Skip to main content

Singapura

Prototaip sistem isyarat polis diuji bagi tingkatkan operasi SPF di tempat terpencil

Pihak berkuasa Singapura sedang merintis peranti kendiri baru yang membolehkan orang ramai menghubungi polis dengan mudah.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Dec 2020 10:49PM Dikemas Kini : 11 Dec 2020 10:54PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura sedang merintis peranti kendiri baru yang membolehkan orang ramai menghubungi polis dengan mudah.

Dikenali sebagai sistem isyarat polis, dua prototaip akan dirintis selama setahun mulai bulan ini, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) dalam satu kenyataan media bersama pada Jumaat (11 Dis).

Prototaip-prototaip itu akan diletakkan di laluan penghubung taman Punggol dan Sengkang Riverside.

(Gambar: Mediacorp)

Dilengkapi dengan alat-alat intervensi seperti kamera litar tertutup (CCTV), semboyan, suar (blinkers), cahaya limpah dan pembesar suara - kesemuanya dapat dihidupkan dari Pusat Kawalan Operasi Polis (POCC) - sekali gus sistem isyarat polis itu "berfungsi sebagai unjuran kehadiran polis meskipun jika para pegawai polis sebenarnya tidak hadir secara fizikal", menurut SPF dan HTX.

Orang awam boleh menghubungi POCC dengan cepat, secara langsung dan dalam masa nyata melalui butang perhubungan pada setiap sistem isyarat dan para pegawai polis dapat menyediakan bantuan sebelum para pegawai tiba di tempat kejadian.

(Gambar: Mediacorp)

Sistem-sistem isyarat itu dikonsepsikan dan direka oleh Pusat Pengurusan Program Pengawasan HTX bersama SPF.

SPF dan HTX menyatakan orang awam dapat menjangkakan kehadiran lebih banyak sistem sedemikian di laluan penghubung taman dan di tempat-tempat awam di masa hadapan, jika ujian rintis itu berjaya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita