Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek DIAN@M³ suntik keceriaan Lebaran kepada 20 keluarga rumah sewa

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sambutan Lebaran bagi sebanyak 20 keluarga Melayu/Islam yang menerima sokongan di bawah Projek DIAN@M³ bertambah ceria dengan pemberian hamper Hari Raya.

Keluarga-keluarga itu mempunyai anak kecil di prasekolah dan menetap di rumah sewa di salah satu kawasan perintis Projek DIAN@M³ iaitu di Bedok.

Selain baucar barangan dapur dan set pembelajaran juga permainan, mereka turut menerima kuih-muih dan baju raya.

Hamper-hamper itu diagihkan sendiri oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman yang berkunjung ke rumah mereka pada Ahad (1 Mei).

"Perjumpaan sebegini juga membolehkan kami untuk membina kepercayaan dengan keluarga-keluarga ini. Bila anda ingin mendampingi mereka, kita perlu tunjukkan kepada mereka bahawa kita benar-benar prihatin terhadap nasib mereka untuk memahami juga antara masalah dan cabaran yang dihadapi mereka," kata Dr Maliki.

Menurut Dr Maliki, bantuan Projek DIAN@M³ juga akan memberi mereka pilihan kepada bentuk-bentuk bantuan dan sumber yang tersedia dalam masyarakat untuk dimanfaatkan sepenuhnya.

"Kami sekarang bekerjasama dengan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) untuk mengadakan lawatan ke rumah. Butirannya akan diumumkan kelak. Ini bagi mendampingi keluarga-keluarga ini dengan lebih kerap untuk membawa bahan-bahan pendidikan buat anak-anak mereka," jelas Dr Maliki.

Sejak Disember tahun lalu, sekitar 160 keluarga Melayu/Islam didampingi di bawah Projek DIAN@M³ dan kebanyakan daripada keluarga itu sudah dirujukkan kepada pelbagai agensi dan pertubuhan bagi mendapatkan bantuan kewangan, pendidikan dan sosial serta pekerjaan dan perumahan.

Selain penduduk yang menetap di Bedok, penduduk di kawasan perintis Projek DIAN@M³ yang lain iaitu di Jalan Besar dan Geylang Serai juga menerima hamper Hari Raya masing-masing.

Inisiatif tersebut juga disokong di bawah inisiatif Perca-Perca MESRA oleh Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA), Persatuan Rakyat dan penaja lain termasuk Second Chance, Ayoobi Pte Ltd dan Ilham Child Care.

<p>Gambar: Projek DIAN@M3</p>
Sumber : BERITA Mediacorp/IZ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan