Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek Dian@M³ diperluaskan ke semua M³@Bandar, bantu lagi 1,000 keluarga di flat sewa: Dr Maliki

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Projek Dian@M³ akan diperluaskan ke lagi lima M³@Bandar iaitu di Marsiling-Yew Tee, Nee Soon, Pasir Ris-Punggol, Toa Payoh dan Woodlands menjelang akhir 2025.

Projek itu bertujuan untuk menyediakan sokongan menyeluruh kepada keluarga-keluarga Melayu/Islam di flat-flat sewa.

Kemas kini itu dikongsikan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) bagi Ehwal Masyarakat Islam di parlimen pada Isnin (10 Mac).

"Dengan perkembangan Projek Dian, kami akan memperluaskan program Duta Projek Dian ke semua sebelas M3@Bandar dan akan melatih 100 sukarelawan tahun ini, untuk menambah jumlah 200
sukarelawan ada setakat ini. Saya harap lebih ramai lagi akan tampil untuk menyokong usaha
murni ini, dan membantu keluarga-keluarga ini keluar dari lingkaran yang mereka hadapi sekarang," kata Dr Maliki.

Sejak projek itu dirintis pada 2021, ia sudah berjaya membantu lebih 535 keluarga merentasi enam M³@Bandar.

Jumlah itu kira-kira 70% daripada keluarga Melayu/Islam yang menetap di flat-flat sewa di kawasan tersebut.

Lebih dari separuh daripada keluarga yang dibantu mempunyai anak kecil yang meraih manfaat daripada bantuan yang disediakan untuk menangani cabaran mereka.

Di samping Projek Dian, Dr Maliki juga berkongsi bahawa inisiatif lain masyarakat dan jumlah penduduk yang terlibat juga sudah berlipat kali ganda.

"11 M³@Bandar telah menganjurkan 160 kegiatan kemasyarakatan yang disokong oleh 900 sukarelawan dan menjangkau kepada lebih 65,000 penduduk. Projek Dian adalah satu contoh bagaimana masyarakat Melayu/Islam dapat berganding bahu dengan agensi-agensi pemerintah dan sukarelawan untuk menyokong mereka yang tinggal di flat-flat sewa di M3@Bandar. Seiring dengan skim nasional seperti ComLink+, Projek Dian membantu keluarga di flat sewa awam meningkatkan kestabilan dan pendapatan mereka, dan berusaha membantu mereka dalam proses membeli dan memiliki flat sendiri," jelas Dr Maliki.
<p>Gambar: Projek DIAN@M3</p>
SUMBANGAN MASYARAKAT, PROGRAM MENTOR BAHARU SEMPENA SG60

Sempena SG60 tahun ini, Dr Maliki turut mengumumkan sebuah inisiatif baharu dinamakan program "PA MESRA 60 for 60".

"Dalam projek ini, 60 karyawan berusia 60 tahun ke atas, akan memberi bimbingan kepada 60 pemimpin pelajar Melayu/Islam dari sekolah menengah kejiranan. Inisiatif ini menggambarkan konsep membalas budi, di mana para pelajar akan menjalani kursus kepimpinan selama 6 bulan, dan mempelajari kemahiran baharu dalam bidang-bidang seperti pengurusan projek serta kemahiran berpidato," kongsi Dr Maliki.

Selain itu, bermacam lagi kegiatan dan acara-acara bagi menyambut SG60 sudah dilakarkan dengan kerjasama badan-badan Melayu/Islam, agensi pemerintah serta beberapa individu untuk dinikmati rakyat Singapura.

Sedang rakyat meraikan enam dekad kemerdekaan Singapura, Dr Maliki juga berkongsi bahawa masyarakat kini lebih peka dan sedang mempergiat usaha untuk menyumbang kepada masyarakat yang lebih luas melalui inisiatif "Aid For Gaza".

"Kami faham keinginan rakyat Singapura untuk terus membantu penduduk Gaza. Baru-baru ini, M³ bekerjasama dengan RLAF melancarkan kempen Aid for Gaza, untuk mengumpul dana untuk Gaza.
Sepanjang bulan Ramadan, sukarelawan daripada M³@Bandar akan mengumpul dana untuk Gaza melalui pelbagai inisiatif akar umbi.

"Dalam dua minggu pertama sahaja, kami berjaya mengumpul $266,000 – hampir separuh daripada sasaran kami sebanyak $600,000 bagi kempen ini. Kami harap tema sambutan SG60 - Keterhubungan, Kepedulian dan Sumbangan kepada Masyarakat, dapat kita semarakkan lagi melalui kempen ini. Saya mengalu-alukan sokongan padu masyarakat untuk menjayakannya," kata Dr Maliki.
AP GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha turut ke Masjid Al-Istighfar untuk bersama-sama jemaah dan merasmikan usaha 'Aid for Gaza' di kawasan itu. (Gambar: Syawal Yusoff)
AMANAH MENJAGA KESIHATAN

Dalam pada itu, beliau berkongsi bahawa banyak yang sudah dilakukan M³ sepanjang lima tahun untuk menangani isu-isu masyarakat, serta menyediakan bantuan yang lebih bersepadu dan disasarkan untuk mereka yang memerlukan.

"Usaha itu disokong oleh kumpulan relawan yang semakin meningkat melebihi 4,000 sukarelawan merentasi tiga agensi M³. Etos warga negara yang aktif ini telah menjadi asas kepada rangka kerja M³ dan dalam usaha pembinaan masyarakat dan negara kita," kata Dr Maliki.

Dengan itu, beliau berkongsi tiga cara bagaimana untuk terus memupuk warganegara yang aktif dalam masyarakat.

"Pertama adalah untuk memupuk gaya hidup yang sihat. Kedua, mengarahkan aset masyarakat untuk kebaikan bersama dan akhir sekali, memainkan peranan kami dengan menyumbang kepada masyarakat yang lebih luas," dedah Dr Maliki.

Dengan itu beliau mendedahkan bahawa lebih ramai daripada masyarakat Melayu/Islam melibatkan diri dalam program kesihatan masyarakat tahun lepas.

"Kami telah memperluaskan inisiatif Saham Kesihatan ke semua sebelas bandar M³ dan melibatkan lebih 800 individu pada 2024, berbanding hanya 500 lebih individu pada 2023.

"Rangkaian Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) juga telah berkembang, daripada 100 anggota pada 2023 kepada lebih 160 anggota tahun lalu. Peserta JKJU pun bertambah daripada lebih 40,000 peserta pada 2023, kepada hampir 70,000 peserta tahun lalu. Para peserta dapat meraih manfaat program-program JKJU seperti sesi senaman, ceramah kesihatan, dan pengedaran barangan dapur yang lebih sihat," kongsi Dr Maliki.

Jumlah individu yang mengambil bahagian dalam program nasional seperti SG Lebih Sihat atau HealthierSG juga meningkat 30 peratus pada Mei 202 4 kepada 45 peratus pada Februari 2025.

Dr Maliki juga berkongsi beberapa perkembangan positif berkaitan kadar kesihatan masyarakat.

"Individu Melayu yang berjaya melakukan kegiatan jasmani yang mencukupi, telah meningkat daripada 76 peratus pada 2021, kepada 80 peratus pada 2023. Kegiatan jasmani yang dimaksudkan di sini adalah sekurang-kurangnya 150 minit kegiatan jasmani berintensiti sederhana setiap minggu, termasuk rutin harian seperti kerja rumah dan menaiki tangga berbanding menggunakan lif," kongsi Dr Maliki.

Pun begitu, lebih banyak yang boleh dilakukan kata Dr Maliki untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dalam usaha hidup lebih sihat.

Beliau turut menekankan bahawa usaha untuk mencegah penyakit kronik dalam masyarakat Melayu/Islam harus dipertingkat dan meningkatkan kadar pemeriksaan kesihatan mereka.
Para peserta Saham Kesihatan di Masjid Assyafaah. (Gambar: Masjid Assyafaah)
"Kadar kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi dalam masyarakat Melayu/Islam, masih kekal lebih tinggi berbanding purata nasional. Kadar penyertaan masyarakat Melayu/Islam dalam pemeriksaan penyakit kronik masih boleh diperbaiki – hanya 53 peratus orang Melayu berumur 40 hingga 74 tahun menjalani pemeriksaan penyakit kronik pada 2023. Ini jauh lebih rendah berbanding purata nasional sebanyak 63 peratus," kongsi Dr Maliki.

Beliau berharap masyarakat Melayu/Islam akan terus menjaga kesihatan demi keluarga, masyarakat dan negara untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Dr Maliki berharap semangat kewarganegaraan dapat terus dipupuk masyarakat untuk maju bersama sebagai sebuah Masyarakat Gemilang untuk 60 tahun akan datang dan seterusnya.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan