Projek naik taraf Masjid Malabar bernilai S$5.87 juta bermula 1 Sep 2020
Masjid Malabar yang terletak di persimpangan antara Victoria Street dan Jalan Sultan bakal menjalani kerja-kerja naik taraf mulai Selasa (1 Sep).
SINGAPURA: Masjid Malabar yang terletak di persimpangan antara Victoria Street dan Jalan Sultan bakal menjalani kerja-kerja naik taraf mulai Selasa (1 Sep).
Sebuah bangunan baru setinggi tiga tingkat juga akan dibina bersebelahan dengan tapak masjid tersebut.
Sebilangan ciri bangunan asal juga akan menjalani kerja-kerja pemuliharaan dan pembaikan.
Pelancaran projek naik taraf itu dirasmikan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli pada Isnin (31 Ogos).
“Seni bina masjid ini tidak saja mencantumkan seni bina yang asal kepada seni bina yang moden, tetapi juga ia memberikan satu gambaran juga bahawa kita harus menghormati sejarah yang ada di sini. Termasuk juga sejarah yang ada di masjid ini," kata Encik Masagos.
Projek bernilai S$5.87 juta ini adalah hasil kutipan derma orang ramai yang dimulakan sejak 2013.
CIRI-CIRI BARU
Apabila siap pada 2022 kelak, bangunan tiga tingkat yang baru itu akan menampilkan beberapa ciri menarik yang lebih gah dan dilengkapi dengan beberapa kemudahan untuk menampung lebih ramai jemaah.

Antaranya, sebanyak 400 ruang solat akan ditambah supaya seramai 1,000 jemaah dapat ditampung pada satu-satu masa.
Selain itu, empat bilik darjah dan sebuah dewan serbaguna juga akan dibangunkan bagi mengendalikan kelas-kelas ukhrawi, pembangunan sosial dan klinik nasihat guaman secara percuma setiap bulan. Ia juga boleh diubah suai menjadi ruang solat tambahan.
Di samping itu, bangunan baru itu juga akan dilengkapi dengan sebuah bilik persidangan, lebih banyak tandas dan tempat wuduk serta kawasan 'break-out' di atas bumbung.
Sebuah lif yang boleh menampung seramai 20 jemaah juga akan dipasang bagi memudahkan akses untuk jemaah yang memerlukan bantuan pergerakan.
MAKLUM BALAS, PANDANGAN MASYARAKAT DIAMBIL KIRA
Sejak 2018 lagi, Muis, Warees dan Kelompok Masjid Kawasan Selatan (SMC) mengumpul balas dan pandangan pihak-pihak berkepentingan di kawasan itu untuk mengambil kira pendapat dan sentimen mereka terhadap projek berkenaan.
Tanah perkuburan di sekeliling Masjid Malabar juga akan dikekalkan semasa kerja-kerja binaan dijalankan. Pusara dermawan Haji Ambo Sooloh dan tokoh terkenal kaum Malabari, Kunji Koya Thangal juga akan dibaiki dan dipulihkan sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan.
SOKONG USAHA PEMULIHARAAN URA
Sebagai memenuhi garis panduan pemuliharaan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), bahagian hadapan bangunan baru Masjid Malabar yang menghadap Victoria Street akan tetap mempunyai ciri-ciri seperti warna dan motif yang terdapat pada bangunan sedia ada. Sebuah gerbang masuk yang baru juga akan didirikan di antara kedua-dua bangunan lama dan baru.
Sistem pandang dengar (audio-visual) dan zon-zon untuk membantu jemaah dengan alat-alat bantuan pendengaran juga akan disediakan. Semua itu bagi menjadikan masjid tersebut lebih mesra jemaah dan memberi keselesaan kepada para jemaah.
LESTARIKAN SEJARAH KAMPONG GELAM
Sebagai sumbangannya kepada usaha untuk melestarikan sejarah Kampong Gelam, sebuah galeri warisan awam yang baru juga akan dibina untuk mempamerkan warisan masjid tersebut serta sejarah masyarakat Malabari dan masyarakat Bugis.
Masjid Malabar dibuka secara rasmi pada 24 Januari 1963 oleh Presiden Singapura ketika itu, Yusof Ishak yang ketika itu memegang jawatan Yang di Pertuan Negara. Ia dibina oleh masyarakat Malabari yang berhijrah ke Singapura dari Kerala, India. Masyarakat Malabari membentuk sebahagian daripada kaum Malayalee di sini.
Mereka banyak menyumbang kepada Masjid Malabar menerusi program pertukaran silang agama, pemeriksaan kesihatan dan klinik-klinik nasihat guaman secara percuma. Projek naik taraf ini diharap akan dapat menyediakan penambahan kemudahan di masjid ini untuk meneruskan program-program pendampingan masyarakat yang lebih luas lagi.
Bangunan baru Masjid Malabar dijangka siap pada suku pertama 2022.
Bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf, Masjid Malabar akan ditutup selama tiga bulan mulai 1 September 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.