Skip to main content

Singapura

Projek Wolbachia: 300 juta nyamuk dilepaskan namun bukan huraian mudah perangi denggi, jelas NEA

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebuah bangunan perindustrian di Ang Mo Kio menempatkan sebuah makmal yang membiak lebih 300 juta ekor nyamuk dan sedang menjana lagi 7 juta setiap minggu.

Inilah ibu pejabat Projek Wolbachia, yang menghasilkan dan melepaskan nyamuk Aedes jantan yang tidak menggigit di beberapa lokasi untuk mengawan dengan nyamuk betina.

Memandangkan nyamuk jantan itu membawa bakteria Wolbachia, telurnya tidak akan menetas dan ini membantu untuk mengawal bilangan nyamuk.

Namun, kes denggi di Singapura nampaknya tidak berkurangan sejak pelancaran Projek Wolbachia pada 2016. Sebanyak 32,173 kes denggi secara keseluruhannya dilaporkan pada 2022, iaitu jumlah kedua tertinggi dalam setahun. Sejauh ini, rekod tertinggi kes denggi dicatat pada 2020 iaitu sebanyak 35,266 kes.

Awal bulan ini, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi amaran bahawa Singapura sekali lagi berdepan risiko lonjakan kes denggi. Jumlah kes denggi mingguan sudah mencecah beberapa ratus dan lebih 50 kelompok aktif telah dikesan.

Projek Wolbachia bukan "huraian mudah kepada masalah yang rumit" yang berpunca daripada denggi, kata Dr Ng Lee Ching, pengarah kumpulan Institut Kesihatan Persekitaran NEA.
Related article image
Gambar: CNA/Raydza Rahman


Di beberapa tapak Projek Wolbachia seperti Tampines, Yishun dan Choa Chu Kang, bilangan nyamuk Aedes aegypti menjunam sebanyak sehingga 98 peratus dan jumlah kes denggi turun sebanyak sehingga 88 peratus, kata Setiausaha Parlimen Kanan Baey Yam Ken di sidang parlimen pada Mac lalu.

Meskipun teknologi Wolbachia berkesan dalam mengurangkan risiko penularan denggi, ia harus dipadankan dengan usaha kawalan denggi, ujar Dr Ng.

"Jika terdapat banyak nyamuk di luar sana, Wolbachia yang kami lepaskan tidak boleh bersaing dengan mereka. Mereka akan dikuasai."

Nyamuk Wolbachia lantas, akan menjadi lebih berkesan dalam mengurangkan jumlah nyamuk sekiranya bilangan jenis liar itu dikurangkan, tambahnya.


"KAMI MASIH TIDAK TAHU SEMUANYA"

Projek Wolbachia kini meliputi sekitar 352,000 isi rumah, iaitu sekitar 25 peratus daripada kesemua isi rumah di Singapura, kata Dr Ng. Ia lebih seganda berbanding 160,000 isi rumah yang diliputi pada pertengahan tahun lepas.

"Ini dapat dilakukan kerana teknologi yang telah kami bangunkan secara dalaman dapat menjana lebih banyak nyamuk dengan cekap," katanya.

Dr Ng bagaimanapun menarik perhatian bahawa teknologi Wolbachia masih baharu.

"Mereka masih sedang berkembang, mereka masih sedang dipertingkat. Dan ini bermakna proses dan peranti itu mempunyai lebih banyak potensi untuk dipertingkat."

Pasukan NEA masih mengkaji daripada uji cuba lapangan sedia ada untuk Projek Wolbachia, kata Dr Ng.


NYAMUK PERLU MASA UNTUK MEMBESAR

Berhubung sama ada proses tersebut akan dirancakkan bagi menjana lebih banyak nyamuk jantan Wolbachia-Aedes, kedua-dua pakar yang ditemui Mediacorp bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk memperluaskan projek itu ke seluruh Singapura.


Sungguhpun demikian, Dr Ng dari NEA memberitahu Mediacorp bahawa proses membiak nyamuk mempunyai jam biologi dan serangga memerlukan masa untuk membesar dengan sendirinya.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita