Skip to main content

Singapura

Projek tanah tambak 'Long Island' dijangka ada campuran hartanah privet dan awam: Penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
Projek tanah tambak 'Long Island' dijangka ada campuran hartanah privet dan awam: Penganalisis

Gambar: URA

Diterbitkan : 29 Nov 2023 04:05PM Dikemas Kini : 29 Nov 2023 08:02PM
SINGAPURA: Beberapa hartanah privet dan awam dengan potensi sehingga 60,000 rumah baharu berkemungkinan akan dibina di tapak tambak "Long Island" yang akan datang di persisiran pantai East Coast Park, menurut penganalisis hartanah.

Walaupun tiada rancangan kukuh buat masa ini, ia masih belum dapat dilihat bagaimana hartanah yang kini berada di sepanjang East Coast akan terjejas dari segi harga dan pemandangan, tambah penganalisis itu.

Pemerintah pada Selasa (28 Nov) mengumumkan bahawa ia akan memulakan kajian teknikal untuk projek berpuluh-puluh tahun lamanya bagi menyepadukan langkah-langkah perlindungan pantai dengan rancangan tambakan tanah. Kajian ini akan dilakukan dalam tempoh beberapa tahun akan datang mulai daripada 2024.

Apabila siap, Long Island boleh menjangkau 800 hektar - hampir seluas 1,142 padang bola sepak - dan berpotensi menyediakan lebih banyak peluang untuk kehidupan dan pekerjaan di kawasan pesisir pantai, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.

Tapak ini akan menjadi kira-kira seganda lebih besar berbanding kawasan darat Marina Bay, dan menambah kira-kira 20km taman pantai dan kolam baharu, meningkatkan kawasan tepi laut sepanjang East Coast Park menjadinya tiga kali ganda lebih luas.

Konsep Long Island pertama kali dibicarakan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Perhimpunan Hari Kebangsaan pada 2019.

PEMANDANGAN LAUT PADA WAKTU INI MUNGKIN TERHALANG

Para penganalisis berkata bahawa perumahan di Long Island berkemungkinan akan mengandungi pembangunan yang rendah dan tinggi, serupa dengan Sentosa.

"Juga mungkin ada campuran unit perumahan swasta dan awam, serta lebih banyak kemudahan riadah, kawasan alam semula jadi dan jalur hijau," menurut naib presiden kanan penyelidik dan analitik OrangeTee & Tie Christine Sun. "Juga mungkin ada pilihan tempat makan terbuka yang menawarkan pengalaman makan luar di tepi laut."

Pengarah kanan analisis data di Huttons Asia Lee Sze Teck berkata kemungkinan besar terdapat lebih banyak tanah yang diperuntukkan untuk perumahan awam berbanding perumahan swasta. Flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan dilancarkan di bawah model Perdana atau Plus memandangkan lokasi yang bagus di sepanjang East Coast," tambahnya.

"Kemungkinan untuk membina Sentosa kedua agak rendah kerana pemerintah ingin membina sebuah masyarakat yang inklusif yang memberi orang ramai akses kepada rumah yang bagus, dan bukan hanya untuk mereka yang berkemampuan," katanya.

Encik Lee turut menimbulkan potensi bagi 30,000 hingga 60,000 rumah yang akan dibina, "dengan campuran kemudahan komersil, riadah dan alam semula jadi", memandangkan Long Island mungkin sekitar saiz kawasan Kallang/Whampoa.

Dengan kebanyakan pembangunan swasta sepanjang East Coast merupakan estet pegangan bebas, para pemilik rumah ini akan dapat memanfaatkan kemudahan masa depan di Long Island. Ini malah boleh meningkatkan potensi Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok, tambah Encik Lee.

Walau bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa pemandangan bagi rumah-rumah yang lebih rendah mungkin akan terhalang dengan pembangunan baharu di Long Island pada mada hadapan.

Para penganalisis lain berkata bahawa ia mungkin terlalu awal untuk menjangkakan jumlah rumah yang akan dibina, tetapi bersetuju bahawa beberapa rumah sepanjang East Coast yang mempunyai pemandangan laut yang tidak terhalang mungkin akan terjejas, berdasarkan jenis dan lokasi pembangunan perumahan di Long Island.

Diumumkan pada Selasa bahawa Long Island akan mewujudkan kawasan air tertutup di hadapan Taman East Coast, mengubahnya menjadi kolam air tawar.

Cik Sun berkata bahawa beberapa perumahan dengan pemandangan laut mungkin akan mendapat pemandangan kolam air tawar, tetapi beberapa rumah juga akan menikmati "pemandangan latar langit yang indah" pada waktu malam jika bangunan tinggi dibina di Long Island.

Beliau juga menambah bahawa pelan induk untuk Long Island dijangka tidak akan didedahkan sehingga 2030, dengan pembinaan akan dimulakan bertahun-tahun selepas pemerintah memeriksa kemungkinan projek itu.

"Dalam jangka panjang, impak pasaran akan bergantung kepada butiran lanjut pelan pembangunan. Faktor-faktor seperti jenis dan ketinggian bangunan, serta kemunduran daripada garis pantai sedia ada, akan memberi kesan kepada perumahan yang kini berada di sekitarannya," tambahnya.

Projek-projek akan datang hanya boleh dilancarkan dalam tempoh 20 tahun atau lebih, memandangkan masa diperlukan untuk tapak tanah tambak itu diselesaikan, kata pegawai eksekutif utama ERA Singapura, Eugene Lim.

KESAN KEPADA PERSEKITARAN

Penganalisis juga bercakap tentang bagaimana hartanah sedia ada di sepanjang East Coast akan meraih manfaat daripada langkah perlindungan pantai yang diambil di Long Island, yang ditetapkan untuk ditambak pada tahap yang lebih tinggi untuk melindungi daripada kenaikan paras laut.

Cik Sun berkata Long Island "menyediakan cara terbaik" untuk memelihara hartanah East Coast yang mungkin menghadapi risiko banjir, tanpa menjejas pemandangan pantai.

“Selain itu, mewujudkan laluan pantai baharu perumahan yang tinggi dan pejabat di sepanjang laut akan membolehkan lebih banyak rumah menikmati pemandangan laut atau kolam yang indah. Lebih-lebih lagi, pembangunan ini akan menambah lebih banyak ruang tanah ke kawasan itu, menyediakan lebih banyak peluang untuk pertumbuhan masa depan dan pembangunan perumahan," tambahnya.

Cik Tricia Song, ketua penyelidikan CBRE untuk Singapura dan Asia Tenggara, menyebutnya sebagai "situasi kemenangan bersih" dengan hartanah sedia ada "dilepaskan daripada ancaman peningkatan paras laut yang wujud".

Kerja-kerja binaan untuk Long Island juga sepatutnya kurang mengganggu berbanding membina stesen MRT atau Koridor Utara-Selatan "yang berada di kawasan sedia ada dan padat dengan pembinaan", katanya.

Cik Song berkata selain pemandangan laut, hartanah di sepanjang East Coast kekal popular kerana berdekatan dengan sekolah dan kemudahan. Laluan Thomson-East Coast juga akan menyediakan keterhubungan yang lebih luas.

“Dalam jangka masa terdekat, sukar untuk mengetahui ketinggian yang diluluskan untuk pemandangan laut pada masa hadapan, jadi premium harga untuk projek menghadap laut mungkin agak tidak menentu. Secara keseluruhannya, kami tidak menjangkakan harga akan terjejas secara negatif,” tambahnya.
Sumber : CNA/AT/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita