PRU15: Rakyat Malaysia jalankan tanggungjawab undi meski harus pulang ke SG demi tugas
Keadaan di Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands pagi tadi (19 Nov) sibuk dengan kehadiran ramai rakyat Malaysia yang mahu menjalankan tanggung jawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 (PRU15).
BERITAmediacorp: Keadaan di Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands pagi tadi (19 Nov) sibuk dengan kehadiran ramai rakyat Malaysia yang mahu menjalankan tanggung jawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 (PRU15).
Tinjauan BERITAmediacorp mendapati bahawa ramai yang menempah tiket kereta api yang berangkat paling awal dari Woodlands, iaitu pada jam 8.30 pagi.
Salah seorang daripada mereka adalah Encik Muhd Jaafar, yang berasal dari Johor Bahru.

"Banyak kawan-kawan di tempat kerja yang sudah pulang. Jadi saya tidak dapat balik. Hari ini baru saya dapat pulang. Sebenarnya dua hari lepas saya sudah ingin pulang tetapi ramai sangat pekerja yang ingin pulang juga, tidak ada orang ganti," jelas Encik Jaafar.
Menurut Encik Jaafar, beliau akan kembali semula ke Singapura selepas mengundi kerana perlu bertugas pada waktu petang.
Seorang lagi adalah Encik Kahar Ismail.
"Saya tiap-tiap hari keluar masuk JB dan Singapura. Jadi perancangan hari ini, pukul 12 tengah hari, saya akan pulang ke Malaysia untuk mengundi. Dari CIQ kalau pulang ke rumah hanya makan masa dalam 10 minit saja. Saya undi pun di kawasan itu juga, jadi tidak ada masalah."

Mengenai harapannya untuk kerajaan baru Malaysia nanti, Encik Kahar berkata: "Saya rasa semua sudah tahu, kita ingin satu negara yang bebas rasuah, itu saja."
Cik Rosmawati dan Cik Rahidah yang kedua-duanya, tinggal di Johor Bahru juga tidak tergesa-gesa untuk pulang mengundi.

(Gambar: Cik Rahidah (kiri), Cik Rosmawati (kanan))
Cik Rosmawati berkata: "Masa slot undi saya dari jam 12.00 tengah hari sehingga 2.00 petang. Jadi sempat untuk saya pulang dan tempat mengundi pun tutup jam 6.00 petang, jadi kita tidak terkejar masa sangat."
"Saya tinggal dekat saja, sebab itu saya pilih untuk pulang hari ini," kata Cik Rahidah.
"Untuk kerajaan baru ini, harap dapat bantu ekonomi, lebih baik daripada lepas, itu yang paling utama sekali," tambah beliau.
TIDAK PERGI MENGUNDI
Semasa kru BERITAmediacorp berada di luar kawasan Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands, beberapa rakyat Malaysia juga kelihatan tiba di Singapura sebelum jam 8.00 pagi iaitu waktu pengundian bermula secara rasmi di Semenanjung Malaysia.

Encik Anantha, 34 tahun adalah antara rakyat Malaysia yang tidak mengundi bagi PRU15 kali ini.
"Saya perlu mengundi di Kuala Lumpur. Jauh kalau nak pergi balik, dan saya hanya dapat satu hari cuti. Disebabkan kali ini tidak daftar, saya pun tidak akan undi."
Meskipun tidak ke kotak undi, Encik Anantha melahirkan harapan untuk kerajaan Malaysia yang baru nanti.

"Harapan saya, kalau apapun, kerajaan baru dapat jaga Malaysia sebab ada banyak orang susah, jadi, tolonglah mereka," katanya.
Encik Pervin yang berasal dari negeri Perak pula berkata: "Saya tidak dapat cuti panjang, saya pun baru mula bekerja bekerja di Singapura."

"Saya asal dari Perak, jauh sangat. Itu sebab saya tidak balik. Kalau boleh memang saya undi lah. Tetapi sebab tidak dapat cuti, jadi saya tinggal di sini saja," ujarnya.
Rakannya, Encik Aravin, yang juga berasal dari negeri Perak kecewa tidak dapat mengundi.

"Sekarang pun tidak boleh undi, rasa lain macam. Saya rasa sakit hati juga tidak dapat cuti. Kalau boleh undi di JB tak mengapa, tetapi tidak boleh. Apa nak buat?"
DAKWAT DI JARI, GEMBIRA DAPAT MENGUNDI
Kru BERITAmediacorp juga sempat bertemu dengan beberapa warga Malaysia selesai menjalankan tanggung jawab mereka untuk mengundi.
Seperti penduduk Johor Bahru Encik Rain Lim yang tiba di Singapura pada sekitar jam 10.00 pagi.

"Bos saya di Singapura sudah kata selepas mengundi perlu pulang ke sini. Ada tiga atau empat pekerja seperti saya."
"Hati saya senang, gembira sudah mengundi untuk Malaysia. Kita hanya boleh tolong Malaysia untuk masa depan lebih bagus," kata Encik Lim.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Muhammad Ilham berkata: "PRU15 ini kali pertama saya dapat mengundi sebab rakyat berusia 18 tahun ke atas sudah boleh mengundi kan?"

"Memang rasa ghairah sebab nak tahu bagaimana hasilnya untuk Malaysia sebab pentadbiran yang dulu pun kita tahu bagaimana mereka tangani situasi COVID-19 juga, ramai rakyat yang tidak puas hati. Saya mengharapkan PRU15 tahun ini dapat mengubah nasib rakyat Malaysia," tambahnya.

Lebih ramai warga Malaysia dijangka menggunakan perkhidmatan kereta api ulang-alik baru antara Singapura dengan Johor Bahru sebelum pusat-pusat mengundi ditutup pukul enam petang ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.