Skip to main content

Singapura

Projek polder pertama SG sudah selesai; tambak tanah seluas 800 hektar di Pulau Tekong

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Sep 2025 01:57PM Dikemas Kini : 08 Sep 2025 11:14PM
SINGAPURA: Singapura sudah menyelesaikan kerja-kerja binaan utama untuk projek polder pertamanya, menambak sekitar 800 hektar tanah di hujung Pulau Tekong dekat pantainya pada sebelah timur laut.

Polder ialah kawasan tanah yang terletak di bawah paras air laut dan ditambak melalui pembinaan daik, saluran saliran dan stesen pam.

Projek itu - dua kali ganda saiz bandar Toa Payoh - pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong pada 2016, semasa beliau menjadi Menteri Pembangunan Negara.

Pembinaannya telah disiapkan menggunakan kaedah 'empoldering', menjadikannya kali pertama Singapura menambak tanah di bawah paras purata laut, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan agensi air negara PUB dalam satu kenyataan media bersama pada Isnin (8 Sep).
 
Related article image
Kaedah 'empoldering' menggunakan hanya sedikit pasir berbanding proses menambak secara tradisional.

Jumlah pasir yang digunakan untuk kerja-kerja menambak berkurangan hampir 50 peratus, menurut kedua-dua agensi itu.

Tanah tambak itu akan digunakan untuk tujuan latihan tentera, dengan ruang-ruang di tanah besar Singapura untuk kegunaan lain, seperti membangunkan rumah baharu dan membina kemudahan lain, tambah kedua-dua agensi tersebut.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, HDB dan PUB menyatakan bahawa walaupun kerja-kerja binaan utama untuk tanah dan infrastruktur sudah siap pada penghujung 2024, beberapa ujian akhir dan kerja-kerja pentauliahan masih dijalankan.

Ini termasuk sistem kawalan dan pemantauan untuk sistem pengurusan air serta perkhidmatan telekomunikasi pada polder, yang masih dijalankan dan dijadual siap akhir tahun ini.

Selepas itu, HDB akan menyerahkan polder kepada PUB dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

"Lantaran itu, kos sebenar polder dan jumlah penjimatan kos masih belum dimuktamadkan," menurut HDB dan PUB.

"Memandangkan ini adalah polder pertama Singapura, kos operasi dan penyenggaraan daik dan sistem pengurusan air hanya boleh ditentukan selepas mengendalikannya bagi satu tempoh masa."
Related article image
Pemandangan dari udara polder di Pulau Tekong pada 2024. (Gambar: ST Engineering Geo-Insights)
PERLINDUNGAN DARIPADA KENAIKAN PARAS AIR LAUT

Daik sepanjang 10km, sejenis benteng, telah dibina di sepanjang perimeter polder untuk mencegah kemasukan air laut. Daik dibina sehingga 6m di atas paras purata air laut, dan ketinggiannya boleh dinaikkan jika perlu, untuk menyesuaikannya dengan kenaikan paras air laut pada masa akan datang.

"Daik merupakan infrastruktur utama pertama yang akan disiapkan, kerana ia dianggap perlu untuk menutup sepenuhnya kawasan yang ditambak untuk mengurus paras air dalam polder," kata HDB dan PUB.

Daik itu dibina dengan campuran bahan dan struktur. Sebagai contoh, bahagian yang menghadap ke laut mempunyai lapisan batu semula jadi untuk mengekalkan keutuhannya; manakala bahagian yang menghadap tanah ditutup oleh rumput Bermuda untuk menahan tanah sekuat-kuatnya dan mengurangkan hakisan semasa hujan.
Sebatang jalan yang dibangunkan seiring dengan permukaan daik turut dibina bagi memudahkan kerja-kerja penyenggaraan. Jalan ini, bersama-sama dengan jalan sepanjang lagi 21km, membolehkan kenderaan menavigasi polder dengan selamat.

Dalam mereka bentuk daik dan pertimbangan bagi keselamatannya, HDB dan PUB mencedok pengalaman Belanda, yang mempunyai piawai tertinggi di dunia bagi keselamatan daik.

Memandangkan penggunaan polder adalah pendekatan "baharu" bagi Singapura, kedua-dua agensi itu bekerjasama dengan para pakar dari Belanda untuk menyesuaikan polder di Pulau Tekong dengan konteks Singapura, untuk memastikan keselamatannya, kata Cik Goh Pei Ling, Timbalan Pengarah bagi Bangunan dan Infrastruktur di HDB.

Sekiranya berlaku banjir, sistem amaran awam akan diaktifkan untuk memberi amaran kepada para kakitangan supaya menangguhkan semua aktiviti dan mengosongkan polder, kata HDB dan PUB kepada Mediacorp.

"Jika mana-mana pam gagal, pam siap sedia (standby) akan diaktifkan secara automatik untuk mengambil alih operasi. Sekiranya berlaku kegagalan kuasa, penjana sandaran akan diaktifkan untuk menghidupkan pam," kata kedua-dua agensi itu.

PENGURUSAN AIR

Daya maju polder juga bergantung kepada sistem pengurusan airnya.

Dengan curahan hujan yang tinggi di Singapura dan ciri-ciri polder yang rendah iaitu di bawah paras purata air laut, pengurusan air hujan memerlukan "perhatian khusus" kerana air tidak dapat mengalir keluar secara semula jadi, kata HDB dan PUB.

Lantaran itu, polder mempunyai rangkaian saliran sepanjang 45km, kolam pengumpulan air hujan dan dua stesen pam.

Rangkaian saliran terdiri daripada lebih 30 kawalan air serta struktur salur masuk dan keluar dengan pintu untuk menguruskan air hujan.
Related article image
Sistem saliran keseluruhan dipantau dan dikendalikan oleh PUB melalui sistem automatik sepenuhnya, di pusat kawalan operasi yang ditempatkan di dalam stesen pam saliran.

PUB juga telah memasang lebih 170 kamera litar tertutup (CCTV) dan lebih 260 sensor untuk memantau daik serta paras air dan mutunya dalam rangkaian saliran, menurut jurutera kanan agensi itu untuk jabatan tadahan dan laluan air, Thomas Pang.

Ini membolehkan operasi online masa nyata yang lancar dari kedua-dua pusat kawalan di polder dan pusat operasi bersama PUB di tanah besar Singapura, tambahnya.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita