Skip to main content

Singapura

PropertyGuru berhentikan 174 pekerja; sekitar 12% tenaga kerjanya

Anggaran Waktu Membaca:
PropertyGuru berhentikan 174 pekerja; sekitar 12% tenaga kerjanya

PropertyGuru diperoleh firma pelaburan Asia EQT Private Capital Asia pada Disember 2024. (Gambar fail: PropertyGuru Group)

Diterbitkan : 17 Feb 2025 11:19PM Dikemas Kini : 18 Feb 2025 12:13AM
SINGAPURA: PropertyGuru memberhentikan 174 pekerja, atau kira-kira 12 peratus daripada tenaga kerjanya. Tiga unit perniagaan turut ditutup.

Dalam satu kenyataan di laman web syarikat tersebut pada Khamis (13 Feb), pengerusi eksekutif Trevor Mather berkata bahawa syarikat teknologi hartanah itu telah menutup platform perkhidmatan rumah Sendhelper, perkhidmatan broker pinjaman PropertyGuru Finance dan jabatan huraian data dan perisian mereka.

PropertyGuru, yang mempunyai ibu pejabat di Singapura, juga menjalankan operasi di Malaysia, Vietnam dan Thailand.

Apabila ditanya berapa ramai pekerja yang diberhentikan dari pejabat Singapura dan jawatan mana yang terjejas, jurucakap PropertyGuru memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya "tidak akan memberikan maklumat terperinci" dan perubahan tersebut akan memberi kesan terhadap pekerja dari semua pasaran dan fungsi.

Encik Mather berkata keputusan untuk memberhentikan 174 pekerja adalah "sukar", dan dibuat selepas "pertimbangan teliti tentang apa yang diperlukan untuk pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang".

Seramai 34 kakitangan tambahan dari perniagaan data dan teknologi kewangan syarikat itu telah ditempatkan semula ke jawatan lain.

Kakitangan yang terjejas akan mendapat pakej diberhentikan kerja sebanyak sebulan bagi setiap tahun perkhidmatan, dihadkan pada 12 bulan, atau mengikut pampasan undang-undang sedia ada, yang mana lebih tinggi.

Mereka juga akan mendapat "bayaran muhibah" sebanyak sebulan.

Pekerja yang terjejas juga akan menerima sokongan lain, termasuk insurans perubatan lanjutan selama tiga bulan atau bayaran setara, serta sokongan kerjaya dan pencarian pekerjaan.

Bagi mereka yang mempunyai masalah visa atau kewangan, mereka akan diberi cuti lanjutan tanpa gaji sehingga tiga bulan, tertakluk kepada undang-undang tempatan, serta bantuan penghantaran pulang ke tanah air dan sokongan untuk penamatan awal kontrak sewa.

Encik Mather juga berkata bahawa syarikat tersebut akan menghentikan jabatan pembangunan korporat dan hubungan pelabur semasa proses peralihan syarikat ke syarikat swasta.

Pada Disember 2024, PropertyGuru telah diperoleh oleh firma pelaburan Asia EQT Private Capital Asia dalam transaksi tunai sepenuhnya yang menilai syarikat itu pada nilai ekuiti sekitar US$1.1 bilion (S$1.4 bilion).

Sebagai sebahagian daripada perubahan ini, pasukan di jabatan teknologi, pemasaran, kewangan serta insan dan budaya akan disusun semula untuk "meningkatkan fokus dan kecekapan".

"Keputusan ini tidak dibuat dengan ringan. Ia mencerminkan komitmen kami untuk membina organisasi yang lebih fokus, tangkas, dan berkesan," kata Encik Mather.

Walaupun PropertyGuru adalah syarikat yang tidak berkesatuan, terdapat pekerja yang merupakan ahli Kesatuan Pekerja Buruh Kasar dan Barang Dagangan Singapura (SMMWU), kata setiausaha agungnya, Andy Lim. SMMWU adalah kesatuan yang bersekutu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Semasa pemberhentian, di mana terdapat ahli kesatuan di syarikat yang tidak berkesatuan, kesatuan atau persatuan yang bersekutu dengan NTUC akan memberikan bantuan kepada ahli yang terjejas, kata Encik Lim.

SMMWU akan menawarkan sokongan kerjaya dan sumber bagi pekerja yang terjejas.
Sumber : CNA/AZ/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita