Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Proses NUH tidak sumbang kepada wanita alami keguguran; kelemahan lain akan diperbetulkan

Anggaran Waktu Membaca:
Proses NUH tidak sumbang kepada wanita alami keguguran; kelemahan lain akan diperbetulkan

Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY

SINGAPURA: Terdapat kelemahan pada proses dan komunikasi yang perlu diperbaiki di Hospital Universiti Nasional (NUH) untuk mengelakkan berulangnya kejadian di mana seorang wanita yang hamil mengalami keguguran, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Sungguhpun demikian, "penilaian menyeluruh" yang dijalankan oleh hospital itu mendapati bahawa ia "tidak menyumbang kepada keguguran tersebut", tambah MOH.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu malam (27 April), MOH turut mendedahkan bahawa ia sudah menyelesaikan semakan yang dijalankan terhadap siasatan NUH ke atas kes di mana seorang wanita hamil dipercayai dibiarkan tanpa pengawasan selama dua jam di jabatan kecemasan hospital tersebut.

"MOH berpuas hati NUH sudah mengenal pasti jurang dan kelemahan pada proses dan komunikasi yang menyumbang kepada kejadian itu dan melaksanakan tindakan-tindakan pembetulan yang disarankan.

MOH juga berkongsi hasil siasatan dan pengajaran daripada kejadian tersebut dengan semua hospital awam,” menurut kementerian itu.

Menyusuli insiden pada 15 Mac itu, hospital berkenaan menjalankan "siasatan menyeluruh" terhadap kejadian tersebut, termasuk meneliti rakaman video dan menemu bual semua kakitangan yang terlibat.

Siasatan itu, yang dijalankan oleh pasukan doktor kanan dan para jururawat dari jabatan kecemasan NUH, jabatan sakit puan dan pasukan ehwal perubatan tadbir urus klinikal, menurut MOH.

Mengulas tentang kejadian itu, MOH menyatakan pihak hospital sudah melaksanakan “protokol akses pantas” untuk para pesakit hamil dengan tanda-tanda akan bersalin di unit kecemasan.

Selepas mengenal pasti pesakit untuk memutuskan siapa yang perlu dirawat dahulu, pesakit yang hamil akan "dipindahkan terus ke bilik bersalin untuk dinilai oleh doktor sakit puan dan bukan dinilai oleh doktor jabatan kecemasan dahulu sebelum membuat keputusan untuk memindahkan pesakit”.

"Bagaimanapun, dalam kes ini, disebabkan oleh jumlah pesakit yang luar biasa tingginya di jabatan kecemasan pada malam itu, dan bilik bersalin pula sudah penuh, proses pemindahan segera ke bilik bersalin terputus, mengakibatkan pesakit tidak dapat diperiksa tepat pada masanya," tambah MOH.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung sebelum ini mengatakan bahawa MOH akan bekerjasama dengan pihak hospital untuk menyiasat kejadian itu.

Beliau turut berkata pada bulan lalu bahawa pihak berkuasa memandang serius terhadap kejadian sedemikian dan "sebarang kesilapan atau kelemahan" akan diperbetulkan.

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan