Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek pembangunan semula Masjid Khadijah akan penuhi keperluan umat Islam & pelihara kesejahteraan S'pura

Projek pembangunan semula Masjid Khadijah dan Pusat Sumber dan Kaunseling RRG (RCC) akan memainkan peranan penting dalam menyokong kerja-kerja Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Projek pembangunan semula Masjid Khadijah dan Pusat Sumber dan Kaunseling RRG (RCC) akan memainkan peranan penting dalam menyokong kerja-kerja Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Selain memenuhi keperluan umat Islam setempat, ia juga akan menyokong kerja baik RRG dalam menjaga keselamatan dan memelihara kesejahteraan Singapura.

Pelancarannya semalam (29 Apr) dialu-alukan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli melalui catatan Facebooknya hari ini (30 Apr) yang berkongsi kegembiraannya dapat melancarkannya bersama dengan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Projek pembangunan semula itu termasuk peningkatan struktur masjid, galeri warisan awam yang baru serta peluasan galeri RCC.

Projek itu diusahakan dengan kerjasama Majis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk mempertingkatkan lagi usaha mendampingi masyarakat.

"Saya mengalu-alukan projek ini kerana ia memberi Masjid Khadijah peluang untuk terus memenuhi keperluan umat Islam dan juga menyokong kerja baik RRG dalam memelihara keselamatan dan kesejahteraan Singapura.

"Saya juga amat menghargai sumbangan daripada pengerusi bersama RRG, Ustaz Ali Mohamed dan Ustaz Hasbi Hassan," tulis Encik Masagos dalam catatannya itu.

Dalam pada itu, Encik Masagos yang juga Menteri Kedua Kesihatan turut menarik perhatian kepada ucapan DPM Heng yang memuji kemajuan baik yang dicapai oleh masyarakat Melayu/Islam setempat.

Menurut Encik Masagos, DPM Heng memuji usaha berterusan masyarakat Melayu/Islam untuk mencapai visi Masyarakat Gemilang, terutama dalam membangunkan kerjasama dan menjalankan program-program bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Ini termasuk gandingan baik oleh badan-badan Melayu/Islam dengan inisiatif M³ termasuk M³@Bandar untuk memperluas jangkauan kepada lebih banyak keluarga yang kurang bernasib baik. Marilah kita teruskan gandingan kita demi kemajuan semua," tambah Encik Masagos.

Encik Masagos turut berkongsi bahawa Masjid Khadijah adalah salah satu masjid tertua di Singapura.

Ia dibina pada tahun 1920 dan terkenal dengan reka bentuknya yang unik yang menggabungkan unsur-unsur dari India, Eropah dan Timur Tengah.

Masjid Khadijah dibina atas tanah wakaf yang diwakafkan oleh pedagang dan dermawan India, Almarhumah Hajah Khatijah Mohamed.

Selain berfungsi sebagai sebuah rumah ibadah, Masjid Khadijah memainkan peranan penting dalam menyokong kerja-kerja Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) sejak tahun 2003. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan