Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek T5 Lapangan Terbang Changi akan disambung semula selepas 2 tahun dihentikan, umum Iswaran

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 May 2022 02:05PM Dikemas Kini : 18 May 2022 12:14AM

SINGAPURA: Projek Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi akan disambung semula selepas dihentikan selama dua tahun disebabkan oleh "ketidaktentuan pandemik," umum Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Selasa (17 Mei).

"Dengan permintaan bagi perjalanan udara diramal meningkat, kami semakin terdorong untuk memastikan kapasiti infrastruktur kami dapat menjana pertumbuhan,” kata Encik Iswaran dalam ucapannya di perasmian Sidang Puncak Penerbangan Changi yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.

"Kami juga sudah mengambil kesempatan daripada tempoh dua tahun kerja-kerja dihentikan untuk menyemak dan menilai semula secara terperinci reka bentuk T5 untuk menjadikannya lebih modular dan fleksibel di samping meningkatkan daya tahan dan kemampanannya. Kami akan mengusulkan kepada pakar runding reka bentuk dan kejuruteraan untuk mengemas kini dan memperhalusi reka bentuk T5 secara bertahap-tahap."

Bergantung kepada rentak pemulihan, pembinaan T5 dijangka bermula dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang bagi memastikan terminal itu "sudah bersiap sedia untuk memenuhi permintaan pada sekitar pertengahan tahun 2030-an".

MEMPERLUASKAN PROGRAM, MENINGKATKAN KEUPAYAAN TEKNOLOGI

Pada sidang puncak dua hari anjuran Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) itu, Encik Iswaran turut menyentuh tentang tiga aspek pemulihan bagi industri penerbangan iaitu keupayaan, kapasiti dan iklim.

Untuk menyokong pemulihan dan pertumbuhan, maka itu "penting untuk kita terus meningkatkan tenaga kerja penerbangan kita dan melengkapi mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk berinovasi, merebut peluang dan menyesuaikan diri dengan sebarang gangguan, kata Encik Iswaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan.

Sebagai contoh, Singapura harus memanfaatkan sepenuhnya inisiatif
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang menekanakn "Tiada Negara Ketinggalan" dan "Generasi Karyawan Penerbangan Seterusnya" untuk “mengukuhkan fokus kita terhadap asas-asas seperti keselamatan penerbangan serta keutamaan jangka panjang seperti kemampanan”, tekan Encik Iswaran.

Dengan itu, Program Latihan Negara Membangun Singapura-ICAO (DCTP) akan dilanjutkan selama tiga tahun lagi.

Program itu akan menawarkan bantuan latihan bernilai AS$1.6 juta (S$2.2 juta) selama tiga tahun dalam bentuk biasiswa.

Encik Iswaran turut berkongsi bahawa "peningkatan pada keupayaan teknologi" boleh melengkapi usaha untuk "menambah bakat dalam industri penerbangan".

“Khususnya, kita boleh memanfaatkan teknologi untuk memperhalusi dan menyelaraskan protokol perjalanan kita,” dedah beliau selanjutnya.

MEMBINA KAPASITI BAGI MEMENUHI PERMINTAAN AKAN DATANG

Encik Iswaran turut menarik perhatian bahawa keupayaan lapangan terbang perlu dipertingkatkan untuk menampung pemulihan perjalanan udara apabila sempadan dibuka semula sepenuhnya kelak.

Semasa tempoh paling buruk pandemik pada April dan Mei 2020, trafik penumpang di Lapangan Terbang Changi merosot ke paras “hampir 0.5 peratus” daripada kadar sebelum COVID-19 melanda, kata Encik Iswaran.

Namun pembukaan semula sempadan menunjukkan "pemulihan yang sangat menggalakkan" dan pertumbuhannya dijangka akan bertambah kukuh.

"Kita sudahpun menyaksikan buktinya di Singapura. Trafik penumpang meningkat lebih dua kali ganda ke paras melebihi 40 peratus daripada tahap sebelum COVID-19 pada Mei, berbanding kurang daripada 20 peratus pada pertengahan Mac,” kata Encik Iswaran.

MASYARAKAT PENERBANGAN PERLUKAN "TINDAKAN TEGAS" BERHUBUNG PERUBAHAN IKLIM

Encik Iswaran juga menyentuh tentang perubahan iklim dan betapa pentingnya untuk mengurangkan karbon bagi perjalanan udara.

Sebelum COVID-19, sektor penerbangan menyumbang "lebih daripada 900 juta tan pelepasan karbon dioksida di peringkat global" atau "2 peratus daripada pelepasan karbon antarabangsa".

Buat masa ini, lebih 100 negara termasuk Singapura "menyertai secara sukarela" dalam Skim Mengimbangi dan Mengurangkan Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa di bawah pimpinan ICAO.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan