Projek prasarana bagi 8 sekolah ditunda hingga 2 tahun akibat COVID-19
Kerja-kerja prasarana di lapan sekolah tertangguh, ada sehingga dua tahun akibat kesan pandemik kepada sektor binaan, kata Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (26 Jul).

Bangunan Kementerian Pendidikan (MOE) (Gambar: Alvin Chong)
SINGAPURA: Kerja-kerja prasarana di lapan sekolah tertangguh, ada sehingga dua tahun akibat kesan pandemik kepada sektor binaan, kata Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (26 Jul).
Dalam satu kenyataan media, MOE menyatakan keadaan COVID-19 telah menyebabkan "kekurangan tenaga manusia yang teruk" dalam sektor binaan dan menganggu bekalan bahan.
Dua sekolah rendah, dua sekolah menengah dan empat maktab rendah terjejas akibat masalah tersebut.
Berikut adalah butiran tentang penangguhan yang dialami setiap sekolah:
KAMPUS BARU SEKOLAH RENDAH ANGSANA
Sekolah Rendah Angsana dijadual berpindah dari 3 Tampines Street 22 ke kampus barunya di Tampines North pada Januari 2022. Namun, ia kini tergendala sehingga enam bulan, iaitu semasa cuti sekolah Jun.
Tadika baru MOE (MK) di Angsana akan tetap dibuka mengikut jadual di kampus baru di 51 Tampines Street 61 pada Januari.
"MOE akan bekerjasama dengan MK@Angsana untuk memastikan keselamatan semua murid dan kakitangan MK sementara kerja-kerja dijalankan di bahagian lain kampus."
"Ini termasuk menyediakan laluan berjalan khas dan selamat ke MK, menghadang bahagian kampus lain dari MK dan kegiatan-kegiatan yang dijalankannya, serta langkah-langkah lain untuk mengurangkan gangguan kepada murid-murid MK, seperti perlindungan daripada habuk dan bunyi bising."
NAIK TARAF SEKOLAH RENDAH MAYFLOWER
Sekolah Rendah Mayflower dan MK@Mayflower juga akan tangguhkan tarikh berpindah ke tapak tetap sekolah itu sehingga enam bulan, semasa cuti sekolah Jun 2022.
Sekolah itu kini beroperasi secara sementara di bekas tapak Sekolah Rendah Kebun Baru sedang sekolah tetapnya menjalani kerja-kerja naik taraf.
Di bawah Semakan dan Pelaksanaan Pendidikan Sekolah Rendah (PERI), kampus yang dinaik taraf akan mempunyai lebih banyak ruang untuk "pembelajaran bertumpu" dalam bidang-bidang akademik dan bukan akademik seperti bilik darjah, kemudahan pembelajaran di luar dan "bilik-bilik khas yang memupuk lebih banyak interaksi, dan pembelajaran berdasarkan pengalaman," kata MOE.
SEKOLAH MENENGAH WOODLANDS RING DINAIK TARAF, GABUNG BERSAMA SEKOLAH MENENGAH FUCHUN
Sekolah Menengah Woodlands Ring akan berpindah ke sebuah tapak sementara untuk memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf kampus pada Januari 2023, setahun lewat dari yang dijadualkan. Setelah kerja-kerja di bawah Program Pembinaan Semula dan Naik Taraf Sekolah (Prime) selesai, sekolah itu akan kembali ke tapak tetapnya pada Januari 2025.
Gabungannya dengan Sekolah Menengah Fuchun yang dirancang pada Januari 2024 apabila kampus yang dinaik taraf siap, kini ditunda kepada Januari 2025.Langkah itu bagi "mengurangkan gangguan kepada pelajar dan kakitangan sekolah yang digabung," tambah MOE.
SEKOLAH HAI SING CATHOLIC DINAIK TARAF
Kerja-kerja naik taraf Prime bagi Sekolah Hai Sing Catholic juga ditangguh setahun. Ia kini dijadualkan siap antara Januari 2023 hingga Disember 2024.
Sekolah itu akan beroperasi di bekas tapak Sekolah Menengah Greenview buat sementara dan kembali ke kampus yang dinaik taraf apabila ia siap pada Januari 2025.
PROGRAM PENINGKATAN PRASARANA MAKTAB RENDAH
Kerja-kerja peningkatan prasarana bagi empat maktab rendah yang dijadualkan bermula pada 2023 dan dijangka selesai menjelang akhir 2025 akan ditunda selama satu atau dua tahun.
Tapak tetap yang telah dinaik taraf bagi Maktab Rendah (JC) Anderson Serangoon, Jurong Pioneer dan Temasek akan siap mulai Januari 2028.
Untuk memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf, Anderson Serangoon JC dan Temasek JC akan masing-masing berpindah ke tapak lama Serangoon JC dan Tampines JC pada Januari 2024. Jurong Pioneer JC kini beroperasi di tapak lama Pioneer JC.
Kerja-kerja di tapak lama Innova JC akan ditangguhkan selama setahun. Yishun Innova JC dijangka berpindah ke tapak yang dinaik taraf pada Januari 2027.
"MOE akan bekerja rapat dengan semua sekolah yang terjejas untuk memastikan bahawa pelajar terus menikmati persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran," tambah kementerian tersebut.
"Kami akan terus memantau keadaan COVID-19 untuk menilai kesan terhadap kerja-kerja binaan yang sedang dijalankan, dan akan memberi kemas kini lanjut jika perlu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.