Projek kehidupan dibantu pertama SG, Perennial Living sasar warga emas golongan pertengahan, tawar khidmat '5 bintang'
Projek kehidupan dibantu privet pertama di Singapura akan menyasarkan warga emas daripada kelas pertengahan atas dengan khidmat hospitaliti dan penjagaan "lima bintang" di bawah satu bumbung.
Bilik jenis studio suite di Perennial Living, projek kediaman jagaan swasta pertama di Singapura. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)
Menginap di salah satu daripada 200 apartmen yang dibangunkan di 10 blok berharga antara S$8,900 hingga S$17,000 sebulan, bergantung kepada jenis bilik dan tahap penjagaan yang diperlukan, umum Perennial Holdings pada Khamis (28 Ogos).
Projek yang diberi nama Perennial Living, dilengkapi dengan lif peribadi, kawasan teres atas bumbung dan rumah kelab dengan kemudahan menjamu selera dan gaya hidup.
Dalam temu bual dengan Mediacorp menjelang pelancaran projek tersebut pada Khamis (28 Ogos), Pengerusi Eksekutif dan Ketua Eksekutif Perennial Pua Seck Guan berkata harga dan demografi sasaran sebahagiannya disebabkan oleh kos tanah, binaan dan buruh yang tinggi.
Turut dibangunkan di tapak seluas 195,000 kaki persegi di Kovan itu ialah pusat penjagaan perubatan dan kesejahteraan yang akan menawarkan rawatan perubatan Barat dan Tradisional Cina (TCM); bersebelahan rumah jagaan dengan 100 katil dan kawasan seluas 1.5 hektar yang dijangka akan menjadi salah satu taman terapeutik terbesar di Singapura.
Tapak dengan tempoh pajakan selama 60 tahun itu pertama kali diberikan kepada Perennial pada Jun 2023, yang mempunyai pengalaman sedekad menguruskan perniagaan penjagaan kesihatan di China.
Permit pendudukan sementara akan diberikan pada akhir tahun ini, kata Encik Pua, dan mereka yang berminat boleh mendaftar mulai Khamis dan berpindah pada suku pertama 2026.
Kehidupan dibantu membolehkan warga emas tinggal dalam persekitaran seperti di rumah mereka sendiri dan dapat mengakses perkhidmatan seperti pengurusan rumah, makan, serta penjagaan perubatan dan penyeliaan.
Keperluan untuk kemudahan sedemikian semakin berkembang dalam kalangan masyarakat yang semakin menua, dan kehidupan dibantu disebut-sebut sebagai huraian untuk warga emas yang sekalipun memerlukan bantuan tetapi tidak perlu dijaga di rumah jagaan tradisional.
Singapura pada masa ini mengendalikan apartmen penjagaan masyarakat di Bukit Batok dan Queensway, yang menyepadukan reka bentuk perumahan mesra warga emas dengan penjagaan di lokasi dan khidmat sosial.
Dalam sektor swasta, terdapat segelintir pilihan kehidupan dibantu skala yang lebih kecil, seperti St Bernadette Lifestyle Village yang kini menawarkan khidmatnya kepada 102 warga emas di sembilan tapak di serata negara.
Perennial yang beribu pejabat di Singapura, yang asalnya sebagai pemaju hartanah sebelum berkembang menceburi bidang penjagaan kesihatan pada 2015, berharap dapat membezakan dirinya dengan tawaran premium dan dengan memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi khidmat penjagaan warga emas, kata Encik Pua.
“MACAM KELAS PERTAMA SIA”
Menurut Perennial, bangunan baharunya di Parry Avenue, akan memenuhi keperluan warga emas yang memerlukan pelbagai khidmat penjagaan - termasuk mereka yang sihat tetapi mungkin memerlukan sedikit bantuan dengan kehidupan harian atau pengurusan penyakit kronik; mereka yang memerlukan pemulihan khusus selepas pembedahan atau penjagaan demensia; dan mereka yang mempunyai kkhidmat kejururawatan jangka panjang.
Mereka yang berminat boleh memilih daripada studio, unit satu atau dua bilik tidur dengan saiz antara 302 kaki persegi hingga 593 kaki persegi.
Direka dengan mengambil kira keperluan warga emas, ia turut dilengkapi dengan butang kecemasan yang mudah diakses, almari pakaian, lantai tidak licin, palang pegangan, penderia pengesanan jatuh dan sistem respons kecemasan 24 jam.
Perennial turut mendedahkan bahawa pakej asas "secara umumnya" termasuk penginapan; khidmat pengurusan rumah; akses penuh kepada kemudahan seperti kolam renang dan gimnasium mesra warga emas; aktiviti sosial; dan makanan harian di rumah kelab.
Makanan itu - yang disediakan oleh Wilmar International, pemegang saham Perennial - akan disiapkan sedemikian rupa supaya ia memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang berbeza, dan disajikan dalam suasana ibarat ruang rehat kelas pertama Singapore Airlines (SIA), kata Encik Pua.
"Anda juga boleh memesan ala carte," tambahnya. "Kami tidak akan memberi makanan seperti kantin tentera."
Para penghuni juga ditawarkan dengan khidmat concierge peribadi untuk membantu dengan urusan harian dan permintaan khas lain, seperti aturan pengangkutan.
Sebelum berpindah, semua penghuni akan menjalani penilaian perubatan, diikuti dengan semakan enam bulan supaya pelan penjagaan peribadi boleh disediakan.
Pelbagai peranti pemantauan kesihatan yang dihubungkan dengan aplikasi dalaman juga akan disediakan kepada para penghuni, bersama tablet untuk menyemak dan memeriksa statistik kesihatan.
Di kemudahan kesejahteraannya, pakar perubatan pelbagai disiplin, karyawan kesihatan bersekutu dan pasukan kejururawatan akan menyelia penjagaan pencegahan, kesihatan mental dan pemulihan selepas pembedahan untuk para penghuni, dedah Perennial.
"Ini adalah khidmat tambahan yang kami sediakan supaya para penghuni boleh menua dengan tenang dan bermaruah," kata Encik Pua.
Bangunan itu juga dilengkapi dengan rumah jagaan sebanyak 100 katil untuk mereka yang mungkin memerlukan rawatan rapi. Ia akan menampilkan suite peribadi satu dan dua katil berkeluasan 215 hingga 376 kaki persegi, dengan butiran lanjut akan diberikan pada peringkat seterusnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.