Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek DIAN@M³ dilancarkan dan dirintis di 3 blok sewa di Bedok, Geylang Serai dan Jalan Besar

Sebagai permulaan, satu blok sewa di setiap M³@Bandar akan disertakan dalam projek perintis tersebut. Sejauh ini, lebih 200 relawan sudah menyertai usaha tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha membantu lebih ramai keluarga Melayu/Islam yang tinggal di rumah sewa memiliki rumah sendiri, Projek DIAN@M³ dilancarkan secara rasmi pada Ahad (5 Dis).

Projek yang akan dirintis di tiga M³@Bandar iaitu Bedok, Geylang Serai dan Jalan Besar masih memerlukan lebih ramai relawan untuk menjayakannya.

Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman mengumumkan demikian di sesi bengkel latihan bagi para sukarelawan anjuran Pejabat Penyelarasan Pelibatan Masyarakat M³ (ECO) hari ini (5 Dis).

PEJABAT ECO ANJUR BENGKEL LATIHAN LAWATAN KE RUMAH BAGI RELAWAN PROJEK DIAN@M³

Bengkel latihan lawatan ke rumah itu antara lain mahu meningkatkan kecekapan dan keyakinan para sukarelawan dalam mendekati keluarga-keluarga berisiko.

Bengkel tersebut dikendalikan bagi para relawan yang melibatkan diri dalam Projek DIAN@M³ dengan berkongsi kemahiran serta pengetahuan untuk menjalankan lawatan ke rumah.

Di bawah rangka kerja latihan itu, para relawan akan menjalani tiga bengkel secara keseluruhannya.

Sejauh ini, sekitar 75 relawan sudah menjalani bengkel tersebut.

Salah seorang peserta, Encik Abdul Rasid Koya Kutty, 45 tahun berkata: "Saya fahami bagaimana kita, cara-cara untuk memulakan perbualan, berbual dengan mereka, serta memahami dengan lebih mendalam pelbagai keluarga dengan keperluan berbeza. Jadi saya juga boleh menjadi sukarelawan serta kawan kepada para penduduk."

Relawan dari M³@ Geylang Serai, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Marine Parade itu juga akur bahawa setiap perkara kecil yang dilakukan seseorang relawan itu mampu membantu masyarakat dengan kesan lebih besar.

Encik Rasid yang juga bekerja sebagai Jurutera Audio-Visual mengambil peluang menyertai bengkel tersebut untuk pelajari juga daripada mereka yang lebih berpengalaman demi menjadi rangkaian yang kukuh untuk keluarga yang memerlukan.

Bagi Cik Norsharifah Omar, 43 tahun, beliau berharap bahawa pelibatannya sebagai relawan akan dapat memberi manfaat kepada keluarga-keluarga berisiko.

"Harapan saya adalah untuk mereka melihat bagaimana mereka sendiri boleh berfikir untuk menaik taraf kehidupan mereka dan menilai sendiri serta melihat bagaimana mereka boleh maju ke hadapan," jelas Cik Norsharifah yang juga seorang relawan di M³@Tampines.

DR MALIKI: PROJEK DIAN@M³ DIHARAP DAPAT BERI HARAPAN BARU KEPADA KELUARGA YANG DIBANTU

Di acara penyampaian sijil penyertaan kepada para sukarelawan, Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar Dr Maliki Osman turut mengumumkan pelancaran Projek DIAN@M³ yang dirintis di tiga M³@Bandar.

Dr Maliki Osman di bengkel M³ pada 5 Dis 2021 (Gambar: Persatuan Rakyat)

Dr Maliki Osman di bengkel M³ pada 5 Dis 2021 (Gambar: Persatuan Rakyat)

"Kita juga sudah mengenal pasti satu blok sewa di bandar-bandar ini. Ini akan memberi kami pengalaman bagaimana kita boleh mendekati keluarga-keluarga di flat-flat sewa. Kami mendapati keluarga-keluarga ini mempunyai struktur yang berbeza. Ada yang muda, mempunyai anak kecil, ada yang mempunyai anak lebih dewasa, ada juga yang warga senja. Dan kami akan membantu mereka secara menyeluruh,"jelas Dr Maliki.

Ketiga-tiga blok itu adalah Blok 38 di Bedok South Road (M³@Bedok), Blok 1 di Eunos Crescent (M³@Geylang Serai) dan Blok 19 di Upper Boon Keng Road (M³@Jalan Besar).

Dr Maliki berharap bahawa bantuan yang akan dihulurkan kepada keluarga-keluarga di bawah Projek DIAN@M³ akan dapat "memberi mereka visi baru dan harapan baru untuk terus berjaya dan melangkah ke hadapan".

Usaha Projek DIAN@M³ juga melibatkan Pejabat ECO yang akan menyediakan sokongan menerusi perkongsian sumber serta menyelaras proses pengurusan relawan.

"Pejabat koordinasi ini akan membantu para sukarelawan kita untuk melihat bagaimana koordinasi ini boleh dilakukan untuk memberi bantuan secara menyeluruh kepada semua keluarga yang memerlukan."

"Salah satu aspek apa yang kita lakukan dalam M³ adalah untuk memastikan setiap bandar M³ mempunyai struktur di mana para sukarelawan akan disokong dan dibantu dalam mendekati penduduk untuk bantuan dan sebagainya," tambahnya.

LEBIH RAMAI RELAWAN DIPERLUKAN

Sehingga kini, Projek DIAN@M³ mempunyai lebih 200 sukarelawan secara keseluruhan.

Namun menurut Dr Maliki, lebih ramai sukarelawan diperlukan bagi menjayakan projek perintis tersebut.

"Setiap keluarga perlu mempunyai sukarelawan peribadi supaya mereka akan mencapai satu tahap kepercayaan. Yang penting dalam hubungan antara sukarelawan dan mereka yang dibantu adalah pertalian yang begitu boleh dipercayai antara satu sama lain dan ini memakan masa." kata Dr Maliki.

"Apa yang kita inginkan adalah setiap anggota masyarakat kita boleh dibantu mencapai tahap selanjutnya," tambahnya lagi.

Sejak awal tahun ini, sekitar 80 relawan baru menyertai usaha itu di ketiga-tiga M³@Bandar perintis. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan