Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek rintis tingkatkan kadar kejayaan IVF, namun lebih ramai pesakit diperlukan untuk ukur keberkesanannya

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Projek perintis yang dilancarkan tujuh tahun lalu untuk meningkatkan kadar kejayaan persenyawaan in-vitro (IVF) bagi wanita telah berjaya mencapai 56 kelahiran hidup daripada 131 pesakit yang menjalani pemindahan embrio.

Ini membentuk kadar kejayaan sebanyak 42.7 peratus daripada projek perintis tersebut, yang menggunakan prosedur yang dikenali sebagai pemeriksaan genetik pra-implantasi (PGS). Ia khusus untuk wanita berusia 35 tahun ke atas, atau mereka yang mengalami sekurang-kurangnya dua kegagalan implantasi atau keguguran.

Sebagai perbandingan, berdasarkan statistik dari 2014 hingga 2018, wanita yang menjalani prosedur teknologi berbantu ini — termasuk IVF — tanpa PGS mencatatkan kadar kejayaan:
  • 17.1 peratus bagi mereka yang berusia 35 hingga 39 tahun
  •  6.7 peratus bagi mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas
Parlimen diberitahu pada Khamis (29 Feb) bahawa meskipun kadar kejayaan lebih tinggi dengan PGS, lebih ramai pesakit perlu direkrut untuk projek perintis itu sebelum ia boleh dilancarkan di peringkat nasional bagi perkhidmatan klinikal aliran utama.

PGS adalah teknik yang melibatkan penilaian kesihatan embrio yang dicipta melalui IVF dengan menguji dan mengenal pasti kecacatan genetik. Ini dilakukan sebelum implantasi IVF (proses di mana telur yang disenyawakan diimplan dalam rahim wanita selepas pemindahannya).

Matlamat proses saringan sedemikian adalah untuk membantu wanita, terutamanya mereka yang sudah lanjut usia untuk bersalin atau mempunyai kesihatan reproduktif yang lemah, untuk mengelakkan keguguran atau penamatan proses IVF.

PGS adalah khidmat terhad di Singapura dan hanya dibenarkan di bawah program perintis, yang ditadbir oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Cik Rahayu Mahzam, Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-Undang, memberikan maklumat tersebut semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP). Anggota Parlimen GRC Nee Soon Louis Ng bertanya sama ada ujian saringan itu boleh disertakan sebagai khidmat jagaan kesihatan utama.

Setakat bulan lalu, 590 pesakit telah mendaftar bagi kajian itu, yang hanya layak untuk salah satu daripada kumpulan wanita berikut:
  • mereka yang berumur 35 tahun ke atas
  • mereka yang mempunyai dua atau lebih kegagalan implantasi berulang
  •  mereka yang mengalami dua atau lebih keguguran
Daripada jumlah itu, 195 pesakit telah menjalani PGS dan 131 sudah selesai melakukan pemindahan embrio.

Ini membawa kepada 70 kehamilan, dengan 56 yang berjaya melahirkan anak dan lima yang masih melalui kehamilan.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan