Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek cegah denggi guna nyamuk Wolbachia tunjuk 'hasil memberangsangkan'; dilanjutkan ke bandar HDB Tampines, Yishun

Satu projek untuk memerangi denggi dengan melepaskan nyamuk yang dibiak khas akan diperluaskan untuk meliputi seluruh bandar HDB Yishun dan Tampines mulai Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Jul 2020 05:38PM Dikemas Kini : 17 Jul 2020 09:05PM

SINGAPURA: Satu projek untuk memerangi denggi dengan melepaskan nyamuk yang dibiak khas akan diperluaskan untuk meliputi seluruh bandar HDB Yishun dan Tampines mulai Julai. Ia membentuk sekitar 15 peratus blok HDB di Singapura, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumat (17 Jul).

Fasa itu akan secara bertahap-tahap meliputi 1,455 blok HDB di kedua-dua bandar tersebut menjelang Mac 2022 dan ia adalah sebahagian daripada Projek Wolbachia – Singapura.

NEA menjalankan kajian lapangan berfasa sejak 2016, untuk menilai penggunaan nyamuk Wolbachia-Aedes jantan bagi mencegah nyamuk Aedes aegypti bandar - vektor utama virus-virus denggi, chikungunya dan Zika di Singapura.

Apabila nyamuk Wolbachia-Aedes jantan dibebaskan untuk mengawan dengan nyamuk Aedes aegypti betina, telur yang dihasilkan tidak menetas.

"Lama-kelamaan, pelepasan nyamuk Wolbachia-Aedes jantan yang berterusan diharapkan dapat mengurangkan secara beransur-ansur jumlah nyamuk Aedes aegypti bandar sehingga mengurangkan risiko penularan denggi di tapak-tapak ia dilepaskan," jelas NEA.

Bagi kawasan Yishun dan Tampines, Fasa 4 kajian lapangan bermula pada November 2019 dengan masing-masing meliputi 293 dan 260 blok. Ia menyaksikan perubahan ketara pada jumlah nyamuk, menurut NEA, yang menggambarkan keputusan tersebut sebagai "menggalakkan".

"Di kawasan pelepasan di mana jumlah nyamuk Aedes aegypti bandar adalah tinggi (sehingga 20 hingga 30 nyamuk ditangkap bagi setiap 100 Gravitrap seminggu), jumlah nyamuk telah merosot secara mendadak menjelang Mei 2020 kepada sehingga dua nyamuk yang ditangkap bagi setiap 100 Gravitrap seminggi di sesetengah kawasan.

“Risiko penularan denggi juga lebih rendah sejajar jumlah rendah nyamuk Aedes aegypti ini."

Analisis awal NEA juga menunjukkan bahawa pada 2019, kes denggi di tapak-tapak kajian Yishun dan Tampines juga berkurangan 65 hingga 80 peratus berbanding kawasan tanpa pelepasan nyamuk berkenaan.

(Gambar: NEA)

(Gambar: NEA)

(Gambar: NEA)

(Gambar: NEA)

“Dengan pelepasan itu, penduduk mungkin perasan lebih banyak nyamuk yang tidak menggigit di sekitar perumahan mereka," kata Profesor Madya Ng Lee Ching, Pengarah Institut Kesihatan Persekitaran NEA.

"Walaupun ini adalah sesuatu yang tidak biasa kita alami di Singapura, data menunjukkan manfaat yang jelas bagi penduduk di lokasi pelepasan. Nyamuk denggi betina yang lebih sedikit bermakna semakin kurang gigitan nyamuk Aedes dan kurang denggi."

ADAKAH STRATEGI INI AKAN BERJAYA?

Dengan sokongan Panel Penasihat Pakar Denggi (DEAP), NEA secara beransur-ansur akan mengembangkan pelepasan nyamuk Wolbachia-Aedes jantan ke 686 blok di Yishun serta 769 blok di Tampines.

Fasa 5 kajian lapangan di Yishun akan bermula pada 27 Jul dan di Tampines pula pada 11 Ogos. Ia dijangka meliputi seluruh bandar itu menjelang Mac 2022.

“Berdasarkan kajian awal luas yang dijalankan oleh NEA, saya sangat mengharapkan peningkatan ini akan berjaya.

"Sekiranya berjaya, pelancaran di Yishun dan Tampines akan menjadi bukti yang sangat besar pengaruhnya kepada dunia bahawa pelepasan nyamuk Wolbachia-Aedes jantan dapat digunakan untuk membantu mengawal denggi di kota-kota yang tinggi tahap endemik," kata Profesor Duane Gubler, Pengerusi DEAP dan Profesor Emeritus di Sekolah Perubatan Duke-NUS, Singapura.

BUKAN HURAIAN MUDAH KEPADA MASALAH RUMIT

Bagaimanapun, sekalipun projek itu "terus menunjukkan hasil baik dalam mengekalkan jumlah nyamuk Aedes aegypti yang rendah, NEA memberi amaran teknologi tersebut "bukan huraian mudah kepada masalah rumit".

"Pelepasan nyamuk Wolbachia-Aedes kini hanya dijalankan di beberapa kejiranan," menurut agensi itu.

“Ia bertujuan untuk melengkapi - bukan menggantikan - langkah kawalan vektor tradisional seperti pengawasan nyamuk secara menyeluruh, mengurungkan tempat pembiakan nyamuk dan penggunaan racun serangga jika perlu," jelasnya lanjut.

Sejauh ini, jumlah kes denggi di Singapura bagi 2020 sudahpun melepasi keseluruhan kes yang dicatat pada tahun 2019, berdasarkan data NEA pada Selasa.

Sejumlah 1,678 kes denggi dilaporkan di Singapura minggu lalu sekali gus menjadikannya minggu kelima berturut-turut di mana bilangan kes mingguan melepasi 1,000.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan