Skip to main content

Singapura

Projek ubah elok rumah jadi mimpi ngeri bagi 2 pasangan ini

Anggaran Waktu Membaca:
 Projek ubah elok rumah jadi mimpi ngeri bagi 2 pasangan ini

(Tiga di atas) Keadaan rumah Cik Wong Noorina May, (bawah) keadaan rumah Cik Afiqah Joefri. (Gambar-gambar: Wong Noorina May/Afiqah Joefri)

BERITAmediacorp: Mahligai indah yang dinanti-nantikan pasangan suami isteri Ahmad Zhufar Suhartono dan Afiqah Joefri bertukar menjadi mimpi ngeri apabila proses ubah elok rumah mereka terhenti secara tiba-tiba dan kontraktor yang sepatutnya bertanggungjawab hilang tanpa jejak.

Pasangan itu mendapatkan khidmat ubah elok daripada syarikat Icon Design & Build Consultants, yang dikatakan milik pereka hiasan dalaman Yusoff Ayub, pada awal Januari lalu dan membuat bayaran pendahuluan 70 peratus, iaitu lebih S$48,200, daripada harga keseluruhan pakej yang diambil.

Namun setakat rencana ini ditulis pada 26 Mei, hanya 10 peratus ubah elok sudah dijalankan, iaitu jubin lama dipecahkan dan hanya sebahagian jubin baru dipasang.

Wayar elektrik, sistem paip dan yang lain-lain belum disiapkan.

Video yang dirakam oleh Cik Afiqah di rumahnya dan dikongsikan dengan BERITAmediacorp menunjukkan guni sampah ubah elok serta bungkusan-bungkusan simen di beberapa ruang di rumah tersebut. Keadaan rumah juga belum pun separuh siap, dengan jubin-jubin baru yang sebahagiannya masih belum dipasang.

BAYAR SEBELUM HUJUNG JAN, GST DISERAP SYARIKAT

"Kami sudah membayar pereka hiasan dalaman kami (Yusoff Ayub) sebanyak 70 peratus (S$42,221.60) kerana perjanjiannya adalah kami perlu membayar deposit 30 peratus sejurus selepas bersetuju mendapatkan khidmat beliau, disusuli dengan 40 peratus sebelum kerja-kerja ubah elok dijalankan, " kongsi Cik Afiqah, 28 tahun, sambil menambah bahawa GST juga akan diserap (syarikat) sekiranya mereka bersetuju menandatangani pakej ubah elok itu sebelum hujung Januari.

"Menurutnya (Yusoff Ayub) kami perlu membayar 40 peratus sebelum kerja-kerja dimulakan kerana dia menawarkan beberapa barangan percuma seperti alat hawa dingin dan aksesori dapur serta tandas dan bahawa dia perlu membayar pembekal barangan terlebih dahulu. Itulah sebabnya bayaran pendahuluannya tinggi," tambah Cik Afiqah.

Pada mulanya Cik Afiqah dan suami beliau tidak mengesyaki apa-apa sehingga dihubungi oleh isteri kepada pereka hiasan dalaman berkenaan.

Cik Afiqah memberitahu BERITAmediacorp bahawa wanita itu merupakan ejen hartanah yang mengendalikan urusan membeli flat jualan semula mereka dan kemudian memperkenalkan mereka kepada suaminya, yang juga pemilik syarikat ubah elok tersebut.

"Isterinya menghubungi kami pada 6 Mei, memaklumkan bahawa Yusoff tidak dapat dihubungi sejak 2 Mei dan beliau sudahpun membuat aduan polis pada 4 Mei mengenai kehilangan suaminya.

"Kami kemudian cuba menghubungi Yusoff tetapi tiada jawapan. Kami juga mendapat tahu akaun media sosial syarikat seperti TikTok dan Facebook sudah dipadamkan," ujar Cik Afiqah.

Pasangan itu juga sudah membuat aduan polis mengenai kes tersebut.
Laporan polis yang dibuat oleh suami Cik Afiqah. (Gambar: Afiqah Joefri)
2 PEJABAT, BILIK PAMERAN "BUNGKUS"

Cik Afiqah juga sudah pergi ke kedua-dua pejabat dan bilik pameran syarikat tersebut, di Beauty World Plaza dan Icon@Changi, dan mendapati kedua-duanya "sudah bungkus".

Pasangan itu, yang sekarang menetap di rumah ibu bapa Cik Afiqah, berkata mereka kini "terpaksa memikirkan semula perancangan kewangan dan sedang mendapatkan khidmat syarikat ubah elok lain".

Cik Afiqah juga berkongsi isu yang dialaminya itu di media sosial, yang tular, dan kemudian dihubungi oleh beberapa mangsa lain yang mengalami nasib serupa dengan syarikat yang sama.

"Buat masa ini, dari apa yang saya tahu, terdapat 16 mangsa lain - sembilan dalam tempoh baru-baru ini dan lagi enam mangsa dari tahun-tahun sebelum ini, sehingga lima tahun yang lalu. Selain itu, saya difahamkan sudah ada tujuh aduan polis dibuat tentang perkara ini," kata Cik Afiqah.

KEMAS KINI TIBA-TIBA TERHENTI, RUMAH TERBENGKALAI

Seorang lagi mangsa, Wong Noorina May, merupakan seorang ibu enam orang anak.

Beliau mendapatkan khidmat Icon Design & Build Consultants pada 26 Januari, menyusuli cadangan sepupu suaminya, yang juga menggunakan khidmat syarikat tersebut bagi rumahnya pada hujung 2022.

Cik May juga memberitahu bahawa mereka sudah membuat kajian terlebih dahulu dan mendapat tahu syarikat Yusoff Ayub itu disenaraikan di laman Renopedia dan berdaftar.
Petikan gambar yang menunjukkan Cik May bersama suaminya menghubungi Renopedia untuk mendapatkan khidmat Yusoff Ayub. (Gambar: Wong Noorina May)
Kerja-kerja ubah elok rumah Cik May bermula pada Mac lalu selepas mendapat kunci rumah flat 4 biliknya di Choa Chu Kang Central.

"Kami pilih jubin dan warna kabinet di pejabat dia (Yusoff Ayub) di Icon@Changi dan kemudian dia memulakan kerja-kerja ubah elok. Malah dia memberi kami kemas kini setiap minggu atau setiap kali kami bertanya," cerita Cik May.

"(Jenguk rumah) pada 25 April. Suami saya periksa rumah dan memandangkan tiada kemajuan bagi kerja-kerja pemasangan jubin, saya kirimkan mesej kepada dia (Yusoff Ayub). Waktu itu, jubin dapur dan tandas belum siap kerana paip belum dipasang," kata Cik May, 40 tahun.

Selepas itu, keluarga Cik May jatuh sakit dan tidak sihat, maka mereka bergantung kepada laporan perkembangan oleh pereka hiasan dalaman berkenaan.

Kali terakhir beliau menerima kemas kini mengenai kerja-kerja meletakkan lapisan plaster di ruang tamu dan ruang makan serta pemasangan wayar adalah 2 Mei.
Pada 5 Mei, beliau cuba menghubungi pemilik syarikat itu tetapi gagal - mesej dan panggilan telefonnya tidak berjawab.

Cik May, sudah membuat bayaran pendahuluan sebanyak S$45,000.

ALAT HAWA DINGIN, KIPAS SILING "HILANG"

Apabila suami Cik May, Muhammad Azizi Mohamad Hariyadi pergi ke rumah mereka selepas itu, tiada kontraktor yang berada di sana. Malah, alat hawa dingin dan kipas siling di rumah itu juga dikatakan "hilang". Namun Cik May memberitahu BERITAmediacorp beliau "kurang pasti" sama ada ia diambil oleh kontraktor.

"Saya memberitahu mereka supaya letak tepi untuk dipasang semula selepas kerja-kerja ubah elok selesai. Namun apabila kami datang ke rumah itu, semuanya sudah tiada," jelas beliau.

Pada 12 Mei, beliau dan suaminya membuat aduan polis.
Laporan polis yang dibuat Cik Wong Noorina May. (Gambar: Wong Noorina May)
"Kebimbangan saya sekarang adalah untuk menyiapkan keperluan asas rumah saya dan cuba berpindah masuk secepat mungkin. Tempat tinggal buat masa ini juga membimbangkan bagi kami kerana saya tidak mahu menyusahkan keluarga yang lain memandangkan kami keluarga besar lapan anggota," kata Cik May.

Buat masa ini, Cik May anak beranak menumpang di rumah adik ipar beliau.

"Beliau keluarga empat anggota dan rumahnya BTO tiga bilik. Kami tidur di ruang tamu buat masa ini," kongsi Cik May.

PENAT FIZIKAL, MENTAL

Apabila ditanya bagaimana beliau menangani isu yang menimpa keluarganya ini, Cik May berkata:

"(Saya) penat secara fizikal kerana mempersiapkan semuanya untuk berpindah ke rumah baru. Secara mental juga letih. (Saya) sedang cuba untuk terus berfikiran positif demi anak-anak. Emosi saya Alhamdulillah, kami sedang bertahan dan bersyukur kerana ada orang-orang yang membantu keluarga kami."

Setakat ini, masih belum terjawab persoalan mengenai keberadaan Yusoff Ayub.

BERITAmediacorp juga cuba menghubungi telefon bimbit Yusoff tetapi hanya menerima jawapan operator Singtel, yang mengatakan "nombor yang anda hubungi tidak digunakan".

Pasukan Polis Singapura (SPF) juga mengesahkan kepada BERITAmediacorp bahawa pihaknya sudah menerima aduan mengenai kes ini dan siasatan sedang dijalankan.

CASE TERIMA 1 ADUAN PADA MEI

Apabila dihubungi BERITAmediacorp, Persatuan Pengguna Singapura (CASE) memaklumkan bahawa setakat ini pihaknya baru menerima satu aduan pada Mei 2023 terhadap Icon Design & Build Consultant.

Menurut CASE, pengadu melaporkan bahawa beliau menandatangani kontrak dengan syarikat itu untuk mengubah elok rumahnya. Projek tersebut sepatutnya siap dalam tempoh dua bulan tetapi dilengahkan.

Pengadu berkata beliau sudah membayar 95 peratus nilai kontrak tetapi syarikat tersebut gagal dihubungi, menyebabkan projek ubah elok itu terbengkalai.

CASE sudahpun memberikan nasihat kepada pengadu berkenaan mengenai pilihan yang ada bagi mencari jalan keluar.

"Para pelanggan yang berdepan pertikaian kontrak dengan sesebuah perniagaan boleh memfailkan aduan dengan CASE dan CASE akan membantu menilai aduan mereka.

"Jika aduan itu dapat disahkan, CASE akan menghubungi syarikat yang terlibat untuk berunding atau menjadi pengantara bagi pihak pengadu. Jika pertikaian tidak dapat dihuraikan, CASE akan membantu pelanggan, jika mereka mahu dan jika sesuai, untuk memfailkan tuntutan dengan Tribunal Tuntutan Kecil," menurut Presiden CASE, Melvin Yong.

Mahu ubah elok rumah? Pastikan perkara ini...

  • Bandingkan sebutan harga daripada pelbagai kontraktor dan lakukan kajian menyeluruh ke atas kewibawaan dan rekod syarikat sebelum menandatangani kontrak. Tegas meminta kontrak bertulis untuk melindungi kepentingan anda.
  • Rundingkan bagi pembayaran berperingkat mengikut kerja. Lazimnya: 10 peratus sebaik sahaja persetujuan kontrak dicapai, 80 peratus bayaran berperingkat mengikut kerja-kerja yang sudah dijalankan dan akhir sekali 10 peratus sebaik sahaja kerja-kerja ubah elok siap pada tahap memuaskan dan isu-isu yang ada sudah diperbetulkan.
  • Rakam kerosakan yang masih ada dengan memetik gambar. Para pelanggan harus memastikan kerosakan-kerosakan yang masih belum diperbaiki, dibetulkan sepenuhnya sebelum membuat bayaran penuh. Gambar-gambar juga boleh digunakan sebagai bukti kes sekiranya timbul pertikaian.
Kurangkan Artikel

LEBIH 1,900 ADUAN TERHADAP INDUSTRI KONTRAKTOR UBAH ELOK SEJAK JAN 2022

Antara 1 Januari 2022 dengan 30 April 2023, CASE menerima 1,914 aduan terhadap industri kontraktor ubah elok.

Aduan-aduan yang diterima secara amnya berkaitan hasil kerja tidak memuaskan, kelengahan dalam menyelesaikan projek dan kerugian bayaran pendahuluan disebabkan projek-projek yang tidak disiapkan serta penutupan secara tiba-tiba sesebuah syarikat.

"Oleh kerana kontraktor ubah elok menerima jumlah besar wang pendahuluan, para pemilik rumah berdepan risiko tinggi mengalami kerugian bayaran pendahuluan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada kontraktor tersebut.

"Untuk melindungi pelanggan dan wang kerja keras mereka, CASE sudah menggesa pemerintah supaya memperkenalkan perlindungan wajib bayaran pendahuluan dalam industri kontraktor. Ini akan memastikan wang tersebut hanya diberikan kepada kontraktor sebaik sahaja kerja-kerja ubah elok siap pada tahap memuaskan di pelbagai peringkat projek," menurut Encik Yong.

Ia menambah, ini akan mengurangkan kejadian di mana kontraktor ubah elok menerima wang pendahuluan dan menggunakannya bagi tujuan selain daripada untuk menyiapkan project.

GALAK LANGGANI 130 SYARIKAT DITAULIAH CASETRUST

Para pelanggan juga digalakkan melanggani khidmat syarikat ubah elok yang ditauliah oleh CaseTrust kerana:

  1. Ia melindungi deposit pelanggan menerusi bon yang melindungi mereka daripada syarikat yang gulung tikar secara tiba-tiba sebelum projek diselesaikan.
  2. Ia mengamalkan Kontrak Standard Ubah Elok CaseTrust, yang mengandungi pelbagai klausa yang melindungi kepentingan pelanggan dan memastikan kebertanggungjawaban bagi projek-projek yang harus disiapkan.
  3. Ia menetapkan mekanisme sesuai dan jelas bagi huraian pertikaian.
Buat masa ini terdapat lebih 130 kontraktor yang ditauliah di bawah skim tersebut, menurut CASE.

Data juga menunjukkan aduan-aduan terhadap syarikat ubah elok di bawah pentauliahan CaseTrust secara amnya dapat dihuraikan berbanding yang tidak ditauliah.

Para pelanggan yang berdepan pertikaian dalam industri ubah elok boleh menghubungi CASE di talian hotline 97958397 atau menerusi laman www.case.org.sg bagi mendapatkan bantuan.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita