Skip to main content

Singapura

Projek Dian@M³ di Pasir Ris-Punggol akan sokong 40 keluarga Melayu/Islam

Projek Dian@M³ akan diperluaskan ke kawasan Pasir Ris-Punggol, dengan matlamat membantu kira-kira 40 keluarga Melayu/Islam menjelang akhir tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Projek Dian@M³ akan diperluaskan ke kawasan Pasir Ris-Punggol, dengan matlamat membantu kira-kira 40 keluarga Melayu/Islam menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi M³@Pasir Ris-Punggol, Encik Azuan Tan, berkongsi rancangan itu dalam satu wawancara bersama wartawan Nurhelmy Hakim.

"Kami mempunyai jaringan yang kukuh dengan pelbagai inisiatif komuniti dan platform kerajaan yang menyediakan sokongan menyeluruh kepada mereka yang memerlukan. Pendekatan yang kami ambil adalah (secara) holistik merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk bantuan kewangan, pendidikan melalui pelbagai program sokongan masyarakat," kata Encik Azuan.

Pasir Ris-Punggol merupakan salah satu daripada lima kawasan M³@Bandar yang terpilih untuk peluasan Projek Dian@M³.

Antara kawasan lain yang turut terlibat ialah Marsiling-Yew Tee, Nee Soon, Toa Payoh, dan Woodlands.

Inisiatif ini disasarkan untuk memberi manfaat kepada 1,000 keluarga yang menetap di flat sewa.

"Dengan adanya Projek Dian, usaha ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan menyeluruh. Harapan saya adalah untuk melihat lebih ramai relawan dari bandar kami tampil ke hadapan untuk menjadi 'befrienders' dalam Projek Dian, dengan gabungan usaha antara sokongan masyarakat dan pendekatan berfokus dalam projek ini," tambah beliau lagi.

KELUARGA AKAN FAHAMI SUMBER SOKONGAN DENGAN LEBIH BAIK LAGI

Sebagai permulaan, Projek Dian@M³ di Pasir Ris-Punggol akan dilaksanakan di Blok 476A Pasir Ris Drive 6.

"Ramai keluarga di sana yang tinggal di dalam unit sewa. Ada beberapa keluarga muda, ada juga yang mempunyai anak-anak kecil dan kurang berpendapatan," jelas beliau tentang demografi keluarga-keluarga di blok itu.

Dengan adanya Projek Dian@M³ di kawasannya, Encik Azuan merasakan ia akan dapat membantu keluarga-keluarga penerima bantuan memahami sumber sokongan yang ada dengan lebih baik lagi.

"Ada beberapa keluarga yang sebenarnya tidak tahu jenis sokongan yang ada. Sebenarnya ada banyak inisiatif yang boleh mereka manfaatkan dan mendapat sokongan. Jadi saya lihat Projek Dian akan dapat menangani cabaran itu. Program itu akan lebih menyelaras dan dapat mengembangkan akses dan sokongan untuk keluarga-keluarga," jelas beliau.

LATIHAN TIMBA KEMAHIRAN TAMBAHAN UNTUK RELAWAN

Untuk memastikan Projek Dian@M³ di Pasir Ris-Punggol berjalan lancar, Encik Azuan menegaskan bahawa para relawan perlu menjalani latihan yang mencukupi.

Ia bagi memastikan mereka dapat mengasah kemahiran untuk mendekati keluarga-keluarga yang menghadapi pelbagai jenis cabaran.

Encik Azuan berkata: "Saya sangka bahawa para relawan yang akan menyumbang kepada Projek Dian adalah mereka daripada kumpulan relawan yang sedia ada yang membuat lawatan rumah ke rumah atau mereka yang selalu membuat kerja-kerja kemasyarakatan di Pasir Ris dan Punggol. Ramai daripada mereka lebih mengenali jiran jiran mereka. Saya rasa para relawan yang sebegini penting dalam untuk mendapatkan sukses dalam projek itu.

"Kami akan mulakan dengan sekumpulan 10 relawan. Setiap relawan boleh menyokong kira-kira dua atau tiga keluarga. Dengan latihan-latihan yang akan mereka lalui untuk mendapat maklumat tentang Projek Dian dan inisiatif-inisiatifnya, mereka akan lebih memahami peranan mereka sebagai seorang 'befriender' untuk menyokong keluarga keluarga sebegini," tambah beliau lagi.

Latihan yang akan dilalui para relawan itu akan dikendalikan oleh Pejabat Penyelarasan Pelibatan Masyarakat M³ (ECO).

PUAS HATI LIHAT PERUBAHAN POSITIF KELUARGA-KELUARGA DI FLAT SEWA

Seorang relawan yang sudah giat aktif dalam Projek Dian@M³ di Tampines ialah Encik Deddy Zulkarnain Kelane.

Selama dua tahun bergiat aktif sebagai relawan, beliau menyaksikan bagaimana keluarga yang menerima bimbingan dapat memperbaiki keadaan mereka.

"Saya dapat melihat perubahan positif dengan keluarga-keluarga yang kami bantu. Matlamat terakhir adalah untuk mereka keluar daripada rumah sewa dan menjadi pemilik rumah sendiri," kata Encik Deddy.

Beliau menekankan bahawa Projek Dian bukan sekadar memberikan bantuan asas, tetapi juga membantu keluarga membangun dari segi sosial, kestabilan kewangan, dan pendidikan anak-anak mereka.

"Projek Dian ini sangat istimewa sebab kami bimbing keluarga ini untuk memperbaiki diri secara sosial serta untuk kestabilan kewangan dan pendidikan anak-anak mereka. Ada di kalangan mereka yang tidak tahu pelbagai inisiatif di luar sana. Jadi kami memberi mereka pendedahan kepada inisiatif ini," tambah beliau.

Dengan peluasan Projek Dian@M³ ke lebih banyak kawasan di bawah M³@Bandar, Encik Deddy turut memanfaatkan peluang untuk berkongsi pengalamannya dan membimbing relawan baharu. Ini bagi membantu mereka memahami dengan lebih mendalam kepentingan kerja kemasyarakatan di bawah inisiatif tersebut.

Encik Deddy berkata: "Kami harus tahu yang bukan setiap keluarga akan terbuka untuk menerima bantuan. Ada juga isu-isu yang sensitif seperti kewangan dan selalunya yang kami tak boleh bincang secara terbuka. Kalau mereka belum lagi selesa dengan kita, kita harus cuba mendekatkan diri."

Beliau turut berharap lebih ramai relawan akan tampil menyertai inisiatif ini agar lebih banyak keluarga dapat dibantu.

"Apa yang kita lakukan sebenarnya bermanfaat dan ada juga golongan yang ingin menerima bantuan kami. Apabila kita di dalam kehidupan diri masing-masing, kita tidak terdedah kepada kesusahan keluarga-keluarga ini. Saya harap lebih banyak keluarga akan mendapat bantuan dan lebih ramai lagi sukarelawan akan tampil ke hadapan. Dengan itu, harap-harap lebih ramai keluarga di rumah sewa akan menjadi pemilik rumah," kata Encik Deddy.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita