Skip to main content

Singapura

Projek Korban PERTAPIS lebih lancar & cekap, sasar libatkan lebih ramai belia

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Projek Korban 2025 anjuran PERTAPIS pada Sabtu (7 Jun) berlangsung dengan lancar dan cekap, hasil sokongan 80 sukarelawan.

Separuh daripada 120 ekor kambing selesai disembelih dalam tempoh dua jam selepas upacara bermula pada 10 pagi, manakala penyembelihan kambing terakhir dilakukan pada 3.30 petang.

Seluruh proses korban tamat menjelang 5 petang, dengan agihan daging dimulakan seawal jam 3 petang.

Sebagai perbandingan, sebanyak 100 ekor kambing disembelih dalam tempoh lapan jam tahun lalu.

Menurut PERTAPIS, peningkatan kecekapan itu dicapai menerusi penambahbaikan sistem, termasuk pengurangan bilangan stesen, audit masa sebenar, serta bantuan sukarelawan berpengalaman di stesen melapah dan memotong.

"Setiap Sohibul Korban mengambil masa antara antara 20 minit sampai 40 minit sahaja untuk melakukan semua ibadah korbannya dan keluar meninggalkan Rumah Peralihan PERTAPIS. Kami telah melebihkan jumlah sukarelawan, melebihkan peralatan yang tersedia, juga lebih ramai tukang melapah," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PERTAPIS, Firdaus D’Cruz kepada wartawan Roslinda Rahmat.

CEO PERTAPIS, Firdaus D’Cruz, 4 dari kanan, bersama kalangan 80 sukarelawan yang menyingsing lengan menjayakan projek korban PERTAPIS. (Gambar: PERTAPIS)

Seramai 78 daripada 120 Sohibul Korban juga memilih khidmat penghantaran percuma ke rumah yang dilakukan pada keesokan harinya.

Inisiatif itu pertama kali ditawarkan oleh PERTAPIS tahun ini.

"Menyenangkan para sohibul sebab kenapa? Para sohibul datang menyaksikan ibadah korban mereka dalam jangka masa 20 sampai 40 minit itu. Selepas itu, mereka boleh balik dan dapat menikmati Hari Raya Haji mereka. Ini kerana mereka tidak lagi perlu tunggu untuk mengangkut pulang sendiri daging korban mereka setelah ia dilapah, dipotong dan dibungkus pada petang harinya," ujar Encik Firdaus.

Daging korban turut diagih kepada 500 golongan penerima zakat PERTAPIS.

MAHU TARIK LEBIH RAMAI ANAK MUDA SEBAGAI PENYEMBELIH, PELAPAH & PEMOTONG DAGING KORBAN

Seramai 80 sukarelawan berumur 16 hingga 65 tahun terlibat dalam Projek Korban PERTAPIS.

Namun, penyertaan belia dalam lingkungan usia 20-an tahun sebagai penyembelih, pelapah dan pemotong masih rendah.

"Ke depan, kami ingin mendapatkan lebih ramai belia muda untuk menjadi sukarelawan. Ini amat utama untuk kami memperkukuhkan dan meneruskan tradisi ibadah Korban 'LIVE' ini. Kami ingin mereka untuk pelajari bagaimana nak melapah, memotong, menyembelih. Ini semua kemahiran yang amat mereka perlukan. Umur berlingkaran 30-an dan ke atas, 50-an dan juga 60-an yang datang ikuti kursus menyembelih yang kami sediakan. Warga belia muda yang berusia 20-an tahun itu amat kurang," ujar Encik Firdaus.

MUALAF BAHARU SAKSI UPACARA KORBAN

Menerusi kolaborasi baharu PERTAPIS dan Darul Arqam, lebih 20 saudara baharu diberi peluang memahami dan menghayati makna korban melalui stesen 'Islamic Experience'.

"Kami ada stesen-stesen seperti Pengalaman Islamik untuk golongan mualaf mendalami apa itu korban, apa maknanya? Biar lebih ramai mualaf datang untuk melakukan ibadah korban mereka secara langsung," luah Encik Firdaus.

Cik Josephine Kuek (Jamilah Abdullah) antara lebih 20 mualaf dari Darul Arqam Singapura yang merubah perspektif asalnya setelah menyaksikan bagaimana korban dijalankan. (Gambar: PERTAPIS)
Salah seorang daripada mereka, jururawat dan pengusaha Cik Josephine Kuek, hadir untuk menyaksikan ibadah korban buat pertama kali.

Cik Josephine, atau nama Islamnya Jamilah Abdullah, pada awalnya berasa kurang selesa menyaksikan upacara korban.

"Saya seorang vegetarian selama 13 tahun sebelum memeluk Islam. Pada mulanya, saya kurang selesa untuk libatkan diri dalam ibadah Korban. Namun, selepas memahami dan belajar daripada ustazah, saya sedar korban sebenarnya satu penghormatan buat haiwan tersebut. Dan kita perlu mencintai Allah melebihi segala-galanya. Kasih sayang terhadap haiwan dan cara menjaganya turut memberi makna berbeza dalam pelaksanaan Korban kali ini.

"Saya rasa ia sangat teratur dan dijalankan dengan tertib kerana haiwan korban dilayan dengan penuh kasih sayang dan rasa hormat. Cara ia dibawa keluar dan ditenangkan dengan lafaz ‘Allahu Akbar’ benar-benar menyentuh hati. Prosesnya menenangkan, dan haiwan itu juga tidak melihat penyembelihan haiwan lain. Tidak seperti tanggapan saya sebelum ini tentang ibadah korban," kata beliau.
Kalangan Sohibul Korban yang sempat melihat-lihat kambing korban di Rumah Peralihan PERTAPIS yang terletak di Geylang Lorong 34. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
PERTAPIS berharap gabungan pengalaman, semangat sukarela dan penyertaan saudara baharu itu dapat memperluas lagi penyertaan dan pemahaman tentang ibadah korban.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita