Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek jangka panjang SG seperti 'Long Island' perlukan tekad politik: Desmond Lee

Singapura mesti bersiap sedia untuk memulakan projek-projek yang akan mengambil masa selama beberapa dekad untuk membuahkan hasil, dan harus mempunyai tekad politik dan sumber melaksanakannya, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Khamis (20 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Projek jangka panjang SG seperti 'Long Island' perlukan tekad politik: Desmond Lee

Menteri Pembangunan Negara dan Menteri Bertanggungjawab bagi Penyepaduan Khidmat Sosial Desmond Lee menyampaikan ucapan pembukaan di Sidang Puncak Kepimpinan CNA 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 20 Feb 2025 05:41PM Dikemas Kini : 20 Feb 2025 05:50PM
SINGAPURA: Singapura mesti bersiap sedia untuk memulakan projek-projek yang akan mengambil masa selama beberapa dekad untuk membuahkan hasil, dan harus mempunyai tekad politik dan sumber melaksanakannya, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Khamis (20 Feb).

Berucap di Sidang Puncak CNA, Encik Lee berkata projek sebegitu bukan mudah, dan ia akan mengambil masa, usaha dan sumber untuk mengatasi cabaran teknikal yang rumit.

"Sungguhpun demikian, kami melaksanakannya kerana faedah jangka panjang adalah jelas. Ia mengubah kekangan seperti kekurangan tanah menjadi pemangkin untuk huraian bandar yang berpandangan jauh dan pertumbuhan mampan," kata Encik Lee.

Sebagai contoh, "Long Island" - rancangan Singapura yang "bercita-cita tinggi" untuk membangunkan kawasan pantai di bahagian tenggara negara ini - akan melindungi kawasan-kawasan rendah daripada kenaikan paras air laut.

Pelan itu juga akan memberi ruang untuk keperluan masa depan seperti perumahan, rekreasi dan pekerjaan, serta kolam air baharu untuk meningkatkan keselamatan air Singapura, kata Encik Lee.

"Ia akan mengambil masa selama beberapa dekad untuk disiapkan; kita baru sahaja memulakannya. Tetapi kita perlu memulakan kerja-kerja perlindungan pantai sekarang, kerana padahnya jika kita berlengah atau mengalami kegagalan adalah terlalu berat untuk ditanggung oleh generasi akan datang," tambahnya.

Mempunyai tekad politik dan sumber untuk melaksanakan dan meneruskan projek merupakan salah satu daripada empat pendekatan utama yang memacu strategi Singapura untuk mengatasi kekangannya, kata Encik Lee.

Perancangan jangka panjang yang berdisiplin telah diterapkan dalam perancangan tanah Singapura sejak tahun 1950-an, tambah Encik Lee.

Setiap 10 tahun, pemerintah menjalankan semakan ke atas pelan jangka panjang untuk merancang 50 tahun ke hadapan, dan kemudian menerapkannya ke dalam pelan induk terperinci bagi setiap bahagian Singapura untuk 10 hingga 15 tahun akan datang, kata Encik Lee.

Singapura juga menyatukan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan untuk melaksanakan rancangan-rancangan itu dengan berkesan – menyediakan tanah, menyediakan infrastruktur dan menangani masalah yang timbul apabila projek-projek itu dilancarkan, tambahnya.

Walaupun pemerintah merancang untuk jangka panjang, ia harus bertindak pantas untuk menyesuaikan dan menyegarkan rancangannya demi mengikuti perkembangan terkini, kata Encik Lee.

"Ini amat penting bagi peristiwa luar jangka seperti pandemik COVID-19. Kami terpaksa mencari tanah dan menyesuaikan ruang untuk membangunkan kemudahan perubatan tambahan, untuk dormitori dan penggunaan lain yang mendesak," tambahnya.

Tiga faktor juga membolehkan Singapura mengubah visinya menjadi realiti, kata menteri itu.

Berani menggunakan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan peralatan digital turut menyumbang kepada perancangan, reka bentuk dan pembinaan yang lebih cekap, kata Encik Lee.

Pemerintah juga mesti melibatkan orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan secara meluas, tambah Encik Lee, sambil menyatakan bahawa ia mengadakan taklimat, dialog, perundingan awam dan banyak lagi untuk membangunkan rancangan dengan orang ramai.

"Kami melakukan ini untuk kebanyakan rancangan utama kami," kata Encik Lee, sambil menambah bahawa Perikatan untuk Bertindak Singapura Bersama (Singapore Together Alliances for Action) - gabungan kepimpinan industri yang bekerjasama dengan pemerintah - juga membolehkan pemerintah untuk bekerjasama dengan rakyat Singapura demi menangani cabaran-cabaran bersama.

"Setiap anggota menyumbangkan perspektif dan sumber mereka, dan bersama-sama ... kita mencapai lebih daripada yang disasarkan," kata menteri itu.

Kejayaan Singapura bertunjang dengan kompak sosialnya yang kukuh, yang "mewujudkan persefahaman bersama", kata Encik Lee.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan