Skip to main content

Singapura

Projek ‘Orang Singapura’ mahu lestarikan lagu-lagu Allahyarham Zubir Said

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Melestarikan lagu-lagu penggubah lagu tersohor negara Allahyarham Zubir Said agar sentiasa malar segar dan dinikmati generasi seterusnya.

Itulah yang ingin dicapai Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) menerusi sebuah projek baharu.

Projek yang dinamakan ‘Orang Singapura’ itu merangkumi kompilasi 10 buah lagu Allahyarham Pak Zubir yang disusun semula oleh penerbit muzik dan dinyanyikan oleh bakat tempatan.

Antaranya termasuk lagu 'Semoga bahagia', 'Singapura Permai' dan 'Orang Singapura".

"Allahyarham merupakan seorang tokoh negara yang telah banyak menyumbang kepada bidang muzik terutamanya dan kami juga rasa antara perkara yang perlu disimpan di sini antara pemikiran dan falsafah hidup Pak Zubir dalam menghasilkan lagu-lagu beliau," kata Sekretariat MLLPC, Zurianee Zainal.

Selain menikmati melodi indah karya Allahyarham Zubir, para pelajar juga diharap dapat menghayati mesej dan nilai-nilai murni yang dipaparkan menerusi bait-bait lirik lagu beliau.

Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman yang hadir di majlis pelancarannya pada Sabtu (28 Okt) berkata, "Karya-karya Zubir Said sememangnya mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Lagu-lagu beliau sarat dengan nasihat, semangat cinta akan negara, nilai murni dan aspirasi sesuatu bangsa. Malah, pemilihan perkataan yang mudah lagi tepat dirangkaikan dalam lagu-lagu tersebut untuk menyampaikan harapan beliau."

"Jika lagu-lagu Allahyarham Zubir Said tidak dikongsi, hal ini seumpama kemenyan sebesar lutut, jika tidak dibakar, takkan berbau. Hasil-hasil kerja beliau yang tidak ternilai harus diuar-uarkan supaya sentiasa malar segar, dihargai setiap generasi masyarakat Melayu dan Singapura," kata Dr Maliki.

mllpc

Menurut MLLPC, kompilasi itu akan diedarkan kepada semua sekolah bagi menggalak pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan sumber yang ditetapkan dalam konteks tempatan.

"Sememangnya kalau kita lihat, ini adalah antara perkara yang boleh kita laksanakan di dalam bilik darjah, malah guru-guru juga boleh menggunakan peluang saat boleh didik yang sesuai dan juga di luar bilik darjah untuk memperkenalkan lagu-lagu beliau," jelas Puan Zurianee.

GERAN MLLPC UNTUK PENERBITAN BUKU CERITA

Selain daripada kompilasi lagu-lagu Zubir Said, Dr Maliki turut mengumumkan satu geran istimewa khusus untuk para karyawan dan penulis.

Ini merupakan usaha MLLPC untuk merancakkan penerbitan bahan bacaan yang berkualiti lagi menyeronokkan, sesuai untuk para pelajar khususnya.

Para penulis juga digalakkan menghasilkan cerita-cerita yang mengambil inspirasi daripada lagu-lagu Allahyarham Pak Zubir Said.

Walau bagaimanapun, mereka juga diberi kebebasan untuk menulis berdasarkan tema-tema lain.

"Karya yang dipilih haruslah berlatarkan konteks dan budaya Singapura. Keutamaan akan diberikan kepada karya yang berilhamkan lagu-lagu Zubir Said, menonjolkan nilai serta semangat yang tersemai dalam lirik-lirik lagu beliau," kata Dr Maliki.

Permohonan yang berjaya akan diberikan dana untuk membiayai kos penerbitan, pencetakan dan penghantaran buku ke sekolah-sekolah.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita