Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek pengangkutan seperti Terminal 5, stesen baru MRT mungkin tertangguh jika COVID-19 berlarutan

Sebilangan projek prasarana pengangkutan di Singapura mungkin tertangguh jika wabak COVID-19 berlarutan, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan di parlimen pada Khamis (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Mar 2020 02:26PM Dikemas Kini : 07 Mar 2020 01:13AM

SINGAPURA: Sebilangan projek prasarana pengangkutan di Singapura mungkin tertangguh jika wabak COVID-19 berlarutan, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan di parlimen pada Khamis (5 Mac).

"Buat masa ini, kelengahan pada garis masa projek itu masih boleh ditampung," kata beliau semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan. "Jika wabak itu berlarutan, ia boleh menjejas bekalan perkakas dan bahan binaan."

Menyusuli penularan awal wabak tersebut di China lewat tahun lalu, pihak berkuasa menyekat pergerakan keluar masuk ke bandar-bandar China, menyebabkan beratus-ratus ribu pekerja terkandas di negara asal mereka.

Hab-hab pengilangan utama China hanya mula kembali beroperasi secara perlahan-lahan pada hujung bulan Februari, sedang para pekerja kembali bekerja selepas beberapa kawasan di negara itu melonggarkan sekatan perjalanan. Kebanyakan import Singapura datang dari China.

"Sedang China menyekat laluan keluar masuk, rantaian bekalan global juga terjejas," kata Encik Khaw, sambil menambah kereta api baru Singapura kini dibina di China.

Encik Khaw berkata gangguan pada rantaian bekalan boleh menjejas garis masa bagi projek-projek seperti Terminal 5, Pelabuhan Tuas, stesen-stesen baru MRT dan generasi baru Sistem Bayaran Jalan Raya Elektronik (ERP).

"Kami juga memantau kesan projek-projek prasarana pengangkutan kami," kata beliau.

Walaupun demikian, Encik Khaw yakin wabak tersebut akan "terhapus lama-kelamaan", sambil menambah tidak lama lagi, ekonomi dan industri-industri Singapura akan beransur pulih.

Menteri tersebut turut menekankan bahawa Singapura akan meneruskan rancangan prasarana, sambil menarik perhatian senarai projek binaan "menyeluruh" dalam masa lima tahun akan datang.

Ini termasuk pembinaan Terminal 5 yang "sedang dijalankan" dan Pelabuhan Tuas yang dijangka siap sekitar 2040 bagi menjadi terminal kontena automatik terbesar di dunia.

"Bersama-sama, pelaburan ini akan memperluaskan ketersambungan luar kita bagi merebut pertumbuhan dalam pengangkutan global bagi muatan dan manusia," kata Encik Khaw. 

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan