Skip to main content

Singapura

Projek 'Heart of Yew Tee' terap konsep kehidupan bersepadu; pelbagai kemudahan warga emas

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Upacara pecah tanah dijalankan bagi satu lagi projek kampung menegak di Singapura, yang dipanggil 'Heart of Yew Tee'.

Namun Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong mengakui, konsep kehidupan bersepadu seumpama itu bukan mudah untuk dibangunkan di serata Singapura dengan kawasan tanah yang terhad.

Bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin menua, pemerintah meninjau kemungkinan menambah pangsapuri yang menyediakan khidmat bantuan asas, serta sistem sokongan yang dipertingkat bagi menggalak penuaan di tempat. 

Apabila siap kelak dalam tempoh lima tahun, projek mesra warga emas di tengah-tengah estet perumahan Yew Tee itu akan terdiri daripada blok perumahan 10 tingkat dengan hampir 70 unit flat 2-bilik untuk warga emas. 

Kesemuanya habis terjual.

Ia akan disambungkan ke bangunan komersil enam tingkat yang dilengkapi ruang untuk jualan runcit serta pelbagai kemudahan jagaan kesihatan dan sosial.

Ia turut dibina dengan mengambil kira alam sekitar.

Ini termasuk pemasangan panel-panel suria serta pencahayaan bijak. Cat yang digunakan juga mampu memantul bahang cahaya matahari, bagi ruang lebih dingin untuk warga emas.   

Ia sejajar dengan visi Bandar Alam Semula Jadi, iaitu tunggak Pelan Hijau Singapura.

Semasa acara pecah tanah projek tersebut pada siang Ahad (8 Jan), Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkongsi ciri uniknya - menggabungkan pelbagai kemudahan untuk manfaat warga emas.

Namun konsep sedemikian tidak mudah diperluas ke seluruh negara, kerana kawasan tanah Singapura yang terhad.

Oleh itu, huraian alternatif diperlukan bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin menua.

Antara lain, dengan menawarkan lebih banyak perumahan untuk warga yang semakin menua.

"Penuaan di tempat tidak bermakna kekalkan 'status quo' yang ada. Sebaliknya, kita perlu fikirkan, bagaimana untuk menyegarkan semula estet perumahan kita, jadikannya lebih mesra warga emas, serta menambah sokongan untuk mereka dengan jaringan lebih luas khidmat masyarakat dan penjagaan warga emas yang mudah terjangkau dari rumah mereka," ujar Encik Wong. 

Sumber : CNA/IQ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita