Skip to main content

Singapura

Protokol keselamatan dipatuhi dalam kejadian tembakan libatkan pengayuh basikal di Nee Soon: MINDEF

Siasatan menyusuli kejadian yang melibatkan seorang pengayuh basikal, yang mengalami luka tembakan berhampiran Nee Soon Range sejauh 500 meter, menunjukkan bahawa semua arahan latihan, protokol keselamatan dan langkah kawalan yang berkaitan dipatuhi semasa aktiviti menembak dengan menggunakan peluru hidup dijalankan.

Anggaran Waktu Membaca:
Protokol keselamatan dipatuhi dalam kejadian tembakan libatkan pengayuh basikal di Nee Soon: MINDEF

Lelaki itu sedang berbasikal bersama rakan-rakannya di Hutan Simpanan Kawasan Tadahan Air Tengah semasa kejadian, menurut polis. (Gambar: MINDEF)

SINGAPURA: Siasatan menyusuli kejadian yang melibatkan seorang pengayuh basikal, yang mengalami luka tembakan berhampiran Nee Soon Range sejauh 500 meter, menunjukkan bahawa semua arahan latihan, protokol keselamatan dan langkah kawalan yang berkaitan dipatuhi semasa aktiviti menembak dengan menggunakan peluru hidup dijalankan.

Demikian menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Isnin (23 Jun).

Dalam satu kenyataan media, MINDEF memaklumkan bahawa senjata, peluru, posisi menembak dan penempatan sasaran adalah selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

“Nee Soon Range sejauh 500 meter direka dan dibina mengikut piawaian keselamatan antarabangsa serta diperakui bagi penggunaan senjata seperti mesingan serba guna dan senapang penembak tepat,” menurut MINDEF.

“Sasaran boleh diletakkan pada kejauhan maksimum 500 meter dari titik tembakan semasa latihan sedemikian.”

MINDEF turut menjelaskan bahawa Nee Soon Range disenggara dan diperakui semula secara berkala bagi memastikan keselamatan operasinya.

“Di luar ‘stop butt’ lapangan menembak itu, kawasan larangan berfungsi sebagai zon penampan keselamatan yang diperlukan bagi menangani kemungkinan seperti lantunan peluru,” tambah kenyataan itu.

“Zon penampan ini ditentukan melalui ujian dan simulasi trajektori yang sejajar dengan aktiviti menembak menggunakan peluru hidup di lapangan menembak berkenaan.”

Papan tanda amaran yang jelas dan mudah dilihat agar orang awam menjauhi kawasan larangan semasa latihan menembak turut dipasang di beberapa laluan masuk di sekitar kawasan tersebut.

Seorang lelaki berusia 42 tahun mengalami luka tembakan pada 15 Jun semasa mengayuh basikal di kawasan hutan larangan berhampiran lapangan menembak tersebut, ketika SAF sedang menjalankan aktiviti menembak menggunakan peluru hidup.

Semasa kejadian, aktiviti menembak menggunakan peluru hidup yang dibenarkan sedang dijalankan SAF di lapangan menembak tersebut, kira-kira 2.3 kilometer dari lokasi kejadian.

Pihak polis turut mengesahkan bahawa pengayuh basikal tersebut sedang disiasat atas kesalahan menceroboh secara sengaja, dan siasatan sedang dijalankan.

“SAF mengekalkan rangka kerja keselamatan yang kukuh bagi memastikan aktiviti menembak menggunakan peluru hidup dijalankan dengan selamat, dan akan terus bekerjasama dengan NParks untuk memastikan langkah keselamatan serta amaran kepada orang awam mengenai kawasan larangan diteruskan,” kata MINDEF.

“MINDEF menggesa kerjasama orang awam agar menjauhi kawasan larangan latihan menembak demi keselamatan mereka sendiri.”

MINDEF turut mengingatkan orang awam bahawa tindakan menceroboh ke kawasan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pergerakan Tentera.

Operasi Nee Soon Range sejauh 500 meter akan disambung semula dengan serta-merta.

Aktiviti menembak menggunakan peluru hidup yang seterusnya dijadualkan berlangsung pada 26 Jun.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita