Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek pembangunan Paya Lebar Quarter dibuka rasmi

Sebuah tempat baru untuk tinggal, bekerja dan beriadah di Paya Lebar yang dipanggil Paya Lebar Quarter disifatkan sebagai satu fasa baru pembangunan kawasan berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Oct 2019 08:53PM Dikemas Kini : 24 Oct 2019 11:18PM

SINGAPURA: Sebuah tempat baru untuk tinggal, bekerja dan beriadah di Paya Lebar yang dipanggil Paya Lebar Quarter disifatkan sebagai satu fasa baru pembangunan kawasan berkenaan.

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong yang hadir di pembukaan rasminya berkata perubahan berterusan Paya Lebar adalah mikrokosma pembaharuan Singapura.

Masihkah anda ingat lagi dengan tanah bersebelahan Stesen MRT Paya Lebar?

Kini, kawasan tersebut dibangunkan menjadi pembangunan pelbagai guna yang bernilai S$3.7 bilion.

Seluas sejuta kaki persegi, pembangunan tersebut menempatkan tiga menara pejabat dengan Ibu Pejabat SMRT dan syarikat hartanah CBRE sudah berada di situ.

Paya Lebar Quarter juga mempunyai pusat beli-belah dengan lebih 200 kedai serta sebuah kompleks perumahan yang mempunyai 429 unit.

Kesemua bangunan dihubungkan dengan dua laluan MRT di Stesen MRT Paya Lebar.

Kerja-kerja binaan bermula tiga tahun lalu dan pembangunan Paya Lebar Quarter adalah sebahagian daripada pelan pemencaran pemerintah. Ia bertujuan untuk menyediakan pekerjaan berdekatan tempat tinggal sekali gus mengurangkan masa perjalanan ke pusat bandar.

Encik Wong berkata Paya Lebar adalah sebahagian daripada perubahan luas Singapura yang sudah dilaksanakan.

Bahkan, beliau menambah bahawa lebih banyak perubahan bakal dijalankan.

"Kami sedang bekerjasama dengan para jurubina dan perancang tentang kemungkinan-kemungkinan ini. Kami pasti mengalu-alukan rakan kongsi seperti Lendlease untuk memberi pandangan dan idea supaya kami boleh terus untuk membina masa depan kita bersama," ujar Encik Wong.

Pangkalan udara Paya Lebar akan berpindah pada 2030 lantas membuka ruang tanah 800 hektar iaitu seluas bandar Bishan untuk kerja-kerja pembangunan semula.

Estet-estet perindustrian sekeliling juga bakal dibangunkan semula. 

Sumber : CNA/RU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan