Projek perintis: 1 kontraktor kendalikan semua khidmat bandaran di Tampines
Demi memberi khidmat bandaran lebih cekap lagi, hanya satu kontraktor akan dilantik bagi menguruskan khidmat sedemikian di Tampines di bawah projek perintis baru.
Hanya satu kontraktor akan dilantik bagi menguruskan khidmat bandaran di Tampines. (Gambar Fail: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Demi memberi khidmat bandaran lebih cekap lagi, hanya satu kontraktor akan dilantik bagi menguruskan khidmat sedemikian di Tampines di bawah projek perintis baru.
Khidmat berkenaan termasuklah pembersihan kawasan awam, penguatkuasaan terhadap merokok atau membuang sampah sebarangan, penjagaan taman dan pengurusan burung.
Mengumumkan projek perintis itu hari ini (4 Mac), Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara, Sim Ann berkata ini akan membawa kepada kawasan-kawasan kejiranan yang lebih terurus bagi para penduduk.
Di bawah proses sekarang, agensi-agensi berkenaan mempunyai kontraktor berlainan untuk menjalankan pelbagai kerja.
Pandemik COVID-19 menurut beliau menunjukkan perlunya beralih daripada terlalu bergantung kepada tenaga manusia.
Cik Sim menambah bahawa dalam masa yang sama, Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO), juga ingin menangani "halangan-halangan struktural" yang menghindarinya daripada memberikan perkhidmatan lebih baik.
Projek perintis ini merupakan satu kolaborasi antara MSO dan enam lagi agensi, termasuk Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).
"Kesimpulan yang diharapkan buat program rintis ini adalah ia bukan lagi mengenai 'ini isu agensi mana' kerana pengendali khidmat yang sama akan melaksanakan semua khidmat perbandaran yang diperlukan," menurut MSO dalam satu kenyataan media.
Ini bermakna adanya pengesanan dan penyelesaian isu yang lebih cepat, dan pekerjaan yang lebih cekap.
BAGAIMANA PROJEK INI AKAN DIJALANKAN
Operasi ini akan bermula lewat 2021 dengan tender yang akan dikeluarkan tidak lama lagi untuk melantik kontraktor.
Tampines dipilih kerana ia merupakan estet lama dengan pelbagai isu perbandaran, di mana model pemberian khidmat itu boleh diuji, MSO memberitahu CNA.
Projek ini akan dibahagikan kepada dua fasa dengan setiap satu berlangsung selama tiga tahun.
Dalam fasa pertama, kontraktor mengendalikan beberapa khidmat - pembersihan, pengawalan serangga, penguatkuasaan terhadap kesalahan-kesalahan seperti merokok dan membuang sampah sebarangan serta penyenggaraan infrastruktur kecil.
Fasa seterusnya melibatkan tanggungjawab tambahan seperti penyenggaraan kehijauan, pengurusan haiwan dan burung, pemantauan kejadian membuang sampah dari bangunan, pengurusan bunyi bising dalam masyarakat dan penyenggaraan prasarana taman.
Akan tetapi, agensi-agensi berkenaan akan tetap dipertanggungjawabkan terhadap hasil daripada model baru ini, menurut MSO.
Projek ini juga akan mengurangkan pergantungan kepada tenaga manusia melalui penggunaan teknologi yang "inovatif" seperti analitik data.
Ia juga akan mereka semula pekerjaan-pekerjaan khidmat-khidmat perbandaran melalui peningkatan kemahiran dan silang latihan bagi para pekerja untuk "operasi yang lebih mampan."
"Lama-kelamaan, lebih banyak pekerjaan perbandaran kemahiran tinggi akan dicipta bagi rakyat tempatan," kata Cik Sim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.