Skip to main content

Singapura

Projek bersepadu di Stesen Bukit Chagar di bawah RTS Johor Bahru-SG mungkin dorong projek serupa

Anggaran Waktu Membaca:
Projek bersepadu di Stesen Bukit Chagar di bawah RTS Johor Bahru-SG mungkin dorong projek serupa

(Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 22 Feb 2025 08:00AM Dikemas Kini : 22 Feb 2025 08:07AM
SINGAPURA/JOHOR BAHRU: Lebih banyak pembangunan bersepadu boleh dijangkakan di kawasan-kawasan yang padat penduduk di Johor Bahru seperti Mount Austin dan Tebrau, berikutan berita bahawa bangunan pelbagai guna akan dibina bersebelahan dengan Stesen Bukit Chagar di bawah projek RTS Johor Bahru-Singapura.

Projek sedemikian mungkin berjaya seperti projek-projek di Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan kejiranan di Singapura, tetapi pihak berkuasa tempatan harus memastikan sewa runcit tidak meningkat di luar kemampuan perniagaan-perniagaan lebih kecil, kata para penganalisis.

Mereka berpendapat sedemikian menyusuli pengumuman Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke bulan ini bahawa bangunan bernilai AS$582 juta itu akan dibina bersebelahan dengan Stesen Bukit Chagar.

Projek seluas 1.71 hektar (17,100 meter persegi) itu akan menempatkan apartmen, pusat beli-belah dan tempat letak kereta. Ia akan disepadukan dengan kompleks imigresen Johor Bahru dan dibina dalam tempoh kira-kira lapan tahun.

Pembangunan bersepadu Bukit Chagar boleh merangsang projek-projek serupa yang ditempatkan bersama dengan perkhidmatan pengangkutan lain di Johor Bahru seperti rangkaian bas-trem masa depan yang diberi nama ART, dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi, kata para pemerhati.

“Dengan Johor terus berkembang, anda tidak boleh menolak bahawa (negeri itu) akan mendakapi model (bersepadu) yang terbukti berkesan dan sangat baik di negara jiran Singapura,” kata Imran Qureshi, pengarah pemasaran ERA Realty Network di Singapura.

Di Singapura, stesen-stesen MRT yang disepadukan dengan bangunan kediaman dan runcit termasuk Punggol, Tampines, Sengkang, Bedok dan Boon Lay.

Bersetuju dengan Imran, Siva Shanker, ketua eksekutif agensi hartanah di firma perundingan hartanah Rahim & Co, memberitahu Mediacorp bahawa projek Bukit Chagar boleh menjadi "pemangkin" untuk pembangunan bersepadu lain yang ditempatkan berhampiran stesen pengangkutan.

Pembangunan bersepadu di Malaysia merujuk kepada projek pelbagai guna yang menggabungkan ruang kediaman, komersial dan rekreasi, biasanya dalam jarak berjalan kaki yang singkat atau dihubungkan dengan nadi pengangkutan awam seperti pusat pertukaran bas atau stesen kereta api.

Pembangunan seperti ini popular di Kuala Lumpur, seperti yang dilihat pada Tun Razak Exchange (TRX), kawasan sekitar KLCC dan KL Sentral.

Kawasan itu merupakan hab beli-belah dan hiburan utama KLCC, dengan pejabat premium, kediaman, hotel dan pusat beli-belah mewah disambungkan dengan sistem MRT.

Di KL Sentral, menara pejabat, hotel, pusat beli-belah dan hartanah kediaman dihubungkan dengan infrastruktur rel utama termasuk KLIA Express, salah satu cara terpantas untuk perjalanan antara Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan pusat bandar.

Di Singapura, konsep penggunaan bersepadu telah diterima pakai selama bertahun-tahun, terutamanya di bahagian tengah Singapura. Bulan ini, previu ParkTown Residence, sebuah kondominium yang akan dihubungkan dengan Stesen MRT Tampines North dan sebuah pusat mbeli-belah, dilaporkan menarik perhatian kira-kira 10,000 orang.

Pembangunan berorientasikan pengangkutan seperti itu "tidak dapat dielakkan" di Johor Bahru, dengan bandar itu mengutamakan pembangunan infrastruktur berskala besar dengan RTS Link dan ART, kata Samuel Tan, ketua eksekutif Perunding Harta Pokok Olive.

“Pembangunan seperti itu sudah pasti bermanfaat untuk pertumbuhan jangka panjang Johor Bahru, kerana ia menggalakkan pengelompokan ekonomi, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan tahap penghunian,” tambah Lee Kun Thye, pengarah Cawangan Johor Knight Frank Malaysia.

Tetapi tidak seperti bandar yang lebih padat seperti KL, pembangunan bersepadu di Johor Bahru perlu ditempatkan secara strategik di "kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi dan permintaan tinggi" untuk menjadikannya lebih berkesan, tambahnya.

Dengan sistem ART yang akan dibina, kawasan seperti Tebrau dan Mount Austin adalah "pilihan logik", menurut Encik Lee.

Mount Austin, salah satu kawasan kejiranan paling popular di Johor, terkenal dengan suasana hiburan yang sibuk.
Sumber : CNA/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita