO.
 
Ini menimbulkan tanda tanya mungkin. Kemudian kita lihat bahawa ada pemimpin-pemimpin kanan  diletakkan di tempat tempat yang baru sebenarnya. Di antaranya adalah Khairy Jamaluddin. Dan ini belum pernah diuji. Jadi itu mengambil satu risiko yang besar dan malangnya bagi Khairy Jamaluddin, beliau tewas. Dan  mungkin seorang lagi Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan sebelum ini diletakkan di satu kawasan bandar dan sebagainya dan beliau adalah pendatang baru. Dari segi politik UMNO, ia juga satu risiko yang besar.
 
Jadi mengambil risiko itu mungkin ada kesannya tersendiri dan ini menyebabkan mungkin UMNO gagal untuk memenangi beberapa kerusi penting. Dan saya fikir ada pelbagai faktor dari segi komunikasi dan sebagainya. Dan kalau kita lihat cara berkempen, Perikatan Nasional itu sangat ke akar umbi. Dan mungkin ini satu penyebab utama, Perikatan Nasional memberi saingan yang hebat kepada UMNO dan Barisan Nasional.
 
Dari segi modal dan ideologinya, sebenarnya Perikatan Nasional itu hampir sama dengan Barisan Nasional. Malah mereka ni daripada DNA yang sama. Juga mereka menjadi seteru utama dan  mungkin pesaing utama. Jadi rakyat mungkin harus memilih di antara keduanya dan mereka lebih cenderung kepada Perikatan Nasional.
 
Menyentuh tentang UMNO, adakah sudah tiba masanya diadakan reformasi dalam UMNO dan siapa menurut anda antara pelopor dalam parti?
 
Kita perlu balik kepada sejarahnya. Kalau kita lihat pada tahun 2012,  Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengetepikan dirinya sebagai Presiden UMNO. Mungkin kita akan lihat desakan desakan agar presiden UMNO tu melakukan perkara yang sama. Tapi masalahnya sekarang ini adalah dengan bilangan kecil, ahli-ahli UMNO dipilih sebagai ahli Parlimen. Mungkin dari segi siapakah yang akan memimpin UMNO dalam parlimen, itu mungkin sukar untuk jadi personaliti tertentu.
 
Ini kerana gugurnya beberapa disebut sebagai panglima-panglima UMNO, di antaranya seperti Khairy Jamaluddin, Tengku Zafrul dan sebagainya. Ia mungkin satu sebagai satu hambatan bagi UMNO. Jadi mereka harus - untuk mendapatkan reformasi, mereka harus memerlukan mungkin yang terpilih dalam Parlimen dan mungkin seorang yang calon yang mungkin lebih senior adalah Mohamad Hassan sebagai Timbalan Presiden sekarang ini dan beliau menang besar di kawasan undinya. Ada juga beberapa tokoh-tokoh lain seperti Hishammuddin Hussein yang mungkin boleh melakukan gerakan reformasi dalam UMNO, tapi ini satu hambatan. Satu cabaran yang sukar bagi UMNO saya lihat.
 
Kita lihat bahawa Nurul Izzah kalah. Apa petanda untuk keluarga Anwar Ibrahim?
 
Kalau kita lihat dari segi pilihan raya pada kali ini, kita lihat semakin ada tindak balas terhadap mungkin politik keluarga. Kita lihat bahawa Tun Dr Mahathir dan juga Mukhriz Mahathir kecundang pada kali ini. Dan satu lagi yang menarik adalah tentang kerusi Permatang Pauh disebut sebut sebagai kerusi keluarga Anwar Ibrahim. Yang sebelum ini, Anwar Ibrahim memegang kerusi tersebut kemudian ke isteri beliau, Wan Azizah. Kemudian sekarang ini Nurul Izzah dan beliau telah gagal. Jadi ini satu isyarat bahawa pengundi boleh anuh hukum sesiapa sahaja tidak berdasarkan personaliti tidak berdasarkan latar belakang dan sebagainya.
 
Dr Mahathir Mohd kalah teruk dalam pilihan raya kali ini. Adakah ini sesuatu yang tidak dijangka? Adakah anda juga melihat bahawa ia penolakan orang muda?
 
Mungkin ada pelbagai tafsiran tentang kegagalan Dr Mahathir untuk meneruskan tugas beliau sebagai ahli Parlimen di Langkawi. Kita tahu bahawa Langkawi sangat sinonim dengan beliau. Beliau yang sebenarnya menghidupkan pulau Langkawi itu semasa beliau menjadi Perdana Menteri, ia ada pelbagai tafsiran. Mungkin ada yang mengatakan bahawa dari segi usia beliau yang mungkin tidak sesuai dengan keadaan semasa.
 
Mungkin juga adalah tafsiran terhadap ini adalah satu pengaruh daripada akar umbi. Kita tahu bahawa Tun Dr Mahathir ini sangat aktif di Parlimen di peringkat Federal yang mengutarakan dasar-dasar dan sebagainya dan beliau berpengalaman sebagai mantan Perdana Menteri. Tetapi apakah itu ada implikasi terhadap mungkin di peringkat akar umbi di Langkawi yang sebagainya. Ada pula yang mengatakan bahawa tiada landasan yang begitu panjang untuk mungkin gerakan beliau,gerakan tanah air dan juga Parti Pejuang.
 
Ada pula yang mengatakan bahawa masalah struktural, dari segi kewangan mungkin kurang dana bagi Parti Pejuang. Ini lah pelbagai sebab yang ditafsirkan. Tetapi di peringkat ini saya fikir isunya adalah bagaimana Malaysia akan mengenang jasa-jasa beliau. Apakah kesudahan politik beliau dengan yang sangat rendah akan menjejas agaimana sejarah akan menilai jasa jasa beliau itu? Itu menjadi persoalan seterusnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan