Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek BTO terbesar di Tengah bakal dilancarkan pada 30 Mei, dekat tapak Sekolah Rendah ACS

Anggaran Waktu Membaca:
Projek BTO terbesar di Tengah bakal dilancarkan pada 30 Mei, dekat tapak Sekolah Rendah ACS

Parc Meadow @ Tengah. (Gambar: HDB)

SINGAPURA: Projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang akan dilancarkan pada 30 Mei - termasuk dua projek di Tengah yang terletak berhampiran Sekolah Rendah Anglo-Chinese (ACS) yang bakal berpindah.

Projek Parc Meadow dengan sekitar 1,980 unit itu dan kira-kira 970 unit projek Plantation Verge akan membentuk lebih separuh daripada 5,500 unit yang bakal dilancarkan Mei ini, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Ahad (28 Mei).

Tempoh menunggu bagi Park Meadow @ Tengah yang terletak di kawasan Park District ialah sekitar tiga tahun, iaitu tempoh paling singkat dalam kalangan projek yang dilancarkan. Ia akan merangkumi 15 blok kediaman, masing-masing setinggi 12 hingga 13 tingkat.

"Selain sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi sedia ada di sekitar bandar Tengah, sekolah-sekolah baru juga akan dibina di bandar tersebut," kata HDB.

"Ini termasuk Sekolah Rendah ACS yang terletak kira-kira satu kilometer dari Park Meadow @ Tengah apabila ia berpindah pada 2030 nanti."
Sementara itu, Plantation Verge yang terletak dalam kawasan Plantation District, akan mempunyai tempoh menunggu sekitar 3.5 tahun dan merangkumi tujuh blok kediaman, masing-masing setinggi 14 hingga 18 tingkat.

Kedua-dua projek Tengah itu akan menawarkan pilihan flat Flexi dua bilik hingga lima bilik, menurut HDB.

Tambah lembaga itu, flat lima bilik akan membentuk kira-kira sepertiga unit yang ditawarkan.

"Termasuk kedua-dua projek ini, lebih 21,000 flat ditawarkan dalam 20 projek BTO di Tengah sejak projek pertama BTO dilancarkan - Plantation Grove pada November 2018," menurut HDB.

"Ia membentuk 70 peratus daripada sekitar 30,000 flat HDB yang dirancang di bandar Tengah."

HDB menarik perhatian, lebih daripada 70 projek yang sedang dibina di Tengah mempunyai tempoh menunggu selama empat tahun atau lebih singkat, termasuk kira-kira 6,200 flat, dengan tempoh menunggu lebih singkat kurang tiga tahun apabila dilancarkan.

Flat-flat baru yang dilancarkan di Tengah adalah sebahagian usaha meluas untuk mempercepatkan pembinaan demi memenuhi keperluan perumahan rakyat Singapura, menurut HDB.

Ia berada dalam landasan untuk menawarkan sehingga 23,000 flat baru pada 2023 - dan secara keseluruhannya mencapai sasaran 100,000 flat baru antara 2021 hingga 2025.

HDB menekankan, ia "komited untuk memastikan perumahan awam kekal dalam kemampuan ramai, sekali gus membolehkan rakyat Singapura mencapai impian mereka unutk memiliki rumah sendiri."
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan