Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek Jalinan bawa keceriaan Ramadan kepada 30 keluarga di Boon Lay, Jurong

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 30 keluarga memerlukan di kawasan Boon Lay dan Jurong masing-masing menerima habuan bernilai S$200 pada Sabtu (23 Apr) bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri mereka.

Ia termasuk makanan beku, kuih-muih, minuman serta peralatan rumah.

Inisiatif Projek Jalinan yang masuk tahun ketiga itu dianjurkan kumpulan Persembahan Seni Variasi dengan kerjasama Thye Hua Kwan Moral Society (Volunteer@Boon Lay), Locos Brothers dan FACE Volunteers (Pekerja Hijrahan) dari Kementerian Tenaga Manusia.

Setelah dua tahun ditiadakan akibat COVID-19, jumlah penerima yang dibantu tahun ini naik enam kali ganda berbanding lima keluarga yang dibantu dua tahun lalu.

8 PEKERJA HIJRAHAN TURUN PADANG BANTU

Seramai 50 sukarelawan turun padang pada petang Sabtu untuk membantu mengagihkan habuan kepada penduduk. Mereka termasuk lapan pekerja hijrahan yang buat julung-julung kalinya menyumbang masa dan tenaga kepada usaha murni tersebut.

--

"Ini adalah peluang untuk kami mengumpul mereka (pekerja hijrahan) bersama rakyat Singapura untuk menyumbang kembali kepada masyarakat," kata Pengerusi Penganjur Projek Jalinan Encik Md Nurman Selamat.

"Maklum balas yang saya dapat daripada mereka amat tidak disangka-sangka. Pelibatan mereka dalam projek itu membuka mata mereka, kerana mereka menyangka semua warga Singapura hidup senang, tidak ada yang susah.

"Sebab itu inisiatif ini adalah untuk memberi pekerja hijrahan peluang untuk bersama masyarakat," ujar Encik Md Nurman.

Turut hadir di acara pengagihan itu ialah Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee yang juga penasihat badan akar umbi Akar Umbi RC West Coast (Boon Lay) serta Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap pembangunan negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Dr Faishal, sempat beramah mesra dengan beberapa penerima bantuan serta menyampaikan habuan Raya dan wang zakat.

--

"Pada pendapat saya ini adalah satu nilai yang kita harap diterapkan kepada semua yang terlibat dan bagaimana kita boleh menyampaikan mesej kepada masyarakat secara amnya bagaimana kita boleh sama-sama turun padang memainkan peranan masing-masing dengan satu matlamat untuk mendatangkan keceriaan kepada mereka yang memerlukan dan juga melakukan kerja-kerja kebajikan bersama," katanya merujuk kepada pelibatan relawan berbilang kaum dan agama dari pelbagai badan masyarakat untuk sama-sama bergotong-royong menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Salah seorang penerima kali pertama Projek Jalinan ialah keluarga Encik Mohamad Irwan Mohamad Ibrahim.

Beliau mengalami kurang daya penglihatan dan pelbagai masalah kesihatan seperti kegagalan buah pinggang dan kencing manis.

Bagi bapa dua anak ini, habuan yang diterima sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan mereka menjelang Hari Raya nanti.

"Rasa bersyukur sangat kerana Hari Raya nak sampai. Boleh ringankan apa-apa masalah," kata Encik Irwan.

Selain menerima habuan, lima flat turut dipilih bagi menerima sentuhan istimewa untuk menyambut lebaran.

--

40 belia dan pekerja hijrahan dari FACE menyingsing lengan membantu membersihkan rumah terbabit, mengecat selain melakukan kerja-kerja penyenggaraan pada Sabtu lalu (16 Apr).

Sumber : BERITA Mediacorp/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan