Skip to main content

Singapura

'Proses wajar' dilaksana susuli pengecualian juara Sukan SEA daripada skuad: Fencing SG

Anggaran Waktu Membaca:
'Proses wajar' dilaksana susuli pengecualian juara Sukan SEA daripada skuad: Fencing SG

Gambar: Instagram/samsonlee.lmh

Diterbitkan : 27 Apr 2023 09:15PM
SINGAPURA: "Proses wajar" dilaksanakan menyusuli langkah Fencing Singapore untuk mengecualikan salah satu daripada atlit terbaik mereka daripada skuad bagi Sukan Asia Tenggara (SEA).

Demikian menurut persatuan sukan kebangsaan pada Khamis (27 Apr).

Ia menambah bahawa "pertimbangan menyeluruh" diambil kira berhubung "faktor mitigasi" Encik Samson Lee, sebelum keputusan tersebut dimuktamadkan.

Encik Lee, yang merupakan sebahagian daripada pasukan lawan pedang Singapura yang menyumbang pingat emas bagi Sukan SEA 2021, memuat naik satu catatan di Instagramnya pada Sabtu lalu bahawa beliau tidak akan beraksi di Sukan SEA akan datang di Kemboja, meskipun beliau "sepatutnya layak" mendapat tempat untuk beraksi dalam kategori individu dan secara berpasukan.

Atlit berusia 36 tahun itu menyatakan dalam catatan tersebut bahawa beliau sudah "digugurkan persatuan tersebut" setelah beliau tidak menghadiri tiga sesi latihan. Beliau menjelaskan bahawa sesi-sesi latihan tersebut berlangsung dalam salah satu tempoh paling sibuk dan mencabar baginya.

Mediacorp difahamkan bahawa sesi-sesi tersebut tidak dihadiri Encik Lee kerana bapanya dimasukkan ke hospital dan isterinya pula sedang bersalin.

"Usaha, persiapan, latihan, keputusan pertandingan saya ... Semuanya sia-sia saja, kerana ia diputuskan oleh mereka bahawa tiga sesi latihan yang saya tidak hadiri ini, memberikan kesan jauh lebih besar berbanding segala usaha serta kerja keras yang saya berikan dalam persiapan bagi Sukan SEA," ujar pengasas Akademi Lawan Pedang SG itu.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Fencing Singapore menyatakan bahawa ia bersikap fleksibel apabila atlit lawan pedang berdepan dengan "keadaan tertentu", dan malah menekankan bahawa atlit mereka pernah dikecualikan daripada syarat latihan yang serupa sebelum ini.

"Dalam kes seumpama itu, setelah dimaklumkan, Fencing Singapore mencari aturan alternatif untuk menyokong keperluan atlit lawan pedang, berdasarkan masa pendahuluan yang mencukupi.

"Dalam kes Encik Lee, dengan Sukan SEA membuka tirainya pada Mei, hal demikian mustahil dan kami kongsi kekesalannya," luah persatuan tersebut.

Fencing Singapore menambah bahawa ia sudah mempertimbangkan anggota pasukan kebangsaan lain, yang juga sedia maklum mengenai syarat-syarat latihan dan "mempunyai jangkaan yang wajar untuk mengambil alih tempat Encik Lee".

Ia mengesahkan bahawa tiada pengambilalihan tempat Encik Lee dalam acara pasukan. Manakala, seorang atlit lawan pedang "yang memenuhi syarat latihan yang diperlukan" bakal mengambil alih tempat Encik Lee dalam acara individu.

Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp, Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) mendedahkan bahawa Encik Si To Jian Tong bakal mengambil alih tempat Encik Lee untuk beraksi dalam acara individu tersebut.

Menurut SNOC, permintaan pengambilalihan bagi acara pasukan tidak memenuhi piawai yang ditetapkan pihak penganjur Sukan SEA bagi kelewatan pengambilalihan atlit. SNOC menetapkan piawai pemilihan bagi sukan temasya utama dan meluluskan pencalonan daripada persatuan sukan kebangsaan (NSA).

"Selain piawai pemilihan SNOC, atlit yang dipilih perlu memenuhi syarat pemilihan NSA untuk dicalonkan oleh NSA kepada SNOC untuk dipertimbangkan," tambah SNOC.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita