Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Proses dapat pasport baru ambil masa sebulan: ICA

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Warga Singapura yang ingin membuat atau memperbaharui pasport mereka boleh menjangkakan tempoh proses sekurang-kurangnya sebulan kerana Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) kini berdepan dengan jumlah permohonan yang melonjak.

"Disebabkan jumlah permohonan sangat tinggi bagi pasport, anda boleh menjangkakan tempoh proses sekurang-kuranya satu bulan," menurut ICA dalam satu notis di lamannya.

Tempoh proses berkenaan akan mengambil masa lebih panjang jika gambar pemohon tidak menepati syarat, tambah ICA.

Minggu lalu, ICA mengumumkan bahawa mereka menerima sekitar 6,000 permohonan bagi pasport dalam sehari berbanding 2,000 sebelum pandemik COVID-19.

Ini disebabkan "permintaan terpendam bagi 1 juta pasport yang sudah tamat tempoh atau menghampiri tarikh tamat tempoh dek sekatan sempadan COVID-19", menurut ICA.

Warga Singapura yang merancang untuk melancong dalam beberapa bulan akan datang dan mereka yang ingin memperbaharui pasport mereka digesa untuk membuat permohonan awal. Anda boleh berbuat demikian di laman ICA.

Yuran permohonan adalah S$70 dan pemohon akan dimaklumkan mengenai keputusan permohonan melalui pos atau emel. Anda juga boleh memeriksa status permohonan melalui portal e-Service ICA.

Apabila permohonan diluluskan, pemohon akan dimaklumkan melalui SMS, emel atau pos. Anda boleh membuat janji temu untuk mengambil pasport anda daripada salah satu daripada 27 pejabat pos yang ditetapkan atau bangunan ICA dalam tempoh sebulan selepas diluluskan.

Anda harus membawa bersama pasport lama, jika sah, serta kad pengenalan (IC) fizikal atau digital.

Jumlah permohonan yang melonjak tinggi itu berlaku selepas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa Singapura akan melonggarkan lagi sekatan perjalanan keluar masuk negara. Ini termasuk rangka kerja baru yang dipermudahkan bagi perjalanan individu sudah divaksin

ICA sudah beri peringatan kepada warga Singapura minggu lepas bahawa anda tidak perlu memperbaharui pasport anda jika anda berada di Singapura dan tidak ada cadangan untuk melancong buat enam bulan akan datang.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan