Skip to main content

Singapura

Projek Reben Kuning raikan usaha masyarakat sokong bekas pesalah, boleh undi juara peraduan gubah lagu oleh banduan

Buat julung-julung kalinya, orang awam diajak untuk sama-sama menentukan Juara bagi Peraduan Gubah Lagu Reben Kuning.

Anggaran Waktu Membaca:
Projek Reben Kuning raikan usaha masyarakat sokong bekas pesalah, boleh undi juara peraduan gubah lagu oleh banduan

Sesi rakaman buat video undian yang meminta penyertaan beramai-ramai untuk memilih lagu kegemaran dari 20-30 Ogos 2025. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, orang awam diajak untuk sama-sama menentukan Juara bagi Peraduan Gubah Lagu Reben Kuning.

Ini sempena SG60 dan bagi meraikan usaha bersama seluruh rakyat Singapura dalam menyokong pemulihan dan penyepaduan semula bekas pesalah dalam masyarakat.

Bagi edisi ke-10 peraduan itu, lima karya daripada 42 gubahan terpilih untuk ke peringkat akhir.
Related article image
(Kiri) Rashid bersama Iqbal, seorang lagi finalis yang juga meminjamkan suara lunaknya menyanyikan lagu 'Thanks to You' hasil ciptaan Rashid dan didedikasikan buat dua orang kakaknya. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Para finalis kali ini ialah Rashid, Riduan, Iqbal, Nisha dan Jasmine.

Orang awam boleh mengundi lagu pilihan mereka bermula 20 hingga 30 Ogos di sini.

Ini juga kali pertama, wajah para finalis didedahkan kepada umum.

Mereka akan muncul dalam sebuah video khas di laman web tersebut mulai 20 Ogos 2025.

PELUANG TIMBA KEMAHIRAN BAHARU, LUAHKAN PENGHARGAAN BUAT KELUARGA

Bagi finalis Riduan, 45 tahun, dia amat menghargai peluang untuk menimba pengalaman dan kemahiran baharu.

"Saya cuba menulis tentang pengalaman saya, meluahkan perasaan saya dalam lagu, terhadap keluarga dan anak-anak saya. Ia tentang ketagihan saya. Di dalam bilik sel penjara, saya tulis dan tulis dan tulis dan dari situ, saya bincang dengan kawan macam mana nak karang melodinya. Saya paparkan ia dalam irama 'reggae' sebenarnya. Tak hendak buat cerita sedih mahupun irama yang terlalu riang. Cukup sekadar untuk mak saya fahami," kata Riduan.
Related article image
FUYOH lagu menarik yang dinyanyikan sendiri oleh penggubahnya, Riduan - luahan perasaan yang menyentuh hati menerusi rentak Reggae yang mudah diikut menyanyi. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Lagu saya berjudul FUYOH merupakan akronim bagi Keluarga dan senikata yang berisi rangsangan untuk kembali bangkit. Mungkin pertandingan ini permulaan kepada satu perkara yang baik yang akan bermula dalam hidup saya, pasal lagu saya ini mendapat tempat di kalangan lima lagu terbaik," tambahnya.

Bagi lagi seorang finalis, Rashid, 53 tahun, peraduan ini merupakan satu peluang untuk dia luahkan perasaan dan penghargaan buat insan tersayang.

"Bagi saya pula, satu cabaran untuk melakukan sesuatu yang saya tak pernah lakukan yakni menulis lagu dan banyak ketakutan dan kebimbangan yang perlu saya atasi. Tema pertandingan ini adalah untuk saya luahkan rasa terima kasih kepada kakak-kakak saya. Mereka tak pernah tinggalkan saya, mereka tetap beri peluang kedua kepada saya, berulang kali. Mereka yang menyelamatkan saya, dan ini mengajar saya untuk menghargai kasih sayang mereka kepada saya," luah Rashid.
Related article image
Imran Ajimain, tamu undangan yang menjadi inspirasi kepada peserta. Berapa ramai yang akan teruskan kerja kreatif menggubah lagu, setelah mempelajari caranya sempena Peraduan Gubah Lagu Reben Kuning? (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
IMRAN AJMAIN JADI MENTOR, KAGUMI BAKAT PARA FINALIS

Para finalis juga mendapat bimbingan dan suntikan semangat oleh para mentor jemputan.

Antaranya ialah penyanyi dan penggubah lagu, Inch Chua dan Imran Ajmain.

Setelah mendengar hasil gubahan para finalis, Imran Ajmain merasakan mereka berpotensi menjadi penggubah yang baik memandangkan mereka kaya dengan pengalaman tersendiri.

"Saya rasa dengan emosi yang lebih mendalam mereka melalui sejarah yang mungkin orang luar itu tak dapat merasakan dan tak dapat faham. Saya rasa mereka dapat bercerita dengan lebih baik dengan emosi yang lebih tinggi," ujar Imran Ajmain.

"Untuk menjadi penggubah yang baik, seseorang itu perlu ada ciri-ciri pencerita daripada awal sampai akhir. Jadi orang akan tertanya-tanya apa kesudahannya, apa yang terjadi dan paling penting adalah 'relatability', jadi kita dapat rasa diri kita dalam lagu tersebut," tambahnya.

INISIATIF UNTUK RAIKAN USAHA KOLEKTIF MASYARAKAT SG BANTU PEMULIHAN BEKAS PESALAH

Lima lagu hasil ciptaan para peserta ini juga akan dapat didengar di stesen Radio Mediacorp 987FM, dalam usaha mendorong aksi mengundi sebagai satu negara, sempena SG60.

Pertandingan yang masuk tahun ke-10 ini sebahagian daripada inisiatif Reben Kuning untuk membina masyarakat inklusif dengan memberi peluang kedua kepada bekas pesalah agar dapat menyumbang semula dan membalas jasa masyarakat.

Ia juga bagi meraikan usaha bersama seluruh rakyat Singapura dalam menyokong pemulihan dan penyepaduan semula bekas pesalah dalam masyarakat.
Related article image
Para finalis akan mempersembahkan lagu ciptaan sendiri di hadapan keluarga mereka, Rangkaian CARE, Pasukan Polis Singapura dan Reben Kuning Singapura dalam peringkat akhir pertandingan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Seramai 116 penghuni penjara ikut serta dan berdasarkan lagu-lagu yang mereka tulis, seramai 42 orang dipilih untuk menjalani sesi uji bakat pada Jun 2025.

Daripada jumlah itu, 33 disenarai pendek untuk menjalani lapan sesi pembelajaran teori muzik dan penulisan lagu yang dikendalikan oleh Intune Music dari Jun hingga Julai.

15 daripada mereka kemudian mara ke peringkat separuh akhir pada 30 Julai 2025.

Para finalis akan mempersembahkan lagu ciptaan sendiri di hadapan keluarga mereka, Rangkaian CARE, Pasukan Polis Singapura dan Reben Kuning Singapura dalam peringkat akhir akan berlangsung pada 10 September 2025 di Kompleks Penjara Changi.

Peserta yang lagunya menerima undian tertinggi akan menerima “Anugerah Pilihan Penonton”.

50 orang awam yang mengundi lagu kegemaran mereka berpeluang mendapat beg cenderamata dan pelbagai barangan Projek Reben Kuning Singapura, YRP.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita