Skip to main content

Singapura

Projek Murni ini bantu keluarga Muslim yang rumahnya dalam keadaan menyedihkan

Barang-barang rumah yang tidak terurus, jubin dan mangkuk tandas yang usang dan yang terlalu kotor serta bau kurang menyenangkan yang menyelubungi seluruh rumah ini. Begitulah keadaan rumah Cik "Munah" (bukan nama sebenar) yang sangat menyedihkan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jul 2021 09:02PM Dikemas Kini : 17 Jul 2021 10:06PM

SINGAPURA: Barang-barang rumah yang tidak terurus, jubin dan mangkuk tandas yang usang dan yang terlalu kotor serta bau kurang menyenangkan yang menyelubungi seluruh rumah ini. Begitulah keadaan rumah Cik "Munah" (bukan nama sebenar) yang sangat menyedihkan.

Related article image

(Gambar: M³@Geylang Serai)

Berusia 79 tahun, Cik Munah sendiri perlu bergerak menggunakan kerusi roda di flatnya di Haig Road ini. Dia tinggal bersama anak tunggalnya, "Hamid", 49 tahun, seorang anak istimewa yang kurang daya intelek.

Mujur ada yang sudi membantu.

Hari ini (17 Jul) seramai 10 sukarelawan di bawah 'Projek Murni' kendalian M³@Geylang Serai, turun padang demi membantu membersihkan rumah tersebut dan memberi sedikit keceriaan kepada Cik Munah dan Hamid menjelang Hari Raya Aidiladha ini.

Related article image

Inisiatif itu, yang mahu membantu keluarga-keluarga muslim dalam tinggal keadaan rumah seperti itu, dilancarkan hari ini. Cik Munah adalah penerima pertama bantuan Projek Murni.

Rumah Cik Munah dikenal pasti menyusuli lawatan rumah ke rumah oleh Anggota Parlimen GRC Marine Parade bagi Geylang Serai, Encik Fahmi Aliman.

"Matlamat kita adalah untuk memberi cahaya kepada tuan rumah bahawasanya mereka memerlukan sesuatu kehidupan yang sebagaimana orang lain hidup," kata
Pengerusi MAEC Geylang Serai, Encik Mohamed Zailani Mohamed Said, yang ditemui BERITAmediacorp di rumah Cik Munah.

Related article image

"Jadi kita dari M³@Geylang Serai dan juga bantuan-bantuan daripada Pasukan Bertindak Masalah Menyorok ('Hoarding'), kita bergabung dengan RC, Pertahanan Awam untuk bantu bagaimana kita nak usahakan menjadikan rumahnya sebagai orang yang betul-betul nak tinggal dalam rumah."

Di bawah projek tersebut juga, rumah itu akan menjalani pembersihan menyeluruh. Mangkuk tandas dan semua perabot di dalamnya juga akan digantikan dengan yang baru. Cik Munah dan Hamid pula bakal mendapat pakaian-pakaian baru.

Sebuah kerusi roda baru juga bakal menanti buat kegunaan Cik Munah.

Bagaimanapun kata Encik Zailani, tidak mudah untuk memujuk Cik Munah supaya bersetuju "menghapuskan barangan yang tidak diperlukan". Ini terutama sekali memandangkan ia melibatkan barang-barang pembelian arwah suaminya yang memang menyimpan kenangan.

Related article image

Semasa diwawancara BERITAmediacorp, Cik Munah yang tidak dapat menahan linangan air matanya.

"Banyak kenang-kenangan dia punya. Banyak yang dibelinya, apa-apa yang dibelinya. Nak katakan sedih tu memang ada, nak rasa malu pun memang ada," akui Cik Munah dengan jujur tentang keadaan rumahnya.

"Yalah rumah dah ada orang tolong kemas-kemaskan, buang apa barang-barang yang cik tak nak. Kalau cik kuat cik bikin sendiri. Banyak yang cik bikin sendiri."

Related article image

Berkongsi cabaran membersihkan rumah itu, Encik Zailani berkata:

"Benda mencabar adalah keadaan rumah dia. Bau kerana beliau memelihara kucing, kalau kita memelihara kucing, kita perlu tahu cara menjaga kucing - najis begitu begini.

"Mungkin dia tak mampu atau anaknya tak pandai cara-cara jadi itu cabarannya dari segi barang-barang kat rumah dia yang mungkin tak terurus, makanan-makanan yang mungkin tak dibuang.

Bagi "Hamid", kehadiran para sukarelawan itu disambutnya dengan tangan sangat terbuka.

Related article image

"Dia orang nak datang tolong kemas, Hari Raya Haji nak dekat .

"Tengok dia orang kemas barang-barang lama, buat apa simpan, buat bersemak saja, baik buang, buang semua. Macam bersih sikit, orang datang gembira," kata "Hamid".

Yang pasti, kerelaan Cik Munah 'mengorbankan' barang-barang kesayangannya menjelang Hari Raya Haji ini akan menghasilkan cahaya baru bagi rumahnya ini.

Kesemua proses pembersihan ini akan akan siap sepenuhnya pada 25 Julai ini.

Semasa ditanya mengenai bantuan yang dihulurkan para sukarelawan itu Cik Munah mengaku "gembira juga".

Namun yang pasti, pada usia senja sekarang ini, Cik Munah memerlukan lebih daripada sekadar bantuan membersihkan rumahnya.

"Kalau burung datang, cik tabur makanan dan dengar bising-bising burung kat luar sajalah. Kalau masa makan dia berebut-rebut, kan. Itu insya-Allah. Kalau burung tak datang diam sajalah. Main dengan kucing ini saja," kongsi Cik Munah yang membela seekor kucing sebagai peneman. 

Projek Murni juga sudah mengenal pasti satu lagi rumah yang mahu diberi bantuan sebegini di Eunos Crescent.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita