Skip to main content

Singapura

Projek Dian bawa perubahan positif kepada 500 keluarga termasuk 200 keluarga muda dengan anak kecil

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Projek Dian, yang membantu keluarga kurang berkemampuan, berjaya mendekati lebih daripada 500 keluarga Melayu/Islam sejak diperluaskan kepada enam bandar M³.

Semua keluarga yang dikenal pasti telah dipadankan dengan sukarelawan yang dilatih untuk memahami keperluan mereka dan menghubungkan mereka dengan sumber-sumber masyarakat yang sesuai.

Mereka termasuk 200 keluarga muda yang mempunyai anak-anak yang berusia enam tahun ke bawah yang tinggal di flat sewa.

“Semua 500 (keluarga) itu telahpun dipadankan dengan sukarelawan kita. Peranan sukarelawan kita, seperti kita tahu, ialah mendekati mereka, memahami apakah keperluan mereka, dan memadankan mereka dengan sumber-sumber yang kini terdapat di pihak masyarakat supaya keperluan mereka dapat ditangani dan kita akan dapat terus membantu mereka,” kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman.

Dr Maliki memberikan kemas kini itu di samping acara masyarakat di Blok 113 Bedok North Street 2 pada petang Sabtu ( 12 Jan).

Acara tersebut, yang dianjurkan oleh M³@Bedok dengan kerjasama Jawatankuasa Eksekutif Aktiviti Melayu Fengshan (MAEC) dan MEMBINA Community (Ltd.) dihadiri kira-kira 500 penduduk.

Pelbagai kegiatan menarik yang merangkumi aktiviti seni dan kraf untuk mempromosikan kreativiti dan kesejahteraan, kesejahteraan kesihatan, zon permainan kanak-kanak, serta sudut khas bagi penduduk memberikan maklum balas disediakan.

BAWA PERUBAHAN POSITIF KEPADA KELUARGA YANG DIBANTU

Projek Dian terus membuktikan keberkesanannya dengan membawa perubahan yang ketara kepada keluarga-keluarga yang menerima bantuan.

Dr Maliki berkata bahawa projek itu telah berjaya mengenal pasti keperluan keluarga yang dibantu dan menyediakan sumber yang sesuai untuk menangani cabaran mereka.

“Perhatian Projek Dian ialah bagaimana sukarelawan kita akan dapat mengenal pasti, mengenali keperluan mereka dan membantu mereka, membantu mereka untuk mendapat sumber-sumber yang mereka perlukan untuk menangani cabaran-cabaran mereka,” katanya.

Salah satu kesan utama projek itu adalah hubungan erat yang terjalin antara keluarga dan para sukarelawan.

“Mereka mempunyai rakan yang dapat mereka hubungi apabila mereka menghadapi masalah,” tambah beliau.

TUMPUAN KEPADA KELUARGA MUDA DENGAN ANAK-ANAK KECIL
 
Selain itu, perhatian khusus diberikan kepada keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.

“Hari ini kita telah pun mendekati 200 keluarga muda yang mempunyai anak-anak yang berusia enam tahun ke bawah yang tinggal di flat sewa di estet-estet HDB, dan kesemua 200 keluarga ini telah pun dipadankan dengan duta-duta Projek Dian,” jelas Dr Maliki.

Duta-duta, jelas Dr Maliki, memainkan peranan penting sebagai pembimbing dan rakan sokongan kepada ibu bapa muda.

“Tujuan utama ialah untuk mereka menunjukkan contoh bagaimana anak-anak mereka boleh diasuh menerusi cara-cara duta-duta kita mendekati mereka, membaca kepada mereka, memainkan mainan-mainan ataupun cara-cara yang dapat menarik perhatian anak-anak mereka. Dengan itu, kita harap bahawa ibu bapa muda ini dapat memanfaatkan kemahiran-kemahiran baru yang mereka lihat menerusi duta-duta kita,” katanya lagi.

SOKONGAN DALAM SITUASI KECEMASAN

Dr Maliki turut melahirkan rasa bangga terhadap peranan penting yang dimainkan oleh para duta dalam menyokong keluarga yang menghadapi cabaran mendadak.

“Saya begitu bangga melihat ramai di antara duta-duta kita yang memainkan peranan begitu baik sekali. Kita juga bukan sahaja menonjolkan atau menjadi contoh utama, tapi mereka merupakan rakan pertama di mana keluarga akan mendekati mereka. Saya mendengar contoh-contoh di mana keluarga ini menghadapi situasi cemas. Mereka perlukan bantuan yang begitu mendadak sekali. Orang pertama yang mereka hubungi adalah duta-duta kita,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa duta-duta ini dilatih untuk memberikan respons yang pantas dan terbaik, memastikan keluarga mendapat kestabilan yang diperlukan dalam menghadapi cabaran mereka.

“Jadi, apa yang mereka tahu ialah kali ini duta-duta kita dapat memberi mereka kestabilan yang diperlukan jika mereka perlu apa-apa sokongan untuk menghadapi cabaran mereka,” jelasnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita