Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prosedur lapor insiden gangguan bagi madrasah & masjid disemak

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang bekerja rapat dengan madrasah-madrasah dan masjid-masjid tempatan untuk menyemak dasar dan prosedur untuk melaporkan sebarang insiden gangguan. Semua perubahan itu akan dilaksanakan sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Prosedur lapor insiden gangguan bagi madrasah & masjid disemak

Gambar fail Encik Masagos di Parlimen pada 5 Jul 2021.

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang bekerja rapat dengan madrasah-madrasah dan masjid-masjid tempatan untuk menyemak dasar dan prosedur untuk melaporkan sebarang insiden gangguan. Semua perubahan itu akan dilaksanakan sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Perkembangan itu dikongsi oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Anggota Parlimen Mariam Jaafar dan Anggota Parlimen Dilantik Dr Shahira Abdullah bagi sidang parlimen pada Selasa (6 Jul).

Dr Shahira bertanya apakah antara usaha yang dijalankan untuk menggalak para anggota sektor agama melaporkan salah laku seksual tanpa perlu berasa bimbang tentang kesan-kesan lain yang boleh berlaku.

Sementara itu, Cik Mariam meminta penjelasan tentang bentuk latihan yang disediakan buat para kakitangan madrasah dan masjid untuk menangani aduan atau dakwaan kejadian gangguan seksual.

Umumnya, jelas Encik Masagos, MUIS mempunyai prosedur untuk menangani kes-kes gangguan di tempat kerja.

Namun badan berkanun itu juga bekerja rapat dengan masjid-masjid tempatan untuk menangani dakwaan ataupun insiden gangguan seksual. Ini termasuk melaksanakan dasar-dasar antigangguan dan prosedur melaporkan insiden sedemikian.

"Latihan disediakan buat para kakitangan (untuk mendidik mereka) mengenai norma-norma profesional yang sesuai dan langkah-langkah perlindungan sedia ada. MUIS juga menganjurkan satu siri bengkel dalaman bersama NTUC dan TAFEP untuk membantu para pekerja melindungi diri mereka dengan lebih baik dan saling menjaga rakan-rakan sekerja," kata Encik Masagos.

Bagi kakitangan madrasah pula, mereka menghadiri pelbagai ceramah dan program untuk menimba kemahiran menangani insiden-insiden gangguan seksual.

Para asatizah turut menjalani latihan untuk mempelajari cara-cara menangani keperluan psikologi, emosi dan pembangunan pelajar.

"Setiap madrasah mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru yang secara rasmi dilatih untuk menangani isu-isu seperti ini. Dua lagi kaunselor dikerahkan Kelab HEAL bagi para pelajar madrasah yang memerlukan khidmat sedemikian," tambahnya lagi.

Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. (Gambar fail: BERITAMediacorp)

Gambar fail.

PENDIDIKAN SEKSUAL DI MADRASAH

AP GRC Sembawang Cik Mariam Jaafar juga bertanya apakah bentuk pendidikan seksual yang dijalankan di madrasah dan masjid-masjid tempatan.

Dalam jawapannya, Encik Masagos berkata madrasah-madrasah tempatan menerapkan pendidikan seksual dalam kurikulum sedia ada mereka - bagi pelajar lelaki mahupun perempuan.

"Walaupun ia bukan satu subjek secara sendiri, ia mencakupi topik-topik seperti hubungan antara lelaki-perempuan, soal jantina dan menguruskan isu-isu berkaitan dengan penampilan diri, baligh, usia remaja dan juga (cara-cara) menangani tekanan daripada rakan-rakan. Ini disasarkan kepada para pelajar berusia antara 13 dengan 16 tahun," jelas beliau.

Di luar bilik darjah pula, para pelajar madrasah mendapat peluang untuk mengambil bahagian dalam program-program yang bertujuan untuk menangani isu-isu serupa. Antaranya termasuk program yang dikendalikan Majlis Belia Kebangsaan. Semua program ini ditawarkan pada peringkat antara sekolah atau nasional.

"Kurikulum pendidikan Islam bagi madrasah sering disemak untuk memastikan ia kekal relevan dalam menangani isu-isu dan perkembangan semasa yang menjejas kanak-kanak dan belia Muslim," jamin Encik Masagos.

Cik Mariam turut membangkitkan isu kesaksamaan jantina dan apa pula yang dilakukan bagi menggalakkannya dalam kalangan masyarakat madrasah dan masjid.

Encik Masagos menerangkan bahawa kedua-dua kaum Adam dan Hawa mempunyai peluang yang sama untuk berkhidmat dalam pelbagai peranan di masjid. Beliau menarik perhatian bahawa kebanyakan pegawai masjid sepenuh masa merupakan wanita dan ada dalam kalangan mereka merupakan pengurus masjid dan ketua jabatan.

Menurut beliau, terdapat juga pegawai wanita yang memegang jawatan dalam pucuk pimpinan masjid.

MUIS juga komited dalam memastikan kesemua masjid dan madrasah di sini menjadi ruang yang inklusif buat lelaki dan wanita.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan