Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Proses daftar kad SIM prabayar di S'pura diperketat elak jatuh ke tangan penjenayah

Anggaran Waktu Membaca:
Proses daftar kad SIM prabayar di S'pura diperketat elak jatuh ke tangan penjenayah

(Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 14 Feb 2022 09:02AM Dikemas Kini : 14 Feb 2022 09:02AM

SINGAPURA: Pendaftaran palsu kad SIM prabayar, yang boleh digunakan penjenayah untuk berkomunikasi bagi kegiatan pinjaman wang tidak berlesen, skim penipuan dan maksiat tanpa mendedahkan identiti mereka, mendapat tumpuan baru-baru ini. 

Pada 16 Januari, polis menyerbu 17 kedai telefon bimbit dalam satu operasi selama sembilan jam di kawasan Orchard, Woodlands, Pasir Ris dan Geylang. 

Para pegawai memberkas sembilan lelaki dan seorang wanita, yang disyaki membuat  pendaftaran palsu kad SIM prabayar menggunakan maklumat pelanggan ataupun warga asing yang belum memasuki Singapura, atau sudah meninggalkan negara ini, kata polis. 

Penjual tersebut didakwa  mendaftar akaun prabayar menggunakan maklumat orang lain dan kemudian menjualnya kepada pelanggan yang tidak mahu mendedahkan identiti mereka, tambah polis. 

Pada 20 Januari pula, empat lelaki dan seorang wanita didakwa dalam satu kes di mana maklumat peribadi pelanggan digunakan untuk mendaftar lebih 460 kad SIM prabayar. 

Salah seorang daripada mereka dituduh menyimpan nombor pasport ataupun permit kerja 37 orang dan menggunakan maklumat berkenaan untuk mendaftar sebanyak 51 kad SIM prabayar antara Januari 2020 hingga Ogos 2020. Seorang lagi didakwa menggunakan salinan pasport untuk mendaftar kad SIM. 

Mediacorp menghubungi Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), syarikat telko dan peruncit telefon bimbit untuk memahami proses mendaftar kad SIM, langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan dan cara ia boleh disalahgunakan. 

Seorang jurucakap IMDA memberitahu Mediacorp ia memandang serius integriti proses pendaftaran. "Kami sudah menetapkan langkah kawalan yang ketat dan memperkukuhkan langkah-langkah berkenaan secara beransur-ansur untuk mengurangkan lagi berlakunya pendaftaran palsu," kata jurucakap tersebut. 

TANGANI KELEMAHAN

Langkah untuk mengetatkan lagi penggunaan kad SIM prabayar dilakukan berikutan serangan 11 September di Amerika Syarikat pada 2001, di tengah-tengah keprihatinan global bahawa  pengganas menggunakan kad sedemikian untuk berkomunikasi, tanpa identiti mereka diketahui. 

Namun, memandangkan kad SIM prabayar, yang menurut IMDA merangkumi hampir suku  langganan telefon bimbit keseluruhannya di Singapura, masih digunakan ramai untuk berkomunikasi kerana kosnya yang murah, pihak berkuasa perlu mencari jalan untuk mengimbangi keselamatan dengan fleksibiliti. 

Pada 2005, Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Penguasa Pembangunan Infokom pada ketika itu memperkenalkan peraturan yang mengehadkan setiap pengguna kepada tidak lebih 10 kad SIM prabayar.

Pada 2014, IMDA memperketatkan lagi peraturan itu dengan mengurangkan jumlah kad bagi setiap pengguna kepada tiga. 

Ketika itu, peruncit menggunakan peranti khas untuk mendaftar maklumat pelanggan secara manual, selepas meminta dokumen pengenalan mereka. Proses yang sama boleh digunakan untuk mendaftar ketiga-tiga kad SIM sekali gus. 

Terdapat peruncit yang menyalahgunakan proses ini, menurut pihak berkuasa dan kedai telefon bimbit. Misalnya, mereka  membuat salinan kad pengenalan pelanggan semasa mereka tidak melihat, atau menggunakan maklumat mereka untuk membuat pendaftaran bagi lebih satu kad SIM tanpa pengetahuan mereka. 

"Apabila selesai urus niaga tersebut, mereka akan mempunyai kad SIM aktif yang boleh dijual tanpa meminta sebarang maklumat," kata Encik Winston Foo, 36 tahun, di kedai telefon bimbit Mobyshop di Orchard. 

Baru-baru ini, pada November 2021, IMDA memperketatkan lagi proses mendaftar dengan melarang pendaftaran dibuat secara manual, dan memerlukan syarikat telko dan peruncit untuk mengimbas dan memuat naik gambar ID pelanggan. Setiap pendaftaran hanya akan memproses satu kad SIM. 

"Ini mencegah peruncit daripada menggunakan maklumat pelanggan untuk mendaftar kad-kad SIM secara palsu," kata jurucakap IMDA.

SYARIKAT TELKO HARUS PERIKSA PERUNCIT

Sebelum perubahan terbaru diperkenalkan pada November, syarikat-syarikat telko berusaha untuk menghasilkan satu sistem yang dapat memenuhi peraturan itu termasuk mengimbas kad pengenalan dan kemudian mengajar ribuan peruncit cara menggunakannya.

"Pada mulanya kami hadapi beberapa kegenjotan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Singtel bagi pelanggan Singapura, Dr Anna Yip kepada Mediacorp.

"Kami terus mempehalusinya bagi memastikan peruncit dan pelanggan rasa selesa dengan ciri-ciri yang disediakan."

Syarikat telko juga dikehendaki memeriksa peruncit mereka, mengenali mereka dan pelanggan mereka, serta memastikan mereka tidak melebihi jumlah kad SIM yang dibenarkan. 

Dr Yip, berkata Singtel "secara kerap" memeriksa peruncit syarikat itu. 

Jurucakap Starhub pula berkata jumlah peruncit yang tidak mematuhi peraturan kekal "rendah", dan syarikat telko tersebut juga membuat pemeriksaan secara berkala dan tidak teragak-agak untuk mengambil "tindakan keras". 

"Kami memandang serius isu pendaftaran secara kad palsu dan bekerja rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan proses tersebut adalah kukuh," tambah jurucakap tersebut.

IMDA menyatakan ia akan terus menyemak dan meningkatkan langkah-langkah kawalan bagi memastikan ia berkesan dalam mencegah pendaftaran palsu. Salah satu langkah yang sedang diterokai pihak berkuasa itu ialah ciri pengenalan wajah yang dilaksanakan di China pada 2019.

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa