Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek DIAN@M³ sudah dampingi 170 keluarga Melayu/Islam di flat sewa Bedok, Geylang Serai dan Jalan Besar

Seramai 170 keluarga Melayu/Islam sudah didampingi di bawah Projek DIAN@M³ sejak ia dilancarkan pada Disember tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 170 keluarga Melayu/Islam sudah didampingi di bawah Projek DIAN@M³ sejak ia dilancarkan pada Disember tahun lalu.

Demikian didedahkan oleh Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Muhammad Faisal Abdul Manap hari ini (1 Ogos).

Encik Faisal juga bertanya jika pecahan jumlah keluarga Melayu/Islam yang didampingi di tiga blok rumah sewa dari seluruh M³@Bandar iaitu di Bedok, Geylang Serai dan Jalan Besar boleh diberikan.

Menurut Encik Lee, seramai 49 keluarga di M³@Bedok, 72 keluarga di M³@Geylang Serai dan 49 keluarga di M³@Jalan Besar.

"Bagi keluarga-keluarga yang tinggal di flat-flat sewa, memiliki rumah adalah satu perjalanan yang mengambil masa. Profil keluarga yang dibantu di bawah Projek Dian@M³ juga adalah pelbagai dan mereka berada di tahap kemajuan yang berlainan.

"Ada yang berdepan dengan cabaran lain seperti cabaran pekerjaan, isu-isu keluarga dan kesihatan.

"M³ terus bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi dan para relawan dan memanfaatkan skim-skim Pemerintah untuk menyokong keluarga ini demi meraih kestabilan, berdikari dan mobiliti sosial," kata Encik Lee lanjut dalam jawapan bertulis itu.

JUMLAH KELUARGA MELAYU DI FLAT SEWA BERPINDAH KE RUMAH SENDIRI

AP WP Muhammad Faisal Abdul Manap bertanya mengenai jumlah keluarga Melayu yang berpindah keluar dari flat sewa 1-bilik dan 2-bilik untuk memiliki rumah mereka sendiri bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

Menjawab soalan tersebut, Encik Lee
berkata sekitar 140 keluarga Melayu yang tinggal di flat sewa berjaya membeli rumah flat HDB mereka sendiri dalam tempoh itu.

Sehubungan itu antara Jun 2021 hingga Jun 2022, sekitar 70 keluarga Melayu pula melepaskan pemilikan flat HDB mereka dan berjaya memohon bagi sebuah flat sewa.

Setakat 30 Jun 2022, terdapat sekitar 17,600 keluarga Melayu yang masih tinggal di flat-flat sewa.

Untuk itu, Encik Lee berkata pihak berkuasa akan terus bekerja rapat dengan inisiatif ComLink kendalian Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan agensi-agensi sosial serta rakan-rakan kongsi masyarakat yang lain untuk memperkasakan keluarga yang tinggal di flat-flat sewa dan menyokong mereka dalam usaha mereka ke arah pemilikan rumah sendiri.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan