Projek DIAN@M³ akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini
Satu daya usaha baru dipanggil Projek DIAN@M³, yang bertujuan membantu keluarga-keluarga Melayu keluar dari rumah sewa dan memiliki rumah sendiri, dijangka akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.
SINGAPURA: Satu daya usaha baru dipanggil Projek DIAN@M³, yang bertujuan membantu keluarga-keluarga Melayu keluar dari rumah sewa dan memiliki rumah sendiri, dijangka akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.
Ini setelah data terkini Banci Penduduk 2020 mendapati bahawa sekitar 18,600 isi rumah penduduk Melayu tinggal di rumah sewa. Bilangan itu pertambahan lebih 100% berbanding sekitar 9,100 pada tahun 2010.
Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman, mendedahkan garis masa tersebut semasa satu wawancara bersama BERITAmediacorp pada Sabtu (19 Jun).
Menurut beliau, menjelang pelancaran projek itu, "daripada sekarang hingga bulan September, kita akan meneliti apakah profil para penduduk Melayu/Islam kita di flat-flat sewa. Apa yang sudahpun diadakan dan apa yang harus dilakukan untuk mengemaskini sokongan yang diberikan kepada mereka".
KELUARGA RUMAH SEWA AKAN MENERIMA BANTUAN MENERUSI PELBAGAI BIDANG
Mengulas lebih lanjut ciri pelaksanaan Projek DIAN@M³ itu, Dr maliki berkata bantuan kepada keluarga di flat sewa dilakukan menerusi pelbagai bidang-bidang.
"Pertama ialah, sokongan dari segi pendapatan mereka, daripada segi ekonomi keluarga mereka. Kita mahu memastikan bahawa mereka dapat menstabilkan atau memantapkan ekonomi keluarga mereka," kata beliau.
Dr Maliki menambah bahawa sesebuah keluarga juga akan disokong dari segi pendidikan kanak-kanak.
Menurutnya, pendidikan merupakan "tunggak utama pertama" lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang lebih kecil yang masih bersekolah.
Kemudian, satu lagi aspek bantuan ialah dari segi kesihatan.
"Kerana kita tahu jika mereka mempunyai cabaran kesihatan, mereka akan mempunyai masalah dari segi mempunyai pendapatan ataupun mencari pekerjaan yang lebih stabil. Dan keempat ialah sokongan sosial," tambah Dr Maliki.
Dr Maliki menjelaskan lagi aspek bantuan seterusnya bagi sesebuah keluarga ialah sokongan sosial.
"Sokongan sosial dari segi memperkukuhkan keluarga mereka, memastikan perkahwinan mereka lebih mantap dan ini akan memberi suasana ataupun persekitaran yang lebih stabil untuk anak-anak mereka membesar, memastikan bahawa potensi anak-anak mereka juga akan dapat kita menggilapkan lebih baik lagi," jelas beliau.
Dr Maliki turut memberi contoh bagaimana keluarga-keluarga dengan para ibu yang tidak bekerja akan menerima sokongan.
"Pendapatan keluarga masih berkurangan kerana kita tahu ramai di antara mereka di mana kaum ibu tidak keluar bekerja. Lantas, kami melihat ini salah satu cara untuk meningkatkan sumber, membantu para ibu, untuk keluar bekerja semula dan dengan itu mereka mungkin mempunyai cabaran dari segi penjagaan anak-anak mereka.
"Jadi kalau mereka mempunyai anak-anak kecil, kita akan membantu mereka memastikan anak-anak mereka mendapat tempat di pusat-pusat tajaka. Dan kita bersedia untuk memberi subsidi kepada mereka supaya anak-anak mereka akan dapat dihantar ke pusat-pusat tajaka pada usia lebih muda lagi," ujar Dr Maliki.
POTENSI KELUARGA DI RUMAH SEWA BOLEH DIPERTINGKAT
Dengan cara komprehensif itu kata Dr Maliki, sesebuah keluarga di rumah sewa bukan sahaja akan lebih mampu menjadi pemilik flat sendiri, malah lebih daripada itu.
"Mengapakah kita mempunyai misi tersebut? Kerana kita tahu, sebagai pemilik flat, mereka boleh meningkatkan harga diri mereka, mereka boleh beri masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak mereka, dan kita tahu bahawa nilai aset flat mereka itu akan boleh ditingkatkan dan dengan itu kita boleh menggunakan peningkatan nilai aset tersebut pada masa hadapan," tekan Dr Maliki.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.